TERKINI: Letupan paip gas: Hasil dapatan siasatan insiden mula diumum esok
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Hasil dapatan siasatan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku 1 April lalu akan mula diumumkan esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia akan diumum dalam sidang media yang dijadualkan esok oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Pada masa ini kita telah ambil maklum kesemua klip video, laporan maklumat dan akan mula dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Selangor dalam taklimat beliau, iaitu dua hari sekali.
“Bermakna setiap hari akan ada sidang media, satu membabitkan dasar, keputusan keseluruhan dan satu yang melibatkan aspek siasatan, sama ada melibatkan jenayah, kecuaian atau aspek teknikal yang akan dibentangkan oleh jabatan terlibat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, di Shah Alam, sebentar tadi.
Tambahnya, mulai hari ini beberapa langkah kawalan akan dilaksanakan di beberapa lokaliti terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), berikutan terdapat kesesakan.
Kawalan itu akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan menentukan tempat perjumpaan bagi keluarga mangsa.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi menentukan punca kebakaran, sama ada terdapat kecuaian atau faktor teknikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, siasatan kes itu akan menumpukan dua aspek membabitkan hal teknikal dan kesalahan jenayah.
Semua maklumat yang boleh membantu siasatan juga sudah diambil maklum, sambil menambah akan memanggil pihak terbabit untuk memberi keterangan.
“Saya boleh maklumkan siasatan akan merujuk kepada dua aspek sama ada aspek teknikal yang akan dikelolakan atau dikendalikan oleh jabatan seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), PETRONAS dan pelbagai badan teknikal lain.
“Keduanya siasatan merujuk kepada (elemen kecuaian) atau kesalahan jenayah yang boleh direkodkan atau boleh dilibatkan,” tambahnya.
Kebakaran besar paip gas di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri itu, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.