KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin berkurangan kepada 77,695 orang petang ini berbanding 95,207 yang direkodkan, pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 3 petang, mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.
Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 orang daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.
Di Terengganu, 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.
Di Kedah, seramai 7,123 mangsa daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.
Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga dengan Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.
Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga
KUALA LUMPUR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat menghadiri peperiksaan susulan terkandas akibat banjir masih berpeluang untuk mendudukinya pada hari esok atau Khamis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu dibuat bagi memastikan semua calon tidak ketinggalan untuk menduduki SPM.
“Kita akan buat dan pastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan,” katanya selepas menghadiri Pameran Wacana Pencapaian Semasa Inisiatif Baucar Buku: Epitome Aspirasi Kerajaan Madani di Laman Sidang Dewan Parlimen, di sini pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, ujian lisan BM bagi SPM diadakan sejak semalam dan berakhir Khamis ini. Ujian yang berlangsung selama empat hari itu memerlukan pelajar hadir sehari mengikut jadual ditetapkan.
Tambah Fadhlina, kini sudah masuk fasa kedua iaitu pembugaran emosi yang memberi tumpuan penuh kepada calon untuk mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan.
“Sebelum ini kita telah buat fasa pertama, pindah calon ke asrama bagi menempatkan mereka sepanjang peperiksaan berlangsung dan ia telah selesai seratus peratus.
“Kita doa supaya tidak ada perkara yang lebih mudarat daripada apa yang kita kendalikan,” ujarnya.
ALOR SETAR - Beberapa keluarga yang terjejas banjir di sini mengambil keputusan mendirikan khemah di tepi jalan berhampiran Kampung Alor Senjaya sejak tiga hari lalu.
Suri rumah, Aripiah Ahmad, 55, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian berikutan kapasiti beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kediaman penuh.
Beliau berkata, terdapat PPS alternatif yang masih mampu menampung mangsa banjir namun, lokasinya terlalu jauh untuk berulang alik ke rumah.
"Kami sekeluarga pernah pergi ke tiga PPS berdekatan ketika rumah dilanda banjir sehingga paras 0.5 meter (m) pada September lepas, namun semuanya penuh.
"Kali ini, kami sudah tidak larat mencari PPS dan bimbang situasi sama berulang lalu mengambil inisiatif memasang khemah tepi jalan sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Aripiah berkata, mereka tiada pilihan dan terpaksa meninggalkan rumah memandangkan air naik hingga paras 0.8 meter ketika banjir melanda semula beberapa hari lepas.
Katanya, dia bersama suami dan dua anaknya sempat membawa beberapa barangan penting termasuklah pakaian selepas rumah ditenggelami air.
"Kami juga menyelamatkan dan membawa sekali kucing peliharaan untuk berteduh di bawah khemah ini," katanya.
Ujarnya, mereka berharap diberi kelonggaran untuk menumpang teduh dalam khemah di tepi jalan tersebut untuk sementara waktu.
"Apabila air surut nanti, kami empat beranak akan terus pulang ke rumah kerana sedar risiko duduk dalam khemah tersebut," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Kausar Firdaus,29, berkata, dia sekeluarga turut mengambil langkah sama dengan memasang khemah di tepi jalan disebabkan PPS terdekat telah penuh.
Menurutnya, terdapat tiga lagi keluarga yang juga jirannya memasang khemah berhampiran dengan khemah mereka.
Katanya, terdapat beberapa keluarga yang juga mangsa banjir memasang khemah di sebelah kiri dan kanan jalan di sepanjang laluan dari Kampung Titi Gajah ke Kampung Alor Senjaya itu.
"Namun, ada khemah tiada orang memandangkan ada pemiliknya keluar bekerja dan ada pulang memeriksa keadaan rumah," katanya.
Kausar berkata, ketika ini, berkhemah tepi jalan sahaja pilihan yang mereka ada meskipun keadaan khemah kurang selesa untuk berteduh daripada panas dan hujan.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana ada insan-insan baik hati yang memberi pelbagai bantuan termasuklah makanan kepada penduduk yang berkhemah di tepi jalan tersebut.
Berdasarkan info dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, mangsa banjir di Kedah merekodkan sedikit penurunan dengan 7,001 mangsa ditempatkan di 38 PPS setakat 12 tengah hari berbanding 7,206 mangsa di 42 PPS pada jam 8 pagi.
Untuk rekod, Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 4,172 orang daripada 1,264 keluarga diikuti Kubang Pasu dengan 1,747 mangsa daripada 548 keluarga, Pokok Sena 567 mangsa daripada167 keluarga, Padang Terap dengan 298 mangsa daripada 84 keluarga dan Sik sebanyak 217 mangsa daripada 60 keluarga.
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada individu atau peniaga yang terjejas akibat banjir.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata moratorium yang disediakan itu diharap memberi kelegaan dan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pelanggan yang terjejas banjir.
"Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia MADANI yang bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung ketika waktu mencabar ini.
"Pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.
"Ini termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Kad Kredit-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i," kata bank itu dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shahril berkata pelanggan yang terjejas boleh memohon bantuan itu menerusi e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dengan menyertakan beberapa maklumat dan dokumen penting.
Bagi pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat yang terjejas, pelanggan boleh memohon melalui e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau menghubungi nombor talian Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880 serta mengunjungi Pusat Kad Bank Rakyat atau mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.
Orang ramai yang ingin dapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat.
TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah mengesan sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit di beberapa pusat pemindahan banjir (PPS) seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh ini.
Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, jumlah tersebut direkodkan sehingga semalam, 2 Disember.
Beliau menyatakan bahawa jangkitan saluran pernafasan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti oleh jangkitan kulit sebanyak 1,367 kes.
Selain itu turut direkodkan ialah Gastroenteritis Akut (keradangan perut dan usus) 116 kes, Konjunktivitis (radang mata) (99 kes) dan Demam Virus (376 kes).
Dr Zaini memaklumkan bahawa kebanyakan kes dilaporkan di pusat pemindahan banjir di Pasir Mas, Machang, dan Tumpat.
Bagaimanapun, tiada penyakit serius dikesan, dan keadaan keseluruhan masih terkawal.
"Semua kes penyakit berjangkit ini telah dirawat oleh pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan banjir," katanya ditemui di pusat pemindahan SK Padang Pohon Tanjung hari ini.
Beliau hadir mengiringi lawatan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mencemar duli ke PPS itu.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Baginda bertanya khabar 225 mangsa yang berlindung di PPS itu selain menyampaikan sumbangan bakul makanan serta wang tunai.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pasukan kesihatan telah dikerahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh negeri bagi memantau kesihatan mangsa yang dipindahkan.
"Pegawai kesihatan bersedia untuk memeriksa mangsa banjir, terutamanya mereka yang mempunyai gejala, bagi mencegah penularan penyakit kepada individu lain," tambahnya.