5 daerah di Selangor dilanda banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
Shah Alam: Lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat pagi semalam berikutan hujan lebat tanpa henti sejak jam 1 pagi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman, berkata daerah terbabit adalah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.
Di Petaling, katanya, kawasan terjejas adalah Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, Kampung Baru HICOM, Kampung
Seri Aman, Kampung Padang Jawa dan laluan motosikal Jalan Persekutuan (Shah Alam).
“Di Klang, banjir kilat membabitkan Bukit Payung; Taman Daya, Meru; Pekan Meru, Taman Mutiara dan Taman Sri Muda.
“Di Sepang membabitkan Kampung Abu Bakar Baginda, Sungai Merab dan Desa Vila Merab,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ghazali berkata, daerah Hulu Langat membabitkan Laman Gahal, Batu 14 dan Gombak (Jalan Ayer Panas).
Katanya, ketika ini air Sungai Klang dan Sungai Langat berada pada paras tinggi.
Sementara itu, mangsa banjir melanda daerah Petaling dan Klang sehingga petang semalam mencecah 1,000 orang dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Mohd Najwan Halimi, berkata bagi daerah Petaling, selain Dewan Kenanga Seksyen 28 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Sekolah
Kebangsaan Seksyen 16; Dewan Camelia, Putra Height turut dibuka untuk penempatan mangsa banjir.
3 PPS dibuka di Klang
Beliau berkata, bagi daerah Klang, tiga PPS dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Dewan Azalea, Taman Seri Muda dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.
“Proses pemindahan, pendaftaran dan bancian mangsa banjir sedang berjalan di semua PPS. Maklumat semua mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan terjejas di Kampung Padang Jawa di sini, semalam.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata seramai 137 penduduk di beberapa kawasan di Selangor terjejas akibat banjir kilat, dengan
satu kes kematian dilaporkan membabitkan seorang warga asing.
“Satu kes kematian dilaporkan membabitkan seorang warga asing di Sri Muda akibat renjatan elektrik.
“Difahamkan, mangsa terkena renjatan elektrik ketika berada di kawasan yang dinaiki air,” katanya selepas menyalurkan bantuan pendidikan berupa wang tunai, komputer riba dan power bank kepada pelajar yang juga mangsa tragedi letupan saluran gas Putra Heights di sini, semalam.
Sementara itu, bencana tahap satu diisytiharkan dan dua PPS dibuka berkuat kuasa serta-merta bagi menempatkan penduduk yang terjejas susulan banjir kilat pagi semalam.
Sementara itu, bencana tahap satu diisytiharkan dan dua PPS dibuka berkuat kuasa serta-merta bagi menempatkan penduduk yang terjejas susulan banjir kilat pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed, berkata dua PPS itu adalah Dewan Kenanga MBSA, Seksyen 28 membabitkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.
Katanya, PPS kedua di Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam yang menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.
Mengenai banjir kilat di Sepang, Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata antara kawasan terbabit ialah Jalan Salam Kampung Sungai Merab Luar, Kajang.
Katanya, seawal jam 3.30 pagi anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) digerakkan ke kawasan itu untuk tugas menyelamat.