OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Nasib penduduk ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’

Nasib penduduk ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’

Kuala Lumpur: Nasib penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah, Puchong, ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana belum pun selesai urusan akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, kini berdepan pula masalah banjir yang melanda pagi semalam.

Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan air sungai melimpah dan memaksa penduduk di kedua-dua kampung berkenaan berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Penduduk, Mohd Kamalzaman Pauzi, 39, berkata air sungai Kampung Kuala Sungai Baru yang jaraknya kurang 100 meter dari kediamannya, mula memasuki rumah pada jam 6 pagi dan dia terpaksa membawa isteri serta tiga anak mereka berpindah ke PPS seperti diarahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Air sungai mula naik kira-kira jam 4.30 pagi tetapi masa itu belum masuk ke kawasan rumah tetapi bila air sudah mula masuk ke dalam rumah baru saya bergegas membawa anak-anak yang berusia antara enam hingga lapan tahun berpindah ke PPS.

“Dalam tempoh seminggu sudah dua kali saya berpindah ke sini. Belum sempat menarik nafas lega setelah berdepan kejadian letupan saluran gas, kini ditimpa bencana banjir pula,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights dekat sini, semalam.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku jam 8.10 pagi pada 1 April lalu, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sementara itu, tanah runtuh menghempap dinding sebuah rumah di Kampung Orang Asli, Batu 12 di Gombak, semalam.

Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.05 pagi.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dihantar ke lokasi meliputi enam pegawai

dan anggota.

“Komander operasi memaklumkan kejadian tanah runtuh berkenaan menghempap dinding rumah tetapi tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, lena penduduk Kampung Padang Jawa dekat sini dikejutkan dengan hujan lebat kira-kira jam 2 pagi semalam berserta kilat dan petir disusuli banjir kilat bermula jam 6 pagi.

Warga emas, Salmah Adol, 66, berkata air masuk ke dalam rumahnya dengan laju kira-kira jam 7 pagi dan hanya sempat mengalihkan permaidani.

“Makcik sempat alihkan permaidani manakala semua barang lain sudah basah kena air. Air pada paras lutut di dapur dan buku lali di ruang tamu. Kalau keadaan makin teruk, makcik akan pindah.

“Makcik masih trauma teringat kejadian banjir 2021 sebab ketika itu rumah ditenggelami banjir sepenuhnya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Penduduk, Mohd Hanafi Borhanuddin, 33, berkata keadaan di kampung itu menjadi kelam-kabut kerana air mula masuk ke dalam rumah kira-kira jam 6 hingga jam 7 pagi.

“Semua berlaku pantas, tiba-tiba banjir kilat,” katanya.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search