OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Cadang tubuh Majlis Pengurusan Bencana Negara – Ahmad Zahid

PUCHONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai badan tertinggi menyelaras pengurusan bencana di negara ini.

Menurut beliau, ia membolehkan penyelarasan maklumat yang datang daripada satu sumber sahaja ketika berlaku krisis atau bencana bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

Ujarnya, dalam sistem komunikasi krisis, maklumat perlu dikoordinasikan sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
“Dalam krisis, dalam sistem komunikasi, cadangan saya maklumat itu harus datang dari satu, bukan banyak sumber untuk mengelakkan kekeliruan dan ini mesti dikoordinasikan oleh Nadma.

“Oleh sebab itu saya mencadangkan agar Majlis Pengurusan Bencana Negara ditubuhkan sebagai sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana dan mengurangkan risiko bencana dan ini boleh kita murnikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Nadma di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di Pulau Meranti di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut mengarahkan Nadma menyediakan kertas Kabinet dalam tempoh sebulan untuk diedarkan kepada semua kementerian dan menteri bagi mendapatkan ulasan dan beliau sendiri akan membentangkannya kepada Kabinet.

“Bukan kita tamak kuasa atau ada orang yang sensitif bila disebut mabuk kuasa, tetapi ini adalah soal penyelarasan maklumat dalam krisis. Hanya satu jurucakap. Ini wajib dilakukan.

“Biar maklumat itu datang dari pelbagai sumber, tapi jurucakap mesti daripada satu sumber dalam apa juga krisis terutama bencana. Jika tidak maklumat bercanggah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

TPM saran Smart, Nadma ubah warna uniform

PUCHONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pakaian seragam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ditukar agar lebih menonjol, mudah dikenali dan mencerminkan kesiapsiagaan pasukan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat selari dengan tahap kecekapan Smart yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, Smart memang smart dan smart tindakannya serta pantas. Saya berterima kasih kepada Smart yang telah menempa nama baik bukan hanya negara ini, tapi ASEAN dan di peringkat dunia.
“Bukan pasukan lain tidak smart. Mesti smart juga macam Smart. Sebab itu saya beritahu tukarlah uniform…tukarlah. Saya bukan tak suka warna coklat itu, tapi tolong jangan pakai warna hijau, alergik,” katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Nadma di Markas Smart di Pulau Meranti di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyentuh soal penampilan anggota yang pada pandangannya perlu dijaga walaupun ketika tiada bencana.

“Biarlah perut besar sikit pun tak apa, tapi kena usahalah kecilkan sikit. Ini pakai uniform tapi perut boroi. Terlebih makan ke apa sebab tak ada kerja ketika tiada bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Smart untuk sentiasa mengamalkan pendekatan kemanusiaan berasaskan nilai dan empati dalam setiap tugasan.

Menurutnya, keselamatan dan maruah mangsa harus menjadi keutamaan, selain memastikan pendekatan berpusatkan rakyat dijadikan asas utama pengurusan bantuan.

“Bantuan mesti disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti tanpa mengira latar belakang atau warna politik,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan setiap gerak kerja bantuan perlu dilaksanakan seolah-olah membantu ahli keluarga sendiri, dengan berteraskan nilai ihsan, hormat dan amanah.

Beliau mengakui pengorbanan besar yang dilakukan oleh anggota keselamatan dan pasukan penyelamat, termasuk terpaksa bekerja lebih masa dan meninggalkan keluarga demi menjalankan amanah negara.

“Saya tahu adakalanya kita terpaksa mengorbankan masa bersama anak, isteri dan suami, namun inilah baiah dan aku janji kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi perkasakan pengurusan bencana negara

PUCHONG: Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi digariskan sebagai hala tuju strategik bagi memperkasa pengurusan bencana negara dengan lebih tersusun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pengurusan bencana tidak boleh lagi bergantung pada institusi semata-mata.

"Kita mesti memanfaatkan data raya, analitik ramalan serta integrasi maklumat cuaca, geospatial dan risiko sosial.

"Sistem amaran awal pintar perlu diperkukuhkan dan pendekatan 'anticipatory action' (tindakan awal berdasarkan jangkaan) mesti dijadikan amalan supaya kita bertindak sebelum bencana berlaku, bukan hanya selepas kerosakan terjadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Bersama Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, hari ini.

 

Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim; dan Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Abdul Manaf Che Isa.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, hala tuju strategik lain ialah tindakan pantas, terselaras dan berdisiplin, serta kemanusiaan berteraskan nilai dan empati.

"Kecekapan di lapangan bergantung pada struktur arahan yang jelas, protokol respons kebangsaan yang standard, serta latihan bersepadu dan simulasi krisis yang konsisten.

"Dalam setiap tindakan, keselamatan dan maruah mangsa mesti menjadi keutamaan. Pendekatan berpusatkan rakyat perlu menjadi asas, dengan bantuan disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu pengurusan Monsun Timur Laut 2025/2026 sebagai satu penanda aras baharu dalam pengurusan bencana negara.

"Persediaan awal yang dimulakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), disusuli penyelarasan yang konsisten pada peringkat lapangan membuktikan (kejayaan).

"Kerjasama rentas kementerian, jabatan, agensi serta kerajaan negeri mampu mengurangkan kelewatan, meminimumkan kekeliruan dan mempercepatkan tindak balas ketika rakyat berada dalam situasi paling kritikal," katanya.

Beliau berkata, pasukan SMART akan menjalani INSARAG External Reclassification (IER) pada tahun ini sebagai satu usaha memperkukuhkan keupayaan teknikal, di samping mengangkat imej negara kerana keterlibatan dalam misi bantuan dan tindak balas bencana pada peringkat antarabangsa.

Flood evacuees rise in Sabah, Sarawak; Johor numbers decline

KUALA LUMPUR, Jan 5 — The number of flood evacuees in Sabah and Sarawak continues to rise, while the situation in Johor is showing signs of recovery, with a total of 859 evacuees recorded across the three states, as of 4 pm this afternoon.

In SABAH, the number of evacuees increased to 619 people, from 220 families; up from 510 people, from 164 families, reported earlier this morning.

 

The Sabah Disaster Management Committee (JPBN), in a statement, said the increase was due to a rise in the number of evacuees at four relief centres, across three districts, namely Beaufort, Kota Kinabalu and Kota Belud.

In SARAWAK, the number of flood evacuees sheltered at the temporary relief centre at Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, in Miri, rose to 213 people, from 73 families; up from 166 people, from 53 families, recorded earlier this morning.

According to the Sarawak JPBN, the evacuees relocated to the relief centre comprised residents from Kampung Kawang, Kampung Jenggalas, Kampung Rambai, Kampung Pintasan, Kampung Masjid, Kampung Kuala Lajung, Kampung Majelin and Kampung Kelapa in Bekenu.

 

Meanwhile, in JOHOR, the flood situation is improving, with the number of evacuees in the Segamat district dropping to 27 people, from nine families; compared with 50 people, from 15 families, recorded earlier this morning.

Johor Disaster Management Committee (JPBN) chairman Datuk Asman Shah Abd Rahman said only one relief centre, at the Kampung Batu Badak community hall, remains in operation, while the Kampung Tandong multipurpose hall relief centre was closed at 2 pm today, after all evacuees were allowed to return to their homes. — Bernama

Banjir melanda Bekenu lagi, penduduk lebih berwaspada

MIRI, 5 Jan: Banjir kembali melanda kawasan Bekenu susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan penduduk di beberapa kampung terjejas dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Seorang penduduk Kampung Jangalas, Huzaimah Busri berkata, kejadian banjir yang berlaku sekali lagi itu merupakan dugaan besar buat dirinya dan keluarga, apatah lagi ia berlaku dalam tempoh yang singkat selepas kejadian banjir sebelum ini.

“Rumah kami mula dimasuki air sejak 2 Januari lalu. Kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Surau Kampung Jangalas, namun beberapa hari kemudian surau itu pula dinaiki air dan kami terpaksa berpindah ke PPS. Belum lama kejadian banjir sebelum ini berlalu, kami sekali lagi diuji dengan banjir,” katanya ketika ditemui TVS di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu, di sini, hari ini.

Menurut Huzaimah, dia kini berlindung di PPS bersama tujuh ahli keluarga, sementara keadaan air di rumah mereka masih berada pada paras tinggi dan belum surut sepenuhnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Bukit Kawang, Bekenu, Adilla Faqilah Zaapar berkata, air mula memasuki rumahnya pada hari Sabtu lalu melalui bahagian dapur sebelum paras air meningkat dengan cepat.

“Pada sebelah petang, air hanya sampai ke buku lali, namun sekitar jam dua pagi air naik sehingga melebihi paras lutut sebelum kami berpindah ke PPS,” ujarnya.

Adilla turut memaklumkan beberapa perabot dan peralatan elektrik seperti almari, peti sejuk serta mesin basuh mengalami kerosakan walaupun sebahagiannya sempat dialihkan ke tempat lebih tinggi.

Setakat ini, banjir di kawasan Bekenu telah menjejaskan sembilan kampung, melibatkan 213 mangsa daripada 75 ketua isi rumah (KIR) yang diarahkan berpindah ke PPS dengan paras air dijangka akan terus meningkat. -TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search