Sarawak ambil iktibar insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil iktibar daripada insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lalu, bagi memastikan ia tidak berlaku di negeri itu.
Ia terutama di kawasan Bintulu dan Miri yang memiliki sistem saluran pembekalan paip gas bagi kegunaan industri dan domestik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspek keselamatan, termasuk risiko kebocoran gas, menjadi antara fokus utama dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang baharu dilancarkan.
“Kita sekarang ini baharu sahaja melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), jadi kita agak sedikit senang dan risiko itu turut dimasukkan dalam semua pakej rancangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazruddin Abdul Rahman, di **Dewan Hikmah, Kuching.
Abang Johari menjelaskan kerajaan telah mewartakan beberapa kawasan terpilih sebagai koridor pembangunan industri gas, di mana sebarang pembangunan komersial atau pembinaan penempatan baharu tidak dibenarkan.
“Kita berharap perkara seperti ini (kebocoran gas) tidak berlaku di kawasan industri kita. Namun, apa yang penting ialah kita mesti mempunyai satu zon penampan dengan radius kawasan yang besar dan luas.
“Kawasan ini kita namakan serta wartakan sebagai koridor industri berkaitan gas. Jadi, apabila berlaku sebarang insiden tidak diingini, kita dapat mengesannya dan mengawalnya di peringkat awal,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan Sarawak bernasib baik kerana pelan itu baharu sahaja dilancarkan, sekali gus membolehkan penilaian risiko dilakukan secara lebih holistik.
Menurutnya, di bawah SGR, Kawasan Perindustrian Samalaju di Bintulu telah diwartakan sebagai salah satu koridor industri berkaitan gas di Sarawak.
Justeru, beliau menegaskan sebarang aktiviti pembangunan komersial atau pembinaan penempatan baharu di kawasan berkenaan dan sekitarnya tidak dibenarkan, bagi memastikan wujudnya zon penampan sekiranya berlaku insiden kebocoran atau letupan gas.