OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Gas amonia kilang bocor: 4 lelaki melecur, 3 wanita sesak nafas

Shah Alam: Empat lelaki melecur manakala tiga wanita mengalami sesak nafas dalam insiden kebocoran gas amonia kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, tengah hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.

Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah, BBP Shah Alam dan BBP Bukit Jelutong digegaskan ke lokasi kejadian.

"Laporan oleh komander operasi terdapat kebocoran pada injap saluran gas amonia kilang dan didapati terdapat empat mangsa melecur.

"Kesemua mangsa sudah dihantar ke hospital oleh pihak kilang sebelum pihak bomba sampai. Pihak Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) juga berada di lokasi kejadian.

"Injap berkenaan berjaya ditutup pada 3.10 petang dan tiga pekerja wanita mengalami sesak nafas dan dibawa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

4 melecur, 3 sesak nafas akibat gas ammonia bocor

KLANG – Empat lelaki melecur dan tiga wanita sesak nafas selepas terdedah kepada gas ammonia akibat kebocoran injap di sebuah kilang sejuk beku di Pulau Indah hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 16 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.17 tengah hari.

Katanya, kesemua mereka daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah, Shah Alam dan Bukit Jelutong.

“Berdasarkan laporan mendapati terdapat kebocoran pada injap saluran gas ammonia kilang itu. Empat mangsa melecur telah dihantar ke hospital oleh pihak kilang sebelum pihak bomba sampai,” katanya hari ini.

Beliau menambah, injap berkenaan berjaya ditutup kira-kira pukul 3.10 petang.

Jelasnya, bomba turut mengesan terdapat tiga wanita pekerja kilang mengalami sesak nafas telah dibawa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Peruntukan tambahan untuk tingkat kompetensi bakal disalur kepada 28 kementerian – KPPA

PUTRAJAYA, 24 Jan: Peruntukan tambahan berjumlah RM56 juta untuk latihan penjawat awam bagi peningkatan kompetensi dalam tujuh bidang tujahan baharu akan mula disalurkan kepada 28 kementerian dalam masa terdekat.

Tujuh bidang itu merangkumi kecerdasan buatan, transformasi digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana yang menjadi fokus Kerajaan MADANI seperti ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA-19) pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata 28 kementerian terbabit diberi kelonggaran mengenal pasti pegawai yang perlu diberikan latihan dan bidang yang harus dikembangkan dalam kementerian masing-masing.

“JPA salurkan kepada 28 kementerian kerana mereka lebih mengetahui apa bidang diperlukan di kementerian masing-masing berdasarkan tujuh bidang tujahan baharu. Cadangan itu perlu dikemukakan kepada JPA untuk penilaian agar tidak lari daripada hasrat sebenar,” katanya dalam sesi temu bual di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata sebagai contoh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan bidang teknologi makanan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bidang pengurusan bencana dan Kementerian Digital (KD) bidang transformasi digital.

“Menjadi hasrat kerajaan agar kemahiran dan pengetahuan pegawai awam setanding dengan konsultan luar bagi mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada kepakaran luar sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata JPA yakin pasukan perkhidmatan awam bergerak ke arah yang dihasratkan kerajaan dengan pendedahan lebih intensif untuk penjawat awam.

Beliau berkata sejak tahun lepas, JPA melalui program Accelerated Course for Competency Excellence (ACE) atau kini dikenali Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ), telah menghantar 88 pegawai awam mengikuti latihan selama enam bulan di empat negara iaitu United Kingdom, Australia, India dan China.

Beliau berkata para pegawai yang mengikuti program itu akan kembali ke Malaysia untuk menjadi tenaga pengajar pula yang akan menghasilkan ‘snowball effect’ kepada perkhidmatan awam.

“JPA mempunyai perancangan agar pegawai-pegawai ‘project paper’ mendapat pengiktirafan daripada tempat mereka belajar untuk ‘present’ dan mengumpulkan pegawai daripada setiap kementerian mendengar idea yang boleh dibawa ke kementerian lain (bagi penambahbaikan),” katanya.

Beliau berkata bagi tahun ini, JPA akan meneruskan lagi program itu dengan menyediakan 140 slot peserta dengan beberapa penambahbaikan termasuk mengadakan program latihan secara hibrid agar lebih ramai pegawai mendapat peluang.

Selain itu, JPA melalui 15 program penajaan di Bawah Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang lain termasuk Program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Program HLP Separa Biasiswa secara dalaman dan lain-lain akan terus memfokuskan bidang pengajian yang diperlukan negara.

Wan Ahmad Dahlan berkata Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang juga di bawah seliaan JPA turut menawarkan kursus latihan dalam tujuh bidang tujahan baharu kepada penjawat awam.

“Untuk tujuh bidang tujahan baharu, kumpulan pelaksana perlu tahu agar ada satu kesinambungan. Saya mahu ada ‘frame of reference’ sama antara pegawai pelaksana dan pengurusan tertinggi,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 41 kursus berkaitan tujuh bidang tujahan baharu telah dilaksanakan pada 2024 dengan penyertaan sebanyak 112,657 peserta daripada pelbagai peringkat. – TVS

 

28 kementerian terima peruntukan tambahan RM56 juta latih pegawai 7 bidang tujahan baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak RM56 juta peruntukan tambahan akan disalurkan kepada 28 kementerian dalam tempoh terdekat bagi melatih penjawat awam menerusi tujuh bidang tujahan baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata bidang itu membabitkan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada 28 kementerian berkenaan untuk mengenal pasti pegawai berpotensi bagi menjalani latihan bidang yang perlu dikembangkan di tempat masing-masing.

"Kita akan salurkan peruntukan ini kerana kita berpandangan, kementerian lebih mengetahui apa bidang yang mereka perlukan di kementerian masing-masing, berdasarkan tujuh bidang tujahan ini.

"Kementerian kena pastikan pegawai yang ada potensi untuk pergi lebih jauh dan bidang apa yang mereka nak lengkapkan di kementerian mereka," katanya pada sesi temubual bersama Berita Harian dan Bernama di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, biarpun kelonggaran diberikan, kementerian perlu mengemukakan cadangan berhubung pegawai dan bidang tujahan yang dipilih kepada JPA terlebih dahulu.

 Katanya, JPA tidak mahu sebarang usaha yang hendak dilaksanakan, tersasar daripada hasrat sebenar diinginkan kerajaan.

"Kadang-kadang kementerian ada keutamaan mereka sendiri. Jadi saya tak nak nanti, peruntukan yang bukan banyak sangat apabila kita bahagikan ini, tidak digunakan ke tempat yang sepatutnya.

"Kita nak memperkasakan tujuh bidang tujahan. Sebab kalau kita bercerita mengenai kawalan sempadan (sebagai contoh), ia akan membabitkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), MKN (Majlis Keselamatan Negara), Kementerian Pengangkutan.

"Jadi keutamaan kita, memberi kelonggaran kepada kementerian untuk mereka kenal pasti bidang yang bagaimana perlu mereka perkasa lagi ilmu pengetahuan untuk pegawai mereka," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif menghantar pegawai mendapatkan latihan lanjut di luar negara menerusi Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan.

Katanya, untuk tahun ini terdapat 140 tempat disediakan untuk penjawat awam menjalani latihan bagi meningkatkan lagi ilmu dan kepakaran mereka.

"Tahun lalu kita sudah menghantar 88 penjawat awam mengikut latihan di empat negara membabitkan United Kingdom (UK), Australia, China dan India selama enam bulan.

"Sebagai contoh, pegawai yang mengikuti latihan di UK membabitkan pengurusan bencana, fokus kepada asid deoksiribonukleik (DNA) sebab kalau berlaku bencana, kita ambil contoh tragedi Highland Towers, ada mangsa yang tidak sempurna.

"Jadi kita hantar pegawai bagaimana menguruskan isu yang berkaitan dengan mengenal pasti mangsa ini. Apa langkah yang mereka perlu ikuti dan sebagainya," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, pegawai yang selesai menjalani latihan itu kemudian akan pulang ke tanah air dan berkongsi ilmu pengetahuan yang mereka peroleh.

"Seperti saya katakan, saya mempunyai perancangan. Mereka yang kertas projeknya mendapat pengiktirafan daripada tempat mereka belajar, mereka perlu bentangkan.

"Kita akan kumpul pegawai daripada setiap kementerian untuk mendengar. Seperti yang saya kata, mungkin tidak berkaitan dengan kementerian berkenaan tapi apa yang kita nak dedahkan adalah idea, pemikiran yang mungkin boleh dibawa ke kementerian lain," katanya.

 

MetMalaysia warns of thunderstorms in multiple states until 9pm on Jan 24

PETALING JAYA: The Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia) is warning of thunderstorms, heavy rain and strong winds in most parts of the country until 9pm on Friday (Jan 24).

In a statement, MetMalaysia said the states affected are Perlis; Kedah; Penang; Perak; Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu and Hulu Terengganu); Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera and Rompin); Selangor, the Federal Territories of Kuala Lumpur and Putrajaya; Negri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah and Jempol); and Johor (Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi and Johor Baru).

In Sarawak, the areas affected are Kuching; Samarahan (Samarahan and Asajaya); Sarikei (Julau and Meradong); Sibu (Sibu and Kanowit); Mukah (Daro and Matu); Miri and Limbang.

In Sabah, adverse weather is expected in the Interior (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort and Tambunan); West Coast; Sandakan (Tongod and Beluran) and Kudat as well as the Federal Territory of Labuan.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search