OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pahang diramal banjir hingga Sabtu ini

KUANTAN - Pahang diramal banjir bermula Rabu hingga Sabtu ini susulan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan info grafik dimuat naik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), ramalan awal banjir itu akan melibatkan kawasan lembangan sungai di kesemua 11 daerah di negeri ini.

Bagi daerah Kuantan, ia meliputi lembangan Sungai Pahang, Kuantan dan Cherating manakala di Rompin (Sungai Rompin, Endau, Pontian serta Tekek).

Daerah lain iaitu Pekan; Jerantut; Temerloh; Maran; Bera; Cameron Highlands; Lipis; Raub dan Bentong membabitkan lembangan Sungai Pahang.

Dalam pada itu, JPS memberitahu akan membuat pemantauan berterusan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai terbabit.

Ujar agensi berkenaan, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan.

Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my

Setakat jam 2.30 petang Khamis, portal tersebut melaporkan dua stesen paras air sungai di negeri itu berada di tahap waspada membabitkan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.

Banjir Dungun, Setiu pulih, 2,616 mangsa masih di 8 PPS di 3 daerah

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda Dungun dan Setiu sejak semalam pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan ditutup petang tadi.

Ia menyaksikan jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,616 orang daripada 651 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS setakat jam 4 petang.

Sebelum ini, seramai 2,787 mangsa daripada 650 keluarga yang terjejas berada di 13 PPS di lima daerah.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, tiga daerah yang masih terjejas adalah Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang.

Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 2,560 mangsa daripada 639 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2,579 orang daripada 594 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada jam 12 tengah hari.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu juga menurun kepada 43 mangsa daripada lapan keluarga di dua PPS berbanding 121 mangsa daripada 32 keluarga di enam PPS sebelum ini

Di Marang, jumlah mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila 13 mangsa daripada empat keluarga masih berada di satu PPS.

Sementara itu, dua sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai yang melepasi paras amaran adalahSungai Nerus di Kampung Langkap (F1), Setiu berada pada paras 20.29 meter berbanding paras normal 17 m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemamandengan bacaan 2.04 m (1 m).

Tiga lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (11.58 m), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (FI), Hulu Terengganu (19.02 m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.21 m).

Redah banjir 700 meter ke PPS

KUALA BERANG: Enam sekeluarga meredah banjir sejauh 700 meter untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Kemat semalam, selepas pekarangan kediaman mereka dinaiki air.

Zahriel Mohd Fahd Abdul Ghani, 42, bersama isteri, dua anak berusia lapan dan 10 tahun serta bapa dan ibu mentua, bergerak ke PPS kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Beliau berpindah selepas menyedari air naik dengan cepat di pekarangan rumahnya susulan hujan berterusan sebelum subuh semalam.

"Pada 2022, rumah didiami bersama mentua ditenggelami banjir sedalam empat meter, jadi saya lebih beringat.

"Jarak ke PPS di Balai Raya Kampung Kemat kira-kira 700 meter dari rumah dan perlu melalui kebun kelapa sawit.

"Walaupun petang, susah nak nampak jalan sebab hujan lebat," katanya.

Wahab Ali, 69, menjadi orang pertama berpindah ke PPS Kampung Kemat setiap kali banjir melanda kampungnya.

"Rumah saya di kawasan rendah terdedah dengan risiko banjir saban tahun.

"Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan Sungai Kemat melimpah hingga menenggelamkan rumah saya bersama keluarga.

"Melihat air semakin naik, saya suruh anak bawa cucu ke PPS manakala saya pasang besi perancah untuk menempatkan barangan bagi mengelak ditenggelami.

"Selepas selesai, barulah saya ke PPS tidak jauh dari rumah. Setiap tahun, memang kami sekeluarga yang pertama sampai ke PPS Kampung Kemat," katanya.

Penduduk Kampung Limau Kasturi bina 80 rumah rakit untuk hadapi banjir

GUA MUSANG: Sejak hampir sedekad lalu, menjadi rutin bagi lebih 80 keluarga di Kampung Limau Kasturi, di sini untuk membina rumah rakit sebagai persediaan setiap kali musim tengkujuh tiba.

Semuanya bermula selepas banjir besar pada 2014, menyebabkan penduduk sanggup mengeluarkan belanja khusus untuk menyiapkan rumah rakit yang diperlukan bagi berdepan tragedi sama sekiranya berulang.

Malah, ada antara rumah rakit yang dibina sejak hampir 10 tahun lalu sehingga kini belum digunakan berikutan banjir yang berlaku sebelum ini tidak seburuk 2014.

Penduduk, Che Mas Abdul Latiff, 53, berkata dia mengeluarkan belanja RM7,000 bagi membina rumah rakit selepas banjir besar pada 2014 itu, namun sehingga kini belum berkesempatan menggunakannya.

"Ramai kata tahun ini akan berlaku banjir besar seperti 10 tahun lalu. Jadi dari awal saya sudah menyelenggara rumah rakit yang sudah lama dibina itu.

"Walaupun belum pernah digunakan, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh saya akan membersihkan dan membaiki kerosakan atau menukar kayu yang reput," katanya memaklumkan rumah rakitnya dibina lebih kukuh menggunakan kerangka bumbung jenis aluminium.

Tambahnya, penduduk tidak kisah menyediakan belanja besar untuk membina rumah rakit atau membeli bot demi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda ketika banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, lebih 80 rumah rakit disediakan penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai dan di kawasan rendah dan tebing sungai.

"Boleh dikatakan setiap rumah penduduk di kawasan rendah mempunyai sebuah rumah rakit. Mereka akan simpan barangan elektrik, pakaian dan dokumen penting.

"Rumah rakit dibuat sendiri dengan kos antara RM2,500 hingga lebih RM3,000 yang ditanggung sendiri penduduk kampung.

"Setiap tahun kami akan melakukan persediaan sebelum menghadapi musim tengkujuh untuk mengurangkan kerugian dan keselamatan diri," katanya.

Sebahagian Jalan Masjid India terlibat insiden tanah jerlus dibuka semula

KUALA LUMPUR: Sebahagian Jalan Masjid India di sini yang terlibat dengan insiden tanah jerlus telah dibuka semula kepada orang awam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan laluan yang dibuka termasuk kawasan berhampiran Bit Polis Jalan Masjid India dan lorong antara premis perniagaan berkuat kuasa bermula 10 Nov lepas.

“Pembukaan ini dibuat setelah kerja-kerja pembaikan dan penyiasatan tanah di kawasan tersebut berjaya diselesaikan.

“DBKL menghargai kesabaran dan kerjasama yang telah diberikan oleh orang ramai serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh kerja ini dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, DBKL memaklumkan kawasan ground zero iaitu lokasi kejadian tanah jerlus berhampiran Wisma Melayu masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan yang giat dijalankan.

“Berdasarkan prestasi kerja di tapak, kawasan ground zero ini dijangka dibuka sepenuhnya menjelang hujung Disember 2024 berbanding jangkaan awal pada Februari 2025.

“DBKL komited memastikan kerja-kerja ini dapat diselesaikan dengan selamat dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search