OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Gempa bumi 5.0 skala Richter landa bahagian tengah Myanmar

YANGON - Gempa bumi berukuran 5.0 skala Richter melanda kawasan tengah Myanmar kira-kira 10.59 pagi waktu tempatan pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua memetik Jabatan Meteorologi dan Hidrologi (DMH) negara itu.

Menurut laporan, pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer dan terletak kira-kira lima batu ke tenggara bandar Wundwin di wilayah Mandalay. - Bernama-Xinhua

 

190 kediaman terjejas kembali diduduki semula

Sebanyak 190 rumah yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini sudah diduduki semula.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 12 agensi sahabat teknikal termasuk

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.

Menurutnya, antara agensi lain yang terlibat ialah Petronas, Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Air Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Indah Water, Telekom Malaysia (TM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Perumahan Negara Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Setakat ini sebanyak 487 rumah yang terjejas sudah diperiksa. “Daripada jumlah itu, 328 rumah dibenarkan masuk manakala rumah yang sudah diduduki sebanyak 190 rumah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 306 rumah yang terjejas sudah dibekalkan tenaga elektrik oleh pihak TNB. “Kita juga menerima sebanyak 741 laporan polis berkaitan insiden ini.

“Op Gas ini dilaksanakan dengan kekuatan 697 orang daripada 18 agensi dengan kekuatan PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah seramai 169 orang.

“Pihak PGA masih membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan yang terjejas untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Insiden yang berlaku pada 1 April itu mengakibatkan kerosakan rumah dianggarkan berjumlah RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika kejadian berjaya menyelamatkan aset bernilai lebih RM285.9 juta.

219 ketua isi rumah sudah terima bantuan segera

Sebanyak 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya telah menerima bantuan segera seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Pejabat Daerah Petaling sedang memuktamadkan proses verifikasi kesemua mangsa menjelang Jumaat ini bagi memastikan tiada keciciran bantuan atau sebarang kesilapan berlaku.

“Sehingga malam kelmarin, sebanyak 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan akibat letupan saluran gas pada Selasa lepas oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Angka ini berbeza dengan jumlah mendaftar dengan PPS, iaitu 613 keluarga meliputi kawasan di luar taman perumahan dan kampung yang terkesan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini kelmarin.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah memuktamadkan 469 ketua isi rumah yang layak untuk menerima sumbangan sama ada RM10,000 atau RM5,000 yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian pada Sabtu dan Ahad ini, melibatkan kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan.

“Kita akan berusaha membersihkan sebaik mungkin lokaliti terlibat untuk memberikan lebih keselesaan kepada penduduk, terutamanya 270 rumah yang ditakrifkan selamat untuk diduduki,” katanya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak di Kampung Kuala Sungai Baharu bagi memudahkan penduduk yang ingin membuat penggantian geran tanah yang rosak atau hilang dalam insiden kebakaran tersebut.

Beliau berkata, jalan sepanjang 30 meter antara lot pembinaan (lokasi kejadian) dan Taman Putra Harmoni juga akan ditutup bagi membolehkan proses siasatan dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Ini untuk memudahkan pihak polis menjalankan siasatan dan pasukan teknikal dapat melakukan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden serta punca kejadian, supaya kita dapat menentukan pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah ini,” katanya.

KPKT sedia dana RM2 juta

Kuala Lumpur: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

KPKT menerusi satu kenyataan kelmarin memaklumkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi bantuan penuh kepada kerajaan Selangor dalam gotong-royong pembersihan hujung minggu ini.

Selain itu, KPKT memaklumkan mereka memberi fokus utama kepada inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah terjejas dalam kejadian berkenaan.

“Sehubungan itu, KPKT pada minggu lepas telah menubuhkan pasukan petugas khas terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian khususnya agensi pelaksana iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA.

“Pasukan tersebut turut menyiapkan pelan tindakan untuk membaik pulih dan membina semula rumah mangsa terjejas berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan pelan tindakan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri kelmarin.

Letupan saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April lalu telah menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

JKR guna kaedah UPV sahkan rumah selamat diduduki semula

Subang Jaya: Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan kaedah Ultrasonic Pulse Velocity (UPV) sebagai langkah tambahan bagi memastikan keselamatan rumah yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas di Putra Heights, di sini, selamat untuk didiami.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kaedah itu bagi mengesahkan keutuhan struktur rumah. Katanya, hasil ujian itu adalah konsisten dengan penilaian yang dibuat sebelum ini membabitkan 301 rumah.

“Rumah boleh diduduki dari segi kestabilan struktur dan kemudahan utiliti.

“Pemilik perlu masuk ke rumah mereka dan buat pembaikan. Sekiranya ada sebarang perkara luar biasa atau mencurigakan, penghuni boleh buat aduan untuk pemeriksaan lanjut bomba, JKR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita telah buka satu kaunter Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk aduan daripada pemilik rumah bagi tindakan pihak berkaitan. Itu proses yang kita susun dan persetujui,” katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di sini, semalam.

301 rumah selamat dihuni

Hussein berkata, pemeriksaan yang munasabah telah dijalankan oleh agensi berkaitan dan pendapat diambil kira untuk mengesahkan kediaman selamat untuk dihuni semula.

Katanya, JKR, bomba dan TNB juga telah mengesahkan 301 rumah dikategorikan sebagai selamat dan penghuni dibenarkan untuk pulang dan meneruskan proses pembaikan.

“Setakat ini, sebanyak 190 rumah telah diduduki semula,” katanya. Beliau berkata, keselamatan kediaman terjejas di sekitar lokasi kejadian juga terkawal.

“Polis telah menempatkan 124 anggota untuk mengawal 24 jam di parameter kawasan bencana bagi menjaga keselamatan harta benda, selain mengawal proses pengoperasian di lokasi bencana,” katanya.

Tragedi letupan dan kebakaran saluran gas PETRONAS pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search