Banjir di Gua Musang hampir pulih
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU - Banjir di Gua Musang hampir pulih dengan jumlah mangsa berkurangan secara drastik kepada 41 pada petang Rabu berbanding 307 pagi hari sama.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa daripada 10 keluarga itu berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1.
Ia termasuk tujuh warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang berada pada tahap waspada dengan aras air 56.43 meter (m).
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi tahap bahaya dengan paras air 9.09m manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.21m) dan Sungai Lebir di Kampung Tualang (35.27m) melepasi paras amaran.
Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II, Nik Mohd Radzi Muhamad, berkata, keadaan paras air di Sungai Galas menunjukkan trend menurun berbanding malam Selasa.
“Kawasan di Limau Kasturi paling rendah dan semalam (Selasa) Sungai Galas di Limau Kasturi naik tetapi hari ini (Rabu) menurun dengan keadaan cuaca di daerah ini cerah.
“Bagaimanapun pihak kami meneruskan pemantauan secara berkala empat kali setiap hari di lokasi tumpuan iaitu Kampung Lembaga, Limau Kastam, Bertam dan Setelu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, daerah Gua Musang dilanda banjir melibatkan penduduk terjejas di Limau Kasturi, Felda Chiku 7 dan Batu 6.
KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 4,751 orang yang masih berada di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini.
Daripada jumlah itu, seramai 4,460 mangsa daripada 1,086 keluarga berada di 10 PPS di Kemaman. Seramai 291 mangsa daripada 71 keluarga pula masih ditempatkan di enam PPS di Dungun.
Cuaca yang agak baik sejak pagi tadi membolehkan 1,102 mangsa pulang ke rumah masing-masing setelah air surut sepenuhnya. – UTUSAN
KEMAMAN: Yang Dipertuan Muda Terengganu,Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini, hari ini.
Tengku Muhammad Ismail turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 242 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik dan SK Pengkalan Ranggon.
Tengku Muhammad Ismail yang tiba di SK Kemasik kira-kira pukul 10 pagi dengan berpakaian santai sempat bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan berupa kotak barangan keperluan asas serta wang tunai bagi setiap keluarga.
Selepas itu, Tengku Muhammad Ismail diberikan taklimat mengenai penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan oleh Pemangku Pegawai Daerah Kemaman, Fadli Yusof Zakaria yang juga Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kemaman
Tengku Muhammad Ismail kemudian menaiki pacuan empat roda meredah laluan yang dinaiki air untuk menyantuni mangsa banjir di SK Pengkalan Ranggon.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Mohd Safar Wan Nik, 40, berkata, kehadiran Tengku Muhammad Ismail sedikit sebanyak dapat mengubat kesusahan yang dialami mangsa banjir. – UTUSAN
KOTA BHARU: Situasi banjir di Gua Musang bertambah baik selepas dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah tutup.
Jurucakap InfoBencanaJKM berkata, dua PPS yang telah ditutup itu ialah Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan Dewan Orang Ramai Batu 6.
Menurutnya, setakat pukul 4 petang tadi seramai 41 masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.
“Kesemua mereka ini terdiri dari 10 buah keluarga,” katanya.-UTUSAN
Kerajaan Kelantan zahir terima kasih kepada semua pihak terlibat bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita