Aktiviti korek tanah tanpa permit
- Admin UKK
- Berita
KLANG: Aktiviti pengorekan tanah di Bukit Payung dan Bukit Kerayong didakwa dilakukan secara haram sejak permit yang diberikan kepada operator oleh pejabat daerah dan tanah (PDT) tamat pada tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, isu tarah kedua-dua bukit berkenaan membimbangkan penduduk kerana mencetuskan banjir lumpur ketika hujan lebat.
Menurutnya, permit operator ditamatkan dipercayai selepas aktiviti pengorekan tanah itu memberi kesan sosial kepada penduduk, namun mendakwa pernah didatangi beberapa operator cuba mendapatkan sokongannya bagi memperoleh permit baharu.
“Permit mereka tamat pada tahun lalu, namun saya tidak memberikan sebarang surat sokongan.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini kelihatan ada antara mereka yang masih menarah kedua-dua bukit secara haram untuk membawa keluar tanah bagi kegunaan aktiviti pembinaan di kawasan berhampiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, sebelum ini pihaknya pernah menerima aduan berkenaan isu banjir dan difahamkan operator diarahkan untuk membina kolam tadahan.
“Bagi mengelak banjir, sebelum ini operator pernah diarahkan membina kolam takungan untuk menampung limpahan air hujan, sekurang-kurangnya air tidak terus mengalir ke bawah (kawasan kampung). Pernah saya tinjau, operator kata ada kolam. Tetapi, bila saya tinjau tak nampak pula kolam tersebut, tak tahulah betul atau tidak ia dibina,” ujarnya.
Kata Noor Najhan, beliau menyarankan kerajaan negeri memeriksa semula keperluan penambahan kakitangan di peringkat pihak berkuasa PDT untuk memantau aktiviti pembinaan atau pengorekan tanah dengan atau tanpa permit. –UTUSAN
