OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Previous Next

MESYUARAT PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT 2024/2025 BERSAMA SYARIKAT-SYARIKAT PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI | 12 November 2024 | Bilik Mesyuarat Utama, Markas Pasukan SMART
 
Telah berlangsung Mesyuarat Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 bersama Syarikat-Syarikat Perkhidmatan Telekomunikasi yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) NADMA.
 
NADMA Malaysia telah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi negara dalam mewujudkan sistem hebahan amaran awal bencana melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang bertujuan untuk memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan yang diramal berlaku banjir. Jalinan kerjasama ini terbukti berkesan sebagai salah satu kaedah penyampaian amaran awal kepada mangsa-mangsa bencana, terutama di kawasan berisiko banjir.
Previous Next

8 November 2024 - Telah berlangsung satu Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang diadakan di Dewan Wawasan, Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Puchong. Sesi libat urus ini bertujuan untuk menyampaikan secara terus kepada wakil-wakil media yang hadir mengenai situasi semasa MTL 2024/2025 dan langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh. Di samping itu, sesi ini juga adalah sebagai pengiktirafan peranan yang dimainkan oleh media untuk menyampaikan berita-berita dan maklumat kepada rakyat.

Previous Next

Sesi perbincangan berkenaan Cadangan Lokasi bagi Penempatan Satu (1) Set Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) NADMA di Negeri Sarawak | 7 November 2024 | Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak

Telah selesai Sesi Perbincangan berkaitan Lokasi Penempatan Satu (1) Set Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh YBhg. Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBN.

Tujuan sesi perbincangan ini dilaksanakan adalah untuk membincangkan lokasi penempatan serta penyelarasan pengurusan bailey bridge NADMA di negeri Sarawak. Turut hadir delegasi NADMA yang diketuai oleh YBrs En. Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) dan wakil daripada Seksyen Logistik En. Mohd Khairi bin Abd. Ghani, Pengarah Seksyen Logistik serta En. Ezrin Rozani bin Rosli. Agensi teknikal yang turut hadir adalah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Previous Next

MAJLIS SAMBUTAN PERINGATAN PERISTIWA TAHUN KE-20 BENCANA TSUNAMI LAUTAN HINDI PERINGKAT ASEAN DI MALAYSIA | 5 NOVEMBER 2024 | St. Giles Wembley Penang Hotel, George Town, Pulau Pinang
 
Pada 26 Disember 2004 telah berlaku gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter di Lautan Hindi yang mencetuskan kejadian bencana tsunami besar dan memberikan impak secara global, termasuk beberapa negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. Lanjutan kejadian bencana tsunami tersebut, negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia telah menandatangani ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) pada 26 Julai 2005, iaitu suatu perjanjian yang mengikat secara sah di sisi undang-undang.
 
Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku national focal point pengurusan bencana di peringkat ASEAN mempunyai obligasi untuk melaksanakan perkara-perkara di bawah perjanjian AADMER. Dalam hal ini, bersempena 20 tahun peristiwa bencana tsunami Lautan Hindi di peringkat ASEAN, Malaysia bersama dengan Thailand dan Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi melaksanakan program peringatan di negara masing-masing.
 
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Puan Lim Siew Khim, EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Pulau Pinang serta tetamu kenamaan terdiri daripada YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YM Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei Darussalam dan Pengarah Eksekutif ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre). Majlis ini telah disertai oleh seramai 23 orang peserta dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan AHA Centre serta 250 orang peserta daripada pelbagai agensi Kerajaan yang terlibat sebagai peserta, pempamer dan sekretariat.
 
Pada sesi petang, semua peserta antarabangsa telah dibawa melawat ke kawasan yang pernah terjejas akibat bencana tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah bagi melihat sendiri usaha pemulihan dan pembangunan semula yang telah dilaksanakan. Para peserta telah diberikan taklimat oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin, Mantan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) dan sesi bergambar di hadapan Tugu Peringatan Tsunami Kota Kuala Muda.
Previous Next

SESI LAWATAN DAN TAKLIMAT KEPADA PIHAK UNIVERSITI TENAGA NASIONAL (UNITEN), KAMPUS PUTRAJAYA | 6 NOVEMBER 2024 | PUSAT KAWALAN BENCANA NEGARA (NDCC)
 
Sesi lawatan ini telah disertai oleh 33 orang pelajar dari UNITEN Business School (UBS) dan diketuai oleh Pn. Fatini Hanim bt Mohamed Taufek, Pensyarah UNITEN Business School. Sesi lawatan ini bertujuan untuk memberikan pelajar pandangan praktikal mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pengurusan bencana, respons kecemasan dan usaha kemanusiaan. Ia membolehkan pelajar melihat pelaksanaan strategi kesiapsiagaan bencana dan memahami kepentingan etika serta kemanusiaan dalam misi keselamatan dan penyelamatan negara.
 
Selain itu, sesi lawatan ini juga dapat memperkenalkan pelajar kepada sistem respons kecemasan bencana di negara ini dengan memberi fokus kepada bagaimana sesuatu keadaan kecemasan dipantau, diurus dan dikoordinasikan di peringkat nasional. Lawatan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari tentang sistem dan teknologi yang digunakan dalam pengurusan bencana di negara ini. Di samping itu, ia dapat memberikan mereka gambaran dengan lebih dekat tentang peranan kritikal yang dimainkan oleh NDCC dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) semasa berlakunya bencana.
 
Taklimat berkenaan pengoperasian NDCC telah disampaikan oleh En. Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah NDCC manakala taklimat berkaitan pengoperasian Pasukan SMART telah disampaikan oleh Insp Abdullah bin Ahmad Sobri. Turut bersama dalam sesi taklimat ini ialah PgKB I Mohd Khairul bin Jamil, Komander Pasukan SMART.
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search