OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Anggota polis lemas akibat banjir tiada kaitan dengan tugasan, operasi

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lemas di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu baru-baru ni, tiada kaitan dengan tugasan atau operasi bencana.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi bencana ditetapkan setiap agensi pihak berkuasa dengan komander operasi menentukan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, SOP operasi ditetapkan oleh agensi masing-masing dan dikawal selia serta diselaraskan oleh Ketua Polis Daerah sebagai komander operasi bencana di setiap kawasan.

“Operasi akan dijalankan apabila komander operasi menentukan kaedah yang paling selamat operasi berkenaan dijalankan.

“Anggota PDRM yang terkorban semalam pula tiada kaitan langsung dengan tugasan ataupun operasi bencana yang beliau terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, PDRM mengesahkan anggota polis ditemui lemas di ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dilaporkan berkata, mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, dihanyutkan arus deras ketika melalui laluan ditenggelami banjir di ladang sawit terbabit dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu.

“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya memasuki ladang sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang terkandas semalaman akibat banjir,” katanya.

 

PUTRAJAYA: Jumlah mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu iaitu seramai 235,706 orang di sembilan negeri terjejas, adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL pada 2014/2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data itu berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setakat pagi ini, trend (jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara – PPS) dilihat menurun. Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Pada masa sama, Anwar melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua bencana banjir di negara ini.

Justeru, beliau mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

“Jadi kebimbangan ialah kemungkinan mengikut METMalaysia ada gelombang kedua banjir. Mudah-mudahan insya-Allah kita dapat kawal,” katanya.

METMalaysia sebelum ini menjangkakan luruan monsun yang diramal melanda pada 8 hingga 14 Disember ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.

Berdasarkan Info Bencana JKM, setakat jam 4 petang tadi, seramai 58,796 mangsa membabitkan 18,157 keluarga masih ditempatkan di 203 PPS di tujuh negeri terjejas.

Sementara itu, Anwar menzahirkan rasa terharu kerana saranannya kepada sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, disambut baik.

“Saya terharu dalam masa singkat, secara spontan ramai yang telah hubungi pejabat saya dan menyatakan mereka sedia (membantu).

“Kita belum lagi uar-uarkan, kita tidak hubungi semua persatuan dan dewan perniagaan, tapi saya lihat ada kesediaan (menghulurkan bantuan).

“Dan saya kata biar saya hadir sendiri (Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI), saya nak beri mesej kepada rakyat, kita kerja berpasukan, komitmen ini menyeluruh dari semua kalangan masyarakat dan kaum,” katanya.

 

Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda tiga negeri iaitu di Perak, Selangor dan Sarawak, hingga lewat petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan di Perak melibatkan kawasan jangkaan termasuk Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di Selangor, antara kawasan dijangka terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor manakala di Sarawak melibatkan Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang. - Bernama

Banjir: Kerajaan terima RM35.8 juta sumbangan syarikat korporat dalam tempoh 48 jam - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya meraih sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 buah syarikat swasta dan badan korporat bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesemua dana itu akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Inisiatif kutipan sumbangan ini lahir secara spontan dan ia berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari. Sumbangan ini akan digunakan bagi baik pulih kemudahan awam termasuk sekolah dan hospital (fasiliti kesihatan) yang terjejas akibat banjir.

"Saya dimaklumkan ada sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan sudah tentunya tandas serta lantai akan rosak. Selain peruntukan sedia ada, dana ini akan digunakan untuk menampung kerosakan kemudahan awam ini selain makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Rabu.
 
Penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Sumbangan itu diterima daripada YTL Corporation Berhad dan Yayasan Albukhary yang masing-masing menyumbang RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing RM3 juta.
Selain itu, turut menyumbang ialah Mah Sing Group Bernad, WCT Berhad, lJM Corporation Bernad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Berjaya Corporation Berhad dan Press Metal Berhad masing-masing menyumbangkan sebanyak RM2 juta.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, keputusan beliau agar dana berkenaan diuruskan ICU JPM bagi mengelakkan dana awam yang dikutip pelbagai pihak daripada orang awam disalahgunakan dan tidak sampai kepada mangsa banjir.
“Saya perhatikan, sumbangan dan orang derma ini merata-rata. Jika ia diselaras kita dapat tahu sekolah (PPS) mana yang perlu termasuk jumlah mangsa terjejas. Orang di bawah (penyelaras di PPS) tahu. Kalau kita pergi sendiri, tempat yang dapat bantuan kita pergi bantu lagisebab itu ia perlu diselaras supaya lebih efisien," ujarnya.
"Satu perkara lain yang kita jadi masalah adalah kadang-kadang sumbangan derma ini berjuta, semua orang kutip. Itu pun masalah juga seperti mana kes Gaza. Semua orang kutip, kadang-kala tak tahu ke mana. Kadang-kala dia yang tentukan keutamaan mereka sendiri,” ujarnya lagi.

Hujan berterusan di Gua Musang, penduduk risau tanah runtuh

GUA MUSANG: Enam sekeluarga berdepan risiko tanah runtuh apabila tanah di sekitar rumah mereka mula terhakis akibat hujan berterusan di Simpang Jerek, di sini.

Mohammad Hazerel Ashraf Hazelan, 31, berkata pada kira-kira 11 malam Ahad lepas, laluan di KM35, Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang telah runtuh.

Beliau berkata ketika itu hujan berterusan dari pagi sehingga menyebabkan air daripada pembetung berhampiran rumahnya melimpah ke atas jalan.

"Saya keluar melihat jalan raya KM35 sedang runtuh dan terperanjat melihat tebing tanah di tepi rumah dan bengkel telah runtuh ketika air pembetung surut.

"Saya bergegas menuju ke bengkel yang terletak di hadapan rumah dan mengalihkan beberapa peralatan yang ada," katanya kepada pemberita di Simpang Jerek, di sini.

Mohammad Hazerel Ashraf berkata runtuhan berlaku bersama bunyi kuat yang mengejutkan isteri dan anak-anaknya yang berada di dalam rumah.

"Ini kali pertama berlaku tanah terhakis sepanjang kami tinggal di sini sejak tujuh tahun lepas. Air daripada pembetung tersumbat kerana cuaca hujan dan membuatkan tanah di pinggir rumah mudah terhakis," katanya.

Menurutnya, stor penyimpanan peralatan di bengkelnya turut berisiko untuk runtuh berikutan sebahagian tanah di bawah tapaknya telah terhakis.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pihak berwajib kini giat mengesan pergerakan tanah yang berisiko mengakibatkan runtuhan kediaman penduduk.

"Kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melakukan pencegahan awal bagi mengelakkan tebing runtuh dan mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di sekitar runtuhan Jalan Gua Musang-Jeli ini," katanya. – BERNAMA

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search