Projek pembangunan berhampiran kejadian dapat kelulusan PBT
- Admin UKK
- Berita
Projek pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran tempat kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini kelmarin, mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata projek berkenaan tidak berada dalam Rizab Laluan (ROW) PETRONAS dan diberikan kelulusan serta kebenaran merancang pada 2022.
“Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak PETRONAS untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).
“Selain itu, kontraktor yang terbabit juga antara panel yang diluluskan oleh IWK dan PETRONAS,” katanya semalam.
Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung projek berkenaan, Amirul Azizan berkata, pihaknya tidak akan memberikan makluman rasmi buat masa ini berikutan siasatan terperinci masih dijalankan oleh PETRONAS, polis dan pihak berkuasa berkaitan.
Tunggu hasil siasatan
“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan itu,” katanya.
Amirul Azizan berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana itu di luar bidang kuasa saya. Mungkin membabitkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Projek berkenaan mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Kelmarin terdapat dakwaan tersebar berhubung punca kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights.
Penduduk mendakwa kerja pengorekan dijalankan menjadi punca kebakaran saluran gas berkenaan.