Subang Jaya: Pemilik kediaman terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa bermula hari ini.
Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.
"Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.
"Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas selesai fasa pertama, kemasukan penduduk bagi fasa kedua dan ketiga akan diteruskan mengikut prosedur ditetapkan.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Aziz Jidon, 69, berkata, dia dibenarkan masuk ke rumahnya di Taman Putra Harmoni, semalam, untuk mengambil barang keperluan penting.
Katanya, hari ini pula, dia diberi peluang untuk membawa keluar kenderaan.
"Jika dibenarkan masuk, saya amat bersyukur sebab banyak barang yang saya nak tengok di rumah.
"Apa-apa keputusan saya ikut sahaja, kalau boleh masuk kita masuk… terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa, saya amat hargai," katanya.
Bagi Iqman Zikry, 24, maklumat yang diterima buat masa sekarang hanya pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai elektrik di rumah.
"Saya baru sampai dalam beberapa minit dan buat masa sekarang, tiada lagi makluman penting yang saya terima daripada mangsa lain.
"Kalau boleh masuk Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan mangsa," katanya.
Bangkok: Pasukan penyelamat meningkatkan usaha pencarian selepas mendengar jeritan meminta tolong dari bawah runtuhan bangunan Pejabat Audit Negara di sini, pada tengah malam Rabu.
Bangunan di daerah Chatuchak itu runtuh pada 28 Mac lalu apabila gempa bumi magnitud 7.7 melanda Myanmar.
Portal The Nation melaporkan, dua penyelamat Yayasan Phetkasem, Apiwat Chanthani dan Udomchok Rodmai, melaporkan bahawa mereka mendengar jeritan dalam bahasa Thailand di kawasan yang ditetapkan sebagai Zon B.
Operasi menyelamat di kawasan runtuhan itu dibahagikan kepada zon untuk menyelaraskan usaha pencarian.
Selepas mendengar jeritan meminta tolong, penyelamat menggunakan kren untuk mengangkat kepingan konkrit, namun menemukan kepingan tambahan di bawahnya.
Ia menghalang apa disyaki sebagai ruangan di mana mangsa terbabit mungkin berada.
Anggota penyelamat kemudian menggunakan mesin pemotong untuk memotong palang besi secara beransur-ansur pada kepingan konkrit berkenaan.
Apiwat menyatakan mereka menemukan beberapa kepingan konkrit yang menghalang akses untuk mencapai ruangan dipercayai berhampiran tangga kecemasan
Usaha mengalihkan serpihan di tapak itu diteruskan sepanjang malam, dengan pasukan penyelamat bergilir-gilir menjalankan operasi.
Pada 6.40 pagi Khamis, pasukan penyelamat menemukan sebuah lubang dan turun ke dalamnya, namun tiada mangsa ditemukan.
Sehingga pagi Khamis, jumlah kematian yang disahkan adalah 29, dengan sembilan lain cedera dan 59 lagi masih hilang.
'Masih terlalu awal memikirkan tindakan undang-undang' - Persatuan Penduduk Putra Harmoni
- Admin UKK
- Berita
Subang Jaya: "Masih terlalu awal (memikirkan) tindakan undang-undang, apa yang penting isu kebajikan (penduduk) terlebih dahulu," menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh.
Francis memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai kebakaran saluran paip gas yang menjejaskan 115 kediaman di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.
Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas kini memberi fokus kepada pemeriksaan keselamatan di kediaman masing-masing.
"Kita serahkan siasatan terlebih dahulu dan uruskan kemasukan penduduk secara berfasa bagi tujuan pemeriksaan keselamatan," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni, yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, berkata pihaknya meminta agensi berkaitan membawa persatuan penduduk dalam setiap mesyuarat yang diadakan.
"Kami perlukan maklumat untuk disampaikan kepada penduduk. Mereka kini kurang informasi dan disebabkan itu mereka terganggu serta risau.
"Saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami mempunyai semua data penduduk, termasuk haiwan peliharaan mereka," katanya.
Lau menjelaskan penduduk berhak mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai perkembangan semasa susulan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegelisahan penduduk.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengajak wakil penduduk dalam setiap perbincangan dan mesyuarat yang diadakan.
"Penduduk memerlukan maklumat jelas mengenai langkah keselamatan dan proses pemulihan kerana mereka masih risau dengan keadaan semasa.
"Setakat ini, koordinasi lebih pantas, tetapi kami berharap ada komunikasi lebih baik antara pihak berkuasa dan penduduk. Kami juga bersedia membantu mana-mana penduduk yang menghadapi sebarang masalah," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed, dilaporkan berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula jam 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.
"Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.
"Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka," katanya.
Pada 1 April lalu, Harian Metro melaporkan kebakaran paip gas itu diibaratkan seolah-olah letusan gunung berapi sehingga bahangnya masih terasa sehingga 600 meter.
Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Heights serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
PUTRA HEIGHTS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai bantuan dokumen pengenalan diri kepada mangsa.
JIM dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah mengarahkan agensi itu untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata mangsa boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM berhampiran.
“Syarat utama penggantian ini adalah pasport masih sah sekurang-kurangnya enam bulan, mangsa membawa pasport asal jika masih ada, dan menyerahkan salinan laporan polis, bomba, atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa serta memastikan mereka dapat menguruskan keperluan perjalanan tanpa kesulitan tambahan.
“JIM sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan. Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mangsa yang terjejas,” tambahnya.
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil iktibar daripada insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lalu, bagi memastikan ia tidak berlaku di negeri itu.
Ia terutama di kawasan Bintulu dan Miri yang memiliki sistem saluran pembekalan paip gas bagi kegunaan industri dan domestik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspek keselamatan, termasuk risiko kebocoran gas, menjadi antara fokus utama dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang baharu dilancarkan.
“Kita sekarang ini baharu sahaja melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), jadi kita agak sedikit senang dan risiko itu turut dimasukkan dalam semua pakej rancangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazruddin Abdul Rahman, di **Dewan Hikmah, Kuching.
Abang Johari menjelaskan kerajaan telah mewartakan beberapa kawasan terpilih sebagai koridor pembangunan industri gas, di mana sebarang pembangunan komersial atau pembinaan penempatan baharu tidak dibenarkan.
“Kita berharap perkara seperti ini (kebocoran gas) tidak berlaku di kawasan industri kita. Namun, apa yang penting ialah kita mesti mempunyai satu zon penampan dengan radius kawasan yang besar dan luas.
“Kawasan ini kita namakan serta wartakan sebagai koridor industri berkaitan gas. Jadi, apabila berlaku sebarang insiden tidak diingini, kita dapat mengesannya dan mengawalnya di peringkat awal,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan Sarawak bernasib baik kerana pelan itu baharu sahaja dilancarkan, sekali gus membolehkan penilaian risiko dilakukan secara lebih holistik.
Menurutnya, di bawah SGR, Kawasan Perindustrian Samalaju di Bintulu telah diwartakan sebagai salah satu koridor industri berkaitan gas di Sarawak.
Justeru, beliau menegaskan sebarang aktiviti pembangunan komersial atau pembinaan penempatan baharu di kawasan berkenaan dan sekitarnya tidak dibenarkan, bagi memastikan wujudnya zon penampan sekiranya berlaku insiden kebocoran atau letupan gas.
