KOTA BHARU - Mangsa banjir gelombang ketiga di Kelantan terus meningkat kepada 882 orang daripada 267 keluarga di tiga daerah iaitu Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai pada pagi Isnin.
Jumlah itu meningkat berbanding 71 mangsa daripada 22 keluarga pada petang Ahad.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa-mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan paling tinggi dibuka di Tanah Merah iaitu 13 PPS, Kuala Krai (4) dan Machang (2).
Dalam pada itu berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sehingga 8 pagi Isnin, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah mencatatkan paras melebihi tahap amaran dengan bacaan 23.16 meter (m) menurun berbanding 23.32m pada Ahad serta menunjukkan trend menurun.
Satu lagi sungai di daerah itu, Sungai Sokor di Kampung Sokor mencatat aras air 22.49m juga melebihi tahap amaran.
Terkini, Sungai Golok di Rantau Panjang Pasir Mas merekodkan bacaan 9.11m melebihi tahap bahaya dengan trend menaik.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, operasi pemindahan mangsa banjir di ketiga-tiga daerah terlibat berakhir kira-kira jam 10 malam, Ahad.
“Pihak kami bersama bomba dan polis turut berjaga-jaga serta memantau keadaan cuaca pada waktu tengah malam tadi, bagaimanapun mendapati keadaan hujan beransur pulih selain tidak selebat pada Ahad.
“Kami juga berwaspada dengan keadaan di Pasir Mas disebabkan trend Sungai Golok yang menaik tetapi setakat ini terkawal kerana cuaca tidak hujan di daerah itu,” katanya.
KUALA TERENGGANU: Tiga daerah di negeri ini dilanda banjir gelombang ketiga menyebabkan seramai 651 daripada 177 keluarga dipindahkan setakat jam 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kemaman menjadikan keseluruhan 17 di tiga daerah termasuk Besut dan Hulu Terengganu.
Sebanyak 11 PPS di Hulu Terengganu menempatkan 111 keluarga membabitkan mangsa 412 orang.
"Di Besut, lima PPS menempatkan 228 orang daripada 61 keluarga manakala di Kemaman satu PPS dibuka menempatkan 11 mangsa daripada satu keluarga.
Sementara itu, laman web public InfoBanjir banjir menunjukkan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu melepasi paras bahaya iaitu 20.92 meter berbanding 19.70 meter.
Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan banjir sedalam 1.5 hingga dua meter (m) di perkarangan Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) Kampung Lubuk Periuk, dekat sini.
Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, air mula memenuhi perkarangan madrasah itu kira-kira 10 pagi, sebelum semua pelajar melakukan persiapan untuk berpindah.
Zaki berkata, berikutan kejadian itu, 50 pelajar berusia antara 13 hingga 70 tahun dipindahkan ke sebuah bangunan tinggi di madrasah berkenaan.
Menurutnya, hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Peneh, yang hampir memasuki 50 pondok dihuni pelajar dan tenaga pengajar madrasah.
"Alhamdulillah, semua pelajar akan diarahkan berpindah sekiranya berlaku banjir dan mereka ditempatkan di tingkat atas bangunan dewan makan.
"Apabila mereka berlindung di dewan makan, ia memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan hidangan kepada semua pelajar kerana kesemua peralatan dan bahan memasak sudah tersedia," katanya.
Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir semakin kerap berikutan Sungai Peneh yang terletak hanya dua m daripada madrasah, semakin cetek.
Katanya, berikutan sering dilanda banjir, pihaknya sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana itu terutamanya dalam aspek keselamatan pelajar.
Tambahnya, langkah berpindah awal sekiranya banjir akan menjimatkan masa serta tenaga berbanding berpindah selepas paras air meningkat tinggi.
"Apabila berlaku banjir, biasanya kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan pondok-pondok tambahan akan hanyut dan itu yang menjadi sedikit kerugian buat kami.
"Bagaimanapun, bukan semua yang dihanyutkan air kerana sebahagian kayu sudah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelak kerugian yang lebih besar," katanya.
SUNGAI BULOH: Dinding sebuah kolam tadahan berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Alam pecah pada Ahad, menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan tersebut.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.15 petang.
Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 882 mangsa pagi ini berbanding 651 orang, malam tadi.
Kesemua mangsa membabitkan 267 keluarga itu ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pagi ini, tiga daerah dilanda banjir iaitu Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Tanah Merah merekodkan mangsa paling ramai iaitu 633 mangsa membabitkan 208 keluarga yang berada di 13 PPS.
