OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir beri impak kepada bekalan beras tempatan

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui banjir yang melanda beberapa negeri mengakibatkan negara berdepan kesan besar terutama dengan kehilangan potensi hasil membabitkan penghasilan beras.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata berdasarkan statistik kementerian, negara direkodkan kehilangan potensi hasil 5.3 juta pek beras 10 kilogram (kg), setakat ini.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus memberi impak kepada bekalan beras putih tempatan.

“Perlu diambil maklum, tahun ini bencana sangat luar biasa dan ia memang ada membawa kesan kepada bekalan beras putih tempatan dalam negara kita.

“Setakat ini, kita kehilangan 5.3 juta pek 10kg kampit beras dalam pasaran... lenyap begitu sahaja akibat banjir yang melanda negara kita,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pn-besut) mengenai keberkesanan inisiatif dilaksanakan KPKM bagi menangani isu kekurangan bekalan BPT.

Sementara itu, Arthur berkata, KPKM menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk memberikan bantuan kepada pesawah bagi mengurangkan kerugian dialami mereka susulan kejadian banjir.

Katanya, peruntukan RM30 juta disediakan KPKM bagi tujuan bantuan pembaikan infrastruktur musnah akibat banjir, tahun ini.

“Pesawah layak menerima bantuan RM1,800 per hektar untuk maksimum tiga hektar, bergantung keluasan yang musnah.

“Selain itu, kaedah baharu iaitu Agrobank Skim Takaful Tanaman Padi dengan pesawah boleh mohon bantuan sehingga RM3,000 per musim, juga sudah dilancarkan Oktober lalu,” katanya.

Mengenai usaha menangani isu kekurangan bekalan BPT, Arthur berkata kementerian sudah menambah empat langkah reformasi institusi dan industri padi beras sebagai fokus utama, sekali gus melipatgandakan program

Gelombang Padi, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ia membabitkan pemisahan kuasa dan fungsi institusi pengurusan industri padi beras serta pengenalan peraturan larangan percampuran BPT dan beras putih import, selain memperkukuh kawal selia penguatkuasaan serta memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian mengesan enam jenis penyakit bawaan air dihidapi oleh mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif, setakat kelmarin di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata seramai 7,853 daripada 34,503 mangsa banjir disahkan menghidap penyakit berkenaan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di setiap PPS.

Katanya, sebanyak 7,304 mangsa banjir disahkan menghidap jangkitan pernafasan akut, gastroenteritis akut (3,170), radang mata (197), cacar air (20), penyakit tangan, kaki dan mulut (13) dan COVID-19 (dua).

“Bagi pesakit COVID-19, KKM mempunyai garis panduan untuk menanganinya daripada merebak dan kami sudah mengasingkannya,” katanya.

Enam bot tenggelam

Di Jerantut, kejadian kepala air yang membawa arus sangat deras menenggelamkan enam bot milik ahli Persatuan Gabungan Perkhidmatan Bot Taman Negara (PGPBTN) Kuala Tahan, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Lima bot bersama dengan enjinnya dan sebuah tanpa enjin itu tenggelam sekelip mata itu adalah bot sering digunakan untuk menjalankan perkhidmatan bot penambang dan nelayan sungai.

Ahli PGPBTN, Ismaiza Zawawi, berkata dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakannya memberitahu perahu diguna untuk menangkap ikan sudah tenggelam akibat arus kepala air berikutan kenaikan paras Sungai Tembeling.

“Saya terus bergegas ke sungai untuk melihat tempat perahu yang saya tambat, tetapi mendapati perahu itu tenggelam bersama enjin dan peralatan menangkap ikan,” katanya.

Penduduk Kuala Tahan, Zaimi Hasan berkata, dipercayai kepala air berlaku disebabkan hujan berterusan kira-kira 24 jam di kawasan ulu sungai.

“Pertembungan air sungai Tembeling dan Sungai Sepial menyebabkan paras air Sungai Tembeling yang melalui Kuala Tahan turut meningkat dan membawa arus deras,” katanya.

Di Pasir Mas, lebih 50 penduduk membabitkan tiga kampung di Mukim Teresek, di sini berputih mata dan mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas lebih 700 ekor binatang ternakan terutama lembu dan kambing mereka mati ketika gelombang banjir pertama, baru-baru ini.

Ia membabitkan lebih 300 ekor lembu, 200 ekor kambing dan selebihnya adalah itik.

Penduduk mendakwa, keseluruhan kampung berkenaan ditenggelami air dan tiada tempat selamat menyebabkan binatang ternakan mereka gagal diselamatkan.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Teresek, Norisham Mustafa, berkata banjir baru-baru ini menenggelamkan ketiga-tiga kampung iaitu Kampung Serongga, Kampung Teresek dan Seberang Merbau.

Katanya, paras air mencecah lebih dua meter dan hampir keseluruhan kampung hanya nampak bumbung bagi yang dua tingkat manakala bagi yang setingkat terus tenggelam.

“Disebabkan banjir teruk itu menyebabkan ratusan binatang ternakan tidak dapat diselamatkan dan mati akibat banjir.

“Ratusan lembu, kambing dan itik tidak dapat diletakkan di tempat tinggi memandangkan seluruh kawasan ini tenggelam terus.

“Susulan itu, penduduk berputih mata dan kerugian hampir RM100,000,” katanya ketika ditemui di Kampung Serongga, di sini, semalam.

 

Amaran hujan lebat tahap buruk di 6 negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada diramalkan melanda enam negeri hingga Khamis ini.

Metmalaysia dalam kenyataannya, memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramal melanda empat daerah di Terengganu iaitu Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, selain Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang sehingga hari ini.

Beberapa kawasan di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Temerloh dan Bera, dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga hari ini.

Hujan berterusan tahap waspada sehingga Khamis ini dijangka melanda seluruh Perlis dan beberapa kawasan di Kedah membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Perak turut dijangka mengalami cuaca sama hingga Khamis ini membabitkan Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Seluruh Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), dijangka berdepan cuaca sama.

Banjir gelombang kedua melanda Pantai Timur

Pahang, Terengganu dan Kelantan kembali dilanda gelombang kedua banjir dengan sejumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka manakala jumlah mangsa di Perak sedikit berkurang sementara di Negeri Sembilan dan Johor meningkat pagi semalam.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran memaklumkan empat PPS dibuka di daerah itu awal pagi semalam dengan menempatkan 52 mangsa daripada 12 keluarga membabitkan penduduk Kampung Ulu Luit, Kampung Luit, Kampung Bukit Kuin dan Kampung Paya Chedong.

“JPBD Maran menerima makluman kejadian (dinaiki air) pada 10.15 malam dan semua agensi berkaitan diaktifkan. Penduduk terjejas sedang dalam proses pemindahan ke PPS.

“Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi terjejas bagi memantau dan memastikan situasi sebenar serta menghantar bantuan keperluan asas bencana kepada keluarga terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Di Terengganu: Kemaman menjadi daerah pertama di negeri ini dilanda banjir gelombang kedua.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan 739 mangsa daripada 189 dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kemaman sehingga jam 8 pagi semalam.

Di Kelantan: Tiga jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mula dinaiki air semalam berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Di Gua Musang: Seramai 1,650 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil terputus hubungan ekoran jambatan penghubung sepanjang kira-kira 60 meter tenggelam akibat limpahan Sungai Chalil.

Tiada penduduk pindah

Penduduk, Husin Muhamad, 45, berkata kejadian itu mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah yang terletak di seberang jambatan.

Penghulu Mukim Kampung Chenulang di Kuala Krai, Ab Aziz Isa, berkata walaupun air mula naik di beberapa kawasan seperti Kampung Kebun Pisang, Kampung Pasir Jering dan Kampung Dusun Ban, tiada penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Tinjauan BERNAMA di Tanah Merah, mendapati beberapa kampung di kawasan rendah seperti Kampung Murin, Bukit Kechik dan Kampung Lawang turut dinaiki

air kira-kira jam 2 pagi semalam.

Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Aring di Gua Musang melepasi paras bahaya dengan bacaan 76.32 meter manakala Sungai Golok di Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.07m setakat 11 pagi.

Di Perak: Sekretariat JBPN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi semalam berkurangan kepada 106 orang daripada 35 keluarga di tiga PPS daerah Kinta dan Perak Tengah berbanding 112 orang.

Kenyataan itu memaklumkan 72 mangsa daripada 24 keluarga masih berlindung di dua PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan SK St Paul di daerah Kinta manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah masih menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga.

Di Negeri Sembilan: Laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 239 orang daripada 65 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Tampin berbanding 129 orang malam tadi.

Di Johor: Tangkak kembali dilanda banjir menjadikan mangsa yang terjejas sebanyak 166 orang daripada 43 keluarga setakat 8 pagi semalam berbanding 101 orang malam kelmarin.

Pengerusi JPBN, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata sebuah PPS dibuka di SK Simpang Lima Darat malam tadi menempatkan 65 orang daripada 15 keluarga.

Azmi berkata, keadaan cuaca di daerah Johor Bahru, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi cerah sementara Muar, Mersing, Batu Pahat, Tangkak serta Kulai mendung manakala Segamat dijangka hujan pagi semalam.

Di Melaka: Jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 11 orang daripada empat keluarga di daerah Jasin pada 8 pagi yang ditempatkan PPS SK Seri Mendapat, menurut Sekretariat JPBN.

 

Sarawak akan bina 1 PPS kekal di Samarahan

KUCHING: Sarawak akan membina satu pusat pemindahan sementara (PPS) secara kekal berdekatan Sekolah Kebangsaan Beradek, Samarahan sebagai persediaan penempatan mangsa banjir di kawasan sekitar lokasi berkenaan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan PPS terbabit akan menggunakan peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selari dengan hasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sekolah sebagai PPS ketika berlakunya bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Sarawak sebelum ini tidak berdepan masalah ketika membuka PPS sama ada yang menggunakan kemudahan sekolah atau dewan masyarakat.

“Saya rasa untuk membina satu PPS yang kekal adalah satu idea yang bagus kerana kebanyakkan yang kita guna sekarang adalah sekolah, jadi kalau ada sesi persekolahan ia mungkin akan menimbulkan masalah gangguan.

“Seterusnya kita juga akan melihat kepada keperluan yang mana sesuatu tempat itu mempunyai populasi yang ramai seperti di kawasan Batu Kawa yang kerap berlaku banjir, tempat itu mungkin kita akan cadangkan untuk bina satu tempat PPS kekal yang mungkin boleh menempatkan kira-kira 500 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS di Kuching.

Menurut Douglas Uggah, sebanyak 31 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri itu telah diaktifkan sebagai persediaan menghadapi bencana susulan perubahan Monsun Timur Laut (MTL).

Ia bagi memudahkan pengagihan bantuan makanan tepat pada masanya semasa berlakunya bencana akibat perubahan monsun terbabit.

Jelasnya, ketika ini seramai 7,507 kakitangan daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana.

Malah JPBNS juga berkerjasama dengan Persatuan Radio Amatur bagi membolehkan pemakluman dan komunikasi dengan kawasan bencana dapat dilakukan dengan baik terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman sekali gus membolehkan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan segera.

 

Tilam, bantal untuk mangsa banjir

KOTA BHARU - Tilam berkualiti tinggi daripada jenama terkenal antara sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) untuk mangsa banjir di Kelantan.

Mereka menyerahkan 500 tilam pelbagai saiz itu bersama 850 bantal serta 1,000 pek makanan dan air mineral kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Naib Pengerusi IFE, Aida Lim Abdullah berkata, kesemua barangan berkenaan bernilai kira-kira RM300,000 itu akan diberikan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas teruk.
 
"Kita fokus kepada Kelantan selain Kedah dan Terengganu kerana ramai mangsa mengalami kehilangan kerosakan serius akibat bencana yang tidak dijangka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan Oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) pada Selasa.

Menurutnya, mereka turut membawa 20 sukarelawan ke Kelantan dalam misi menyampaikan bantuan berkenaan.

"Kami bagi pihak Presiden IFE, Teo Yek Ming turut menyampaikan simpati kepada semua mangsa banjir dan berharap mereka segera pulih daripada trauma yang dihadapi," katanya.

Sementara itu, Mohamed Fadzli memberitahu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui agensi berkaitan akan menguruskan mangsa dalam tempoh pasca banjir.

"Bagaimanapun kita berharap tidak berlaku gelombang seterusnya dan tidak seteruk gelombang pertama," katanya.

Pasca banjir, Nadma akan menguruskan melalui wakilnya dari pejabat tanah dan jajahan sebagaimana tahun-tahun lepas.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search