Penduduk di selatan Semenanjung, khususnya Mersing dan Pengerang di Johor serta Sabah dan Sarawak diminta bersiap siaga dengan kemungkinan banjir susulan luruan monsun yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, seperti amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum ini, luruan monsun itu dijangka mengakibatkan hujan lebat, sekali gus membawa kemungkinan banjir di kawasan tertentu.
“Pagi tadi (semalam) mesyuarat Jemaah Menteri diingatkan mengenai amaran luruan monsun yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi dan ini akan berkuatkuasa sehingga 19 Januari (Ahad ini).
“Tiga lokasi sudah diberi amaran huluan monsun termasuk di selatan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Peringatan kepada warga di Johor, terutama di sekitar Mersing,
Pengerang (di Kota Tinggi) diminta berhati-hati, juga di Sarawak dan Sabah supaya bersiap sedia dengan menghadapi kemungkinan berlaku banjir akibat luruan monsun,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, semalam.
Sentiasa buat persiapan
Pada peringkat agensi kerajaan, Fahmi berkata, persiapan sentiasa dibuat bagi memastikan tindakan segera diambil khususnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya banjir menjejaskan beberapa kawasan.
“NADMA sentiasa bersedia dan bagi kementerian dan agensi yang menguruskan (termasuk) JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),
APM (Angkatan Pertahanan Awam) serta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk komunikasi, kita sudah minta berada pada kesiapsiagaan tinggi,” katanya.
Menyentuh Kepengerusian ASEAN, Fahmi berkata, acara pertama akan bermula Sabtu dan Ahad ini, iaitu Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah.
“Ini mesyuarat pertama yang mana BERNAMA dan RTM akan bertugas sebagai media rasmi. Ini sudah pasti satu kebanggaan kita sebagai hos (ASEAN),” katanya turut menjelaskan Kepengerusian ASEAN tahun ini memberi peluang buat Malaysia mempromosikan Tahun Melawat
Malaysia 2026.
Menyentuh isu Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau berkata, perkara itu dalam pemantauan Kementerian Pengangkutan, namun kerajaan berharap ia dapat beroperasi secepat mungkin.
“Beberapa kemudahan termasuk pengangkutan khusus untuk delegasi rasmi disediakan dari pintu kapal terbang dan laluan khas. Ini kemudahan disediakan kepada delegasi ASEAN.
“Saya lihat dari segi itu tidak ada masalah yang begitu besar, malah kita berikan kemudahan lebih. Sementara Tahun Melawat Malaysia 2026, sudah pasti kemudahan itu akan sedia menjelang tahun ini,” katanya.
KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala di Johor menunjukkan perkembangan positif selepas mencatatkan penurunan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini.
Di Pahang, satu-satunya PPS iaitu di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin yang menempatkan 186 mangsa daripada 43 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di Johor pula, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang kepada 230 orang hingga 4 petang ini berbanding 1,097 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian; Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang.
Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar, Manjung, yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di sini, setakat 4 petang ini.
Begitu juga di Sarawak, masih kekal dengan 20 mangsa banjir melibatkan 13 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan RM600,000 di bawah Marris untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata pihaknya komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara.
"Kita akan membina struktur 'rock revetment' sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.
"Selain itu, dari jumlah tersebut, kita membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak.
"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Marris dan keadaan semasa ombak akibat Monsun Timur Laut (MTL)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung.
Terdahulu, hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus akibat fenomena MTL telah mengakibatkan kerosakan jalan yang teruk.
Bencana alam tersebut juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk serta harta benda di kawasan berkenaan.
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang di negeri Pantai Timur termasuk Sabah pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari nanti.
Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
“Bagi Sabah pula, antara kawasan yang mengalami cuaca buruk adalah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat),” tambahnya.
Walaubagaimanapun, cuaca cerah dan baik kelihatan di sekitar Lembah Klang serta Wilayah Persektuan Kuala Lumpur pagi ini. – KOSMO! ONLINE