OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Masih terlalu awal memikirkan tindakan undang-undang' - Persatuan Penduduk Putra Harmoni

'Masih terlalu awal memikirkan tindakan undang-undang' - Persatuan Penduduk Putra Harmoni

Subang Jaya: "Masih terlalu awal (memikirkan) tindakan undang-undang, apa yang penting isu kebajikan (penduduk) terlebih dahulu," menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh.

Francis memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai kebakaran saluran paip gas yang menjejaskan 115 kediaman di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.

Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas kini memberi fokus kepada pemeriksaan keselamatan di kediaman masing-masing.

"Kita serahkan siasatan terlebih dahulu dan uruskan kemasukan penduduk secara berfasa bagi tujuan pemeriksaan keselamatan," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni, yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, berkata pihaknya meminta agensi berkaitan membawa persatuan penduduk dalam setiap mesyuarat yang diadakan.

"Kami perlukan maklumat untuk disampaikan kepada penduduk. Mereka kini kurang informasi dan disebabkan itu mereka terganggu serta risau.

"Saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami mempunyai semua data penduduk, termasuk haiwan peliharaan mereka," katanya.

Lau menjelaskan penduduk berhak mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai perkembangan semasa susulan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegelisahan penduduk.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengajak wakil penduduk dalam setiap perbincangan dan mesyuarat yang diadakan.

"Penduduk memerlukan maklumat jelas mengenai langkah keselamatan dan proses pemulihan kerana mereka masih risau dengan keadaan semasa.

"Setakat ini, koordinasi lebih pantas, tetapi kami berharap ada komunikasi lebih baik antara pihak berkuasa dan penduduk. Kami juga bersedia membantu mana-mana penduduk yang menghadapi sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed, dilaporkan berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula jam 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.

"Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.

"Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka," katanya.

Pada 1 April lalu, Harian Metro melaporkan kebakaran paip gas itu diibaratkan seolah-olah letusan gunung berapi sehingga bahangnya masih terasa sehingga 600 meter.

Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Heights serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search