OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

METMalaysia uji siren amaran awal tsunami di Balik Pulau esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) di Balik Pulau, Pulau Pinang, esok.

METMalaysia dalam hantaran melalui platform X memaklumkan bahawa ia akan dijalankan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, bertujuan menguji sistem siren tsunami baharu bagi Site Acceptance Test (SAT) di lokasi berkenaan.

"Penduduk di kawasan sekitarnya dinasihatkan tidak panik dengan bunyi siren berkenaan kerana ia adalah suatu ujian sahaja.

"METMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan," menurut kenyataan itu.

 

Jambatan Sg Klah akan dibaiki segera - EXCO Perak

SUNGKAI: Jambatan Sg Klah yang runtuh pagi semalam sehingga mengakibatkan laluan keluar masuk ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong serta Buyong Mas Sanctuary Camp Site di sini terputus, akan dibaiki secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata insiden itu akan dipanjangkan kepada pihak berwajib bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan kerajaan negeri.

"Esok saya akan pastikan pihak mana yang bertanggungjawab terhadap isu ini bagi memudahkan tindakan susulan yang kerajaan negeri akan luluskan.

"Saya datang ke sini pada malam ini juga untuk pastikan yang masih terkandas di sebelah Kampung Sungai Tisong itu dapat meneruskan urusan seharian mereka termasuk pelajar sekolah," katanya selepas meninjau lokasi lewat petang semalam.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan seramai 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik terkandas akibat kejadian itu.

Mohammad Nizar turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Malim serta Pejabat Penghulu Mukim Sungkai yang membantu memudahkan urusan berhubung kejadian tersebut. – BERNAMA

Panduan prosedur keselamatan kebakaran

INSIDEN letupan gas yang berlaku di Putra Heights pada 2 Syawal lalu memberi kesan terhadap penduduk yang mendiami kawasan tersebut. 

Apatah lagi kejadian itu mengakibatkan kediaman mereka musnah teruk sehingga mereka tiada tempat berlindung.  Disini panduan bagi memastikan cara menyelamatkan diri apabila berlaku insiden tidak diingini seperti letupan dan kebakaran.

 

Jangan panik!

Seperti semua situasi kecemasan, anda perlu hadapinya dengan tenang. Memang susah, tapi cuba bertenang supaya dapat berfikir dengan baik.

Kalau anda panik, susah nak fikir apa yang patut dibuat dan ada kemungkinan anda lagi cepat lemas dalam asap kebakaran.

Pasang sistem penggera kebakaran.

Kalau boleh pasang di setiap ruangan rumah (dapur, bilik tidur, ruang tamu) dan ia selalunya diletak pada siling. 

Jika ada asap kebakaran, ia akan terus berbunyi dan memberi amaran kepada orang dalam rumah.

 

Merangkak atas lantai

Bila terjadi kebakaran, asap toksik akan berkumpul dengan banyak di bahagian siling. Asap ini sangat bahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Tutup hidung dan mulut menggunakan kain atau tuala basah dan merangkak di atas lantai untuk ke tempat yang le­bih selamat.

 

Jauhi dinding

Ada kemungkinan dinding rumah boleh roboh dan menghempap anda semasa kebakaran. Jadi, pastikan anda tak bersandar dan duduk jauh dari mana-mana dinding.

 

Tutup suis elektrik

Suis elektrik sentiasa mengalirkan elektrik dan boleh mengakibatkan kebakaran jika terjadi litar pintas.

Oleh itu, pastikan semua suis elektrik sentiasa ditutup bila tak digunakan dan cabut juga plug dari soket.

Ini sangat penting bila anda nak keluar rumah atau mening­galkan rumah untuk jangka masa yang panjang. Selain tu, anda juga dapat menjimatkan bil elektrik.

 

Percikan api

Kalau ternampak percikan api di suis, soket atau mana-mana peralatan elektrik, jangan ambil mudah dan biarkan saja ia selesai sendiri.

Panggil juruelektrik untuk periksa keadaan percikan api dan baiki apa yang perlu.

 

Pastikan ada laluan kecemasan

Jangan penuhkan ruang dengan barangan dan pastikan ada laluan yang boleh digunakan untuk sebarang kecemasan. Semua penghuni juga perlu tahu tentang laluan ini.-UTUSAN

 

 

Tiga kampung di Baling dilanda banjir kilat

BALING: Hujan berterusan selama tiga jam malam tadi menyebabkan tiga kampung di daerah ini dilanda banjir kilat, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima makluman banjir kilat membabitkan Kampung Padang Setul, Kampung Kledang dan Kampung Tawar pada jam 4.34 pagi.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan 20 keluarga daripada 10 rumah terjejas. "Mereka membabitkan 40 mangsa namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Samsari Ibrahim bersama tujuh anggota melakukan pemantauan di kawasan terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, penduduk perlu bersiap sedia untuk berpindah sekiranya hujan berterusan dan kediaman dinaiki air.

Beliau berkata, banjir kilat itu berlaku akibat limpahan air Sungai Ketil dan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

Banjir berulang jejas kesejahteraan sosial, penduduk mahu projek tebatan disegera

PASIR MAS: Penduduk dan peniaga di Rantau Panjang menyuarakan harapan agar projek tebatan banjir di kawasan itu disegerakan memandangkan risiko banjir yang berulang saban tahun memberi implikasi besar kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi setempat.
Mohd Aiman Muhamad Yusof, 22, dari Kampung Cabang Bagus di sini, berkata projek itu perlu menjadi agenda utama di peringkat negeri dan Persekutuan, khususnya dalam konteks ketahanan iklim dan pengurusan bencana.
 
 
"Kawasan ini hampir setiap tahun terjejas apabila tiba musim tengkujuh. Pendekatan penyelesaian jangka panjang seperti projek tebatan banjir amat diperlukan untuk mengurangkan kerosakan aset awam dan harta benda penduduk," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
 
Mohd Aiman menegaskan bahawa penyelarasan antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diberi keutamaan agar perancangan infrastruktur tidak tergendala akibat perbezaan dasar atau keutamaan politik.
Mengulas lanjut, dia berkata keputusan tersebut amat bertepatan kerana pelaksanaan segera bukan sahaja dapat melindungi nyawa dan harta benda malah mengurangkan kebergantungan terhadap dana bantuan pascabencana setiap tahun.
 
"Jika projek ini direalisasikan, perbelanjaan kerajaan boleh dialihkan kepada sektor lain yang memberi kesan pembangunan lebih meluas," katanya.
Sementara itu, Darul Hisham Mat Noor, 52, dari Kampung Gual Mesa di sini, berkata projek tebatan banjir perlu disandarkan kepada unjuran risiko jangka panjang dan pertumbuhan kawasan setempat
.
"Setahun tiga hingga empat kali kami berdepan dengan paras air yang tinggi. Ia bukan lagi bencana luar jangka, sebaliknya sudah menjadi rutin tahunan yang perlu ditangani secara sistematik," katanya.
Darul Hisham berkata ketidaktentuan akibat banjir juga memberi kesan kepada kepercayaan pelabur dan menyukarkan perancangan pembangunan jangka panjang di kawasan sempadan itu.
 
Bagi peniaga makanan di pekan Rantau Panjang, Muhamad Kharimi Arif, isu banjir memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan termasuk bekalan barangan, kunjungan pelanggan dan kestabilan pendapatan.
"Pekan ini menjadi hab ekonomi penting di Kelantan, khususnya dalam sektor borong dan runcit. Jika infrastruktur asas seperti tebatan banjir tidak disediakan, potensi ekonomi tidak dapat dimaksimumkan," katanya.
 
Muhamad Kharimi turut berharap proses pelaksanaan tidak terganggu dengan hal teknikal atau pentadbiran kerana kelewatan hanya akan mengekalkan status quo yang merugikan semua pihak.
Pada 12 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi mengelak masalah banjir saban tahun yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.
 
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini termasuk melihat kepada beberapa kaedah baharu yang bukan sahaja untuk menangani masalah banjir tetapi juga isu ketiadaan air apabila tiba musim kemarau.
 
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search