Majlis Serahan Kompleks Tandas dan Tangki Air bagi Pembekalan Air Bersih PPS Premis Milik KPM di Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Pekan, Pahang
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Majlis Serahan Kompleks Tandas dan Tangki Air bagi Pembekalan Air Bersih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Premis Milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Pekan, Pahang | 27 Ogos 2025
Telah berlangsung Majlis Serahan Kompleks Tandas dan Tangki Air bagi Pembekalan Air Bersih PPS Premis Milik KPM di Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya, Pekan, Pahang yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA bersama YBrs. Encik Shahrum Md Saud, Timbalan Pengarah Pendidikan JPN, Pahang.
Program pembinaan baharu kompleks tandas dan penyediaan tangki bagi pembekalan air bersih di PPS aktif terutamanya di premis milik KPM adalah hasil dari keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju bahawa NADMA perlu memberi perhatian serius isu berkaitan fasiliti tandas dan bilik air berserta keperluan air bersih yang sering berlaku di PPS.
Kompleks tandas ini dibina adalah bagi menyokong keperluan tandas dan bilik air yang tidak mencukupi apabila PPS ini diaktifkan. Dalam masa sama, kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh pihak sekolah ketika waktu aman. Manakala tangki yang disediakan berkapasiti 10,000 gallon adalah nilai tambah bagi menyokong kapasiti air yang diperlukan oleh tandas-tandas sedia ada di PPS berkenaan.
Turut hadir pada majlis ini ialah wakil-wakil Jabatan Daerah Pekan yang diketuai Penolong Pegawai Daerah Pekan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PPD, Penghulu Mukim Bebar, ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat orang Asli, YDP PIBG SK Merchong Jaya serta pentadbir sekolah.
Bengkel Pengumpulan Data Maklumat Repositori Kejadian Bencana dan Risiko Bencana serta Inisiatif Mitigasi Pengurangan Risiko Bencana bagi negeri dan agensi di Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Bengkel Pengumpulan Data Maklumat Repositori Kejadian Bencana dan Risiko Bencana serta Inisiatif Mitigasi Pengurangan Risiko Bencana bagi negeri dan agensi di Malaysia | 24 hingga 26 Ogos 2025 | Noble Resort Hotel, Melaka
Telah berlangsung Bengkel Pengumpulan Data Maklumat Repositori Kejadian Bencana yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Razali Wahab, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana NADMA. Bengkel anjuran Seksyen Mitigasi dengan kerjasama Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) ini telah disertai seramai 35 orang peserta dari NADMA, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains serta wakil-wakil pejabat setiausaha kerajaan negeri Selangor, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kedah.
Dalam menghadapi bencana, data merupakan tunjang utama kepada perancangan mitigasi. Namun begitu, data bencana tidak seragam dan tidak berpusat antara agensi dan negeri, sekali gus menimbulkan cabaran dalam proses analisis, perancangan dan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi. Sehubungan itu, usaha melalui pengumpulan data repositori maklumat bencana ini dilaksanakan bagi menghimpun, menyelaras dan menyimpan data kejadian serta risiko bencana di Malaysia secara lebih sistematik.
Tambahan, peranan negeri dan agensi teknikal amat penting sebagai penyumbang utama kepada data bencana. Kejayaan pengumpulan data ini bergantung kepada kualiti, konsistensi serta kebolehpercayaan maklumat yang dikemukakan. Bengkel ini seterusnya akan dilaksanakan secara tahunan bagi tujuan penyelarasan data bencana dan risiko bencana sebagai komitmen NADMA dalam mendukung usaha kerajaan membentuk negara Malaysia yang selamat dan berdaya tahan bencana.
Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI (SAM) | 25 Ogos 2025 | SMK St Columba di Miri, Sarawak
Telah berlangsung Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI (SAM) yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA. Program SAM telah diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
SMK St Columba telah dipilih untuk dijadikan SAM NADMA tahun 2025 dan sebanyak RM100 ribu telah disalurkan kepada sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran guru dalam pendidikan serta meningkatkan kemahiran dan keyakinan murid menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025.
Majlis peluncuran SAM ini telah diserikan dengan sesi ceramah mengenai mekanisme pengurusan bencana negara yang disampaikan oleh Encik Muhammad Azam Zakuan. Turut hadir dalam majlis peluncuran SAM adalah wakil-wakil dari Pejabat Ketua Pengarah NADMA, Seksyen Teknikal dan Infrastruktur, Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial serta Unit Komunikasi Korporat.
Kursus Bantuan Awal Psikologi untuk Sukarelawan Kelantan 2025 | 22 & 23 Ogos 2025 | Crown Garden Hotel, Kota Bharu
Kursus anjuran Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia dengan kerjasama NADMA ini telah berjaya menghimpunkan seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada sukarelawan bencana di negeri Kelantan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Jefny Muhammad, Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA.
Objektif kursus adalah untuk mengukuhkan pengetahuan bantuan awal psikologi dalam kalangan sukarelawan dan petugas kesihatan di Kelantan. Selain itu, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan PFA (Psychological First Aid) dalam pengurusan bencana serta memberi pendedahan praktikal cara melaksanakan PFA kepada mangsa bencana.
Kunjungan Hormat Nizra Industries kepada Ketua Pengarah NADMA | 22 Ogos 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah menerima kunjungan hormat daripada syarikat Nizra Industries, yang diketuai oleh Nik Iruwan Datuk Nik Izani, Ketua Pegawai Eksekutif.
Pihak syarikat mengemukakan cadangan kerjasama dan potensi penawaran perkhidmatan yang bersesuaian semasa menghadapi bencana. Pihak syarikat turut disertai oleh Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Ahli Lembaga Pengarah; Khairuddin Mohd Zahari, Pengarah Pembangunan Perniagaan (Udara); Suryati Yusoff, Pengarah Pembangunan Perniagaan (Laut); Muhammad Syamil Abdul Halim, Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Muhammad Taufik Rabu, Eksekutif Pentadbiran.
Manakala pihak NADMA telah dihadiri oleh Datuk Mohd Razali Wahab, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); PPj.(PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin, Timbalan Pengarah (Seksyen Pelaksanaan Operasi); Muhammad Haydal Muhammad Shukeri, Penolong Pengarah (Seksyen Logistik) dan Muhammad Amar Faiz Roslan, Pegawai Tadbir (Seksyen Logistik).
