OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: Rakan NADMA hantar enam treler ke Kelantan, Terengganu

Sebanyak enam treler digunakan dalam misi kemanusiaan Rakan NADMA Disaster Simulation Exercise (RANDEX) untuk membantu penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu / Foto FB NADMA

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Sebanyak enam treler digunakan dalam misi kemanusiaan Rakan NADMA Disaster Simulation Exercise (RANDEX) untuk membantu penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan memaklumkan barangan bantuan yang dihantar termasuk bekalan makanan, kit kebersihan, kit keluarga, dan kit kembali ke sekolah.

Lima treler dihantar ke Kelantan, manakala satu treler dibawa ke Kuala Terengganu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Misi ini dikoordinasikan melalui kolaborasi strategik antara NADMA sebagai agensi penyelaras, RED A Humanitarian Development Global, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, dan pelbagai NGO di bawah Rakan NADMA.

Keberkesanan penghantaran bantuan diperkukuh dengan kerjasama erat antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB Pusat.

Sumbangan utama kepada misi ini adalah daripada GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) yang menyumbang sebanyak 13.7 juta Ringgit.

GDRN, yang melibatkan 23 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), turut menyediakan perkhidmatan klinik bergerak, perkhidmatan perubatan, dan program baik pulih infrastruktur untuk mangsa bencana.

Sejak penubuhannya pada 2016, seramai 27,000 sukarelawan dan pemain sektor kemanusiaan telah mendaftar sebagai Rakan NADMA.

'Barangan masakan ada, tapi tiada yang sudi bantu memasak'

BACHOK - Sudah dua hari berlalu, hanya tiga orang yang tampil membantu Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Rakyat Mukim Kandis Bachok (PERAPAT) untuk menyediakan masakan seterusnya diagihkan kepada mangsa pasca banjir di negeri ini.

Lebih menyedihkan, hasrat menyediakan makanan kepada mangsa pasca banjir terpaksa ditangguhkan walaupun barangan basah seperti ayam dan sayur- sayuran sudah tersedia ekoran kekurangan tenaga sukarela yang sudi membantu.

Setiausaha PERAPAT, Mohd Al-Amin Mohd Ghazali berkata, beliau telah berusaha untuk mengajak orang ramai menjadi sukarelawan, namun tiada yang sudi.

"Ini bukan kali pertama kami menyediakan makanan untuk mangsa banjir. Sejak dari tahun 2022 lagi.

"Kali ini tiada yang sudi bantu, sehingga terpaksa ditangguhkan dua kali dan simpan balik barangan masakan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang mangsa banjir akan pulang ke rumah dan melakukan kerja-kerja mencuci serta mengemas kediaman masing-masing.

"Mereka (mangsa pasca banjir) tidak perlu fikirkan soal hendak beli atau memasak makanan dalam keadaan barangan dapur ditenggelami banjir.

"Disebabkan itu PERAPAT mengajak orang ramai menjadi sukarelawan untuk memasak makanan bagi diagihkan kepada mangsa pasca banjir.

"Sekarang ini hanya ada tiga orang penduduk kampung yang sudi menjadi sukarelawan untuk memasak makanan kemudian diagihkan ke beberapa kawasan terjejas banjir di seluruh Kelantan," katanya yang menjadikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, Tangok sebagai pusat operasi.

Menurut beliau, barangan masakan tersebut disumbangkan oleh orang ramai terutama ahli keluarga, sahabat handal dan kenalan.

"Kami hanya memerlukan bantuan untuk memasak, diharap ada yang sudi datang membantu kerana dengan kudrat empat orang rasanya tidak mencukupi," katanya.

Menurut beliau, sumbangan makanan ini bukan sahaja disumbangkan kepada mangsa pasca banjir tetapi turut diagihkan kepada anggota keselamatan yang bertugas.

Ujarnya, orang ramai yang sudi membantu boleh menghubungi di talian 014-3125418.

MetMalaysia keluarkan amaran hujan berterusan di tujuh negeri

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada yang melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember.

Hujan berterusan dijangka berlaku di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling, serta Perak (Hulu Perak) bermula 8 Disember.

Bagi Pahang pula, hujan berterusan dijangka berlaku di kawasan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi, mulai 9 Dis.

Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - Bernama

Lebih 1,000 kes jangkitan penyakit dikesan di PPS seluruh Terengganu

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 1,245 kes penyakit berjangkit dikesan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu pada musim banjir kali ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata, kes tertinggi adalah melibatkan jangkitan saluran pernafasan iaitu sebanyak 969 kes diikuti penyakit kulit 166 kes.

"Kes lain termasuk jangkitan demam iaitu sebanyak 63 kes manakala keradangan perut dan usus 47 kes. Selain itu ada beberapa kes membabitkan keradangan mata.

"Tetapi kita bernasib baik kerana tiada sebarang jangkitan penyakit serius yang boleh menyebabkan wabak," katanya ketika dihubungi.

Justeru, Dr Kasemani meminta orang ramai terutama yang tinggal di kawasan banjir dan PPS supaya mempraktikkan amalan kebersihan dan keselamatan bagi mengelak jangkitan penyakit.

"Mangsa yang berada di kawasan banjir terdedah kepada penyakit berjangkit seperti cirit-birit, jangkitan bakteria Escherichia Coli atau E-coli serta leptospirosis (penyakit kencing tikus),” katanya. - Bernama

Banjir: Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim masih ditutup

ALOR SETAR - Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) masih ditutup akibat banjir.

Menurut kenyataan dalam Facebook rasmi hari ini, Malaysia Airports memaklumkan walaupun paras air di LTSAH telah surut, namun landasan masih belum dibuka buat masa ini.

"Usaha pembersihan sedang dilakukan dan penumpang digalakkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini jadual penerbangan mereka.

"Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda ketika kami sedang berusaha membuka semula lapangan terbang sepenuhnya dan memastikan persekitaran yang selamat kepada semua pengembara," menurut kenyataan itu. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search