Bilangan terkini mangsa 536 orang
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa kebakaran saluran paip gas meletup dan terbakar di Putra Heights Subang Jaya, Selangor, terus meningkat kepada 536 mangsa semalam berbanding 427 individu malam kelmarin.
Ia membabitkan 119 keluarga berbanding 91 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan Masjid Putra Heights, Subang Jaya setakat jam 10 malam kelmarin.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor, PPj (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, selain PPS di Masjid Putra Heights yang beroperasi sebelum ini, pihaknya turut membuka satu lagi PPS di Dewan Camelia Putra Height di sini.
Menurutnya, pembukaan satu lagi PPS itu bertujuan memberi keselesaan kepada mangsa.
“Berdasarkan laporan dikemas kini pada 8 pagi semalam, seramai 485 mangsa membabitkan 110 keluarga terkesan akibat kebakaran pagi kelmarin.
“PPS Dewan Camelia Putra Height pula menempatkan 44 mangsa daripada lapan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, seramai lebih 50 anggota APM bertugas bagi menyediakan petugas perubatan dan ambulans di semua PPS itu.
“APM turut menyediakan lori pengangkut untuk membawa mangsa-mangsa ini pulang ke kediaman masing-masing untuk mengambil dokumen dan barang-barang penting selepas dibenarkan oleh pihak polis.
“Kami turut ,menggerakkan Pasukan Civil Defence Auxiliary @ CDA seperti CDA Kaunseling dan Psychology First Aid untuk memberikan khidmat kaunseling, psikologi dan kerohanian kepada mangsa di PPS,” katanya.