SMART keluarkan mangsa hidup dalam runtuhan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan seorang mangsa hidup dari bawah runtuhan gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata pasukan itu menemukan seorang mangsa lelaki berusia 40-an itu di bawah runtuhan di sebuah kediaman di Jalan Sagaing-ta Da U dengan menggunakan peralatan khas milik SMART sekitar jam 2 petang.
“Mangsa yang terperangkap selama 72 jam dibawa keluar jam 2.27 petang dengan kerjasama anggota bomba tempatan dan dihantar ke hospital,” katanya.
Malam kelmarin pula, BERNAMA melaporkan SMART mengeluarkan empat mayat dari bawah runtuhan di daerah Sagaing, Myanmar.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan berkata dua mangsa, masing-masing lelaki dan wanita dikeluarkan kelmarin, dua lagi mayat wanita dikeluar pada jam 12 tengah hari semalam.
“Kerja mencari dan menyelamat dilaksanakan secara bersama dengan pasukan penyelamat tempatan dan cuaca panas memberi kesan kepada pasukan, namun tanggungjawab untuk menyelamat mangsa bencana tetap menjadi keutamaan,” menurut NADMA.
Kelmarin hari ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) diaturgerak bagi menjalankan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar, dan satu-satunya pasukan SAR luar negara yang beroperasi di Sagaing buat masa ini.
NADMA memaklumkan berdasarkan laporan impak yang disahkan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar, jumlah mangsa meninggal dunia ialah 1,659 orang, cedera (3,535) dan hilang (284).
Faktor keselamatan 50 anggota SMART yang sedang bertugas di daerah Sagaing sentiasa menjadi keutamaan kerana sebelum ini terdapat laporan kawasan bergolak yang masih dibom oleh tentera Myanmar dan risiko periuk api terutama di kuil-kuil.
“Isu keselamatan di lapangan buat masa ini adalah minimum
dan keselamatan MAS-01 sentiasa dipantau Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan dan pasukan polis Myanmar,” menurut NADMA.
Selain itu, cabaran dan isu yang perlu dihadapi pasukan berkenaan ialah masih berlaku gegaran susulan yang mungkin berbahaya kepada MAS-01 yang sedang melaksanakan operasi
bawah runtuhan.
“Isu logistik yang utama seperti bekalan minuman dan petrol perlu sentiasa ada bagi memastikan kelangsungan operasi.
“Isu kebersihan perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi selepas pengurusan mayat. Dekontaminasi (nyahkuman) anggota perlu dilaksanakan setiap kali tamat operasi dan bekalan air untuk mencuci pakaian adalah mencukupi,” menurut NADMA.
Jumaat lalu, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas, selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.