OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hanya Setiu, Kuala Nerus masih terjejas banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Hanya dua daerah iaitu Setiu dan Kuala Nerus masih terjejas akibat banjir membabitkan 1,052 mangsa daripada 260 keluarga yang masih berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan seramai 976 mangsa daripada 247 keluarga yang berlindung di lapan PPS.

PPS yang dibuka di daerah berkenaan adalah Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong, SK Kampung Gemuroh dan SK Padang Air.

Turut diaktifkan SK Tok Jiring, SK Kompleks Gong Badak, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak dan SK Gong Badak.

Di Setiu, PPS SK Kampung Telaga Papan dan SK Rhu 10 menjadi tempat berlindung 76 mangsa daripada 13 keluarga.

Terdahulu, banjir yang melanda Dungun dan Kuala Terengganu pulih sebenarnya selepas lapan PPS di dua daerah berkenaan ditutup secara berperingkat, semalam.

Di Dungun, lima PPS yang sebelum ini menempatkan 1,249 mangsa daripada 285 keluarga ditutup petang, semalam.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, tiga PPS yang menjadi tempat berlindung seramai 552 mangsa daripada 125 keluarga ditutup sepenuhnya malam tadi.

PM minta GLC peka beban perniagaan, orang awam susulan banjir

KUALA LUMPUR: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu peka terhadap beban yang ditanggung perniagaan dan orang awam, khususnya kemudahan seperti bayaran sewa bangunan dan ansuran bayaran balik pinjaman kewangan susulan bencana banjir yang melanda negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menegaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera hari ini, yang antara lain menyentuh mengenai kesan banjir terhadap peniaga dan orang awam.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan kemajuan syarikat-syarikat di bawah yayasan itu dalam menyokong inisiatif kerajaan.

Perdana Menteri berkata ia termasuk program GEAR-uP serta ketetapan Kongres Ekonomi Bumiputera. – BERNAMA

JPS terus pantau lembangan sungai di Kelantan berisiko banjir

KOTA BAHRU: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Kelantan akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan berterusan di lembangan sungai utama negeri ini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan pemantauan itu dilakukan susulan amaran hujan berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di kesemua jajahan bermula pada 8 hingga 14 Dis ini.

“Kita akan memantau kesemua lembangan sungai utama yang ada di 10 daerah di negeri ini iaitu di Tumpat melibatkan lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan Nangka dan Sungai Mentua), lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala di Pasir Mas pula lembangan Sungai Golok (Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) serta lembangan Sungai Kelantan.

“Bagi Kota Bharu pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Tanah Merah pemantauan turut dilakukan di lembangan Sungai Golok (Sungai Jegor) dan Sungai Kelantan (Sungai Kusial, Sungai Manal dan Sungai Jedok),” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, JPS turut melakukan pemantauan di tiga lembangan sungai di daerah Bachok iaitu melibatkan Sungai Gali, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak (Sungai Lubuk Nibong dan Sungai Melor).

“Di Machang melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Abal, Sungai Bagan, Sungai Dalu, Sungai Galang, Sungai Hala, Sungai Hau, Sungai Joh, Sungai Kemudu, Sungai Kerak dan Sungai Kerawang).

“Selain itu, di Pasir Puteh pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Semerak dan Sungai Tasek) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Besut, Sungai Daran Buaya, Sungai Jelor, Sungai Kelong dan Sungai Rasau),” menurut kenyataan itu.

Bagi daerah Kuala Krai pula pemantauan melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Durian, Sungai Tagor, Sungai Galas, Sungai Sedulek, Sungai Geh, Sungai Nal, Sungai Lebir, Sungai Mel, Sungai Mesek dan Sungai Pahi.

Sementara itu, di Jeli pemantauan dilakukan di lembangan Sungai Golok (Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan) manakala di lembangan Sungai Kelantan (Sungai Pergau, Sungai Belahat, Sungai Jeli, Sungai Jentiang dan Sungai Taduh).

Jajahan Gua Musang pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Aring, Sungai Chalil, Sungai Chiku, Sungai Cindai, Sungai Galas, Sungai Keneras, Sungai Ketil, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri, Sungai Paloh dan Sungai Tupai). – BERNAMA

Jeli dilanda banjir semula, 19 mangsa dipindahkan ke PPS

KOTA BHARU: Jeli kembali dilanda banjir dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semula malam ini susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Seramai 19 mangsa membabitkan empat keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah malam tadi.

Setakat malam tadi, beberapa kampung di daerah berkenaan mengalami hujan lebat dan dijangka mangsa yang akan dipindahkan semakin bertambah.

Sebelum ini, PPS Jeli sudah ditutup sejak tiga hari lalu selepas banjir di daerah berkenaan pulih sepenuhnya sebelum kembali dibuka malam tadi.

Jumlah mangsa di Kelantan berkurangan kepada 23,366, pagi ini

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 23,366 orang setakat 7.30 pagi ini, berbanding 24,416 orang malam tadi.

Kesemua mangsa berlindung di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Jeli.

Jajahan Jeli kembali dilanda banjir malam tadi selepas hujan lebat menyebabkan kawasan Kuala Balah dinaiki air.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Tumpat adalah seramai 13,879 orang daripada 4,345 keluarga di 32 PPS, diikuti Pasir Mas (9,468 orang, 3,202 keluarga di 17 PPS) dan Jeli (19 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS).

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search