WASHINGTON, 21 Julai – Pihak berkuasa di Texas mengesahkan hanya tiga individu masih dilaporkan hilang susulan bencana banjir besar yang melanda negeri itu awal bulan ini.
Banjir kilat berlaku akibat hujan lebat pada 4 Julai lalu telah meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa di kawasan tengah Texas, termasuk lebih 30 kanak-kanak.
Pasukan mencari dan menyelamat terus menyusuri tebing Sungai Guadalupe di Kerr County – kawasan yang paling teruk terjejas – dalam usaha mengesan penduduk terjejas banjir.
Pusat Maklumat Bersama Bencana Banjir Kerr County dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan lanjut menunjukkan majoriti individu yang pada awalnya dilaporkan hilang telah dikenal pasti selamat.
"Ketika ini, hanya tiga individu masih hilang dalam bencana banjir yang berlaku pada 4 Julai," menurut kenyataan itu.
Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice berkata, lebih 1,000 anggota dari agensi tempatan, negeri dan persekutuan bertungkus-lumus menjalankan operasi pemulihan dan mencari mangsa.
"Hasil usaha luar biasa ini telah mengurangkan jumlah individu yang dilaporkan hilang daripada lebih 160 kepada hanya tiga," ujarnya.
Beberapa kematian turut dilaporkan di daerah lain, termasuk mayat seorang ketua bomba yang masih hilang di Burnet County.
Banjir tersebut mengakibatkan kemusnahan besar termasuk Camp Mystic, yang mencatatkan 27 kematian membabitkan pelatih dan kaunselor wanita.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama isterinya, Melania, telah melawat kawasan bencana pada 11 Julai lalu.
Beliau mengarahkan tindakan awal serta perancangan berkaitan dalam usaha membantu penduduk terjejas banjir dan menyerahkan pengurusan kecemasan persekutuan kepada pihak negeri. – AFP
HONG KONG: Taufan Wipha menghampiri Hong Kong memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran tertinggi dengan lebih 500 penerbangan dibatalkan.
Kira-kira 200 penduduk dalam radius kawasan berisiko ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Taufan Wipha yang dikesan sekitar 60 kilometer ke tenggara Hong Kong dijangka membawa angin kencang melebihi 118 kilometer sejam.
Pasukan kecemasan menerima puluhan laporan membabitkan insiden pokok tumbang dan kerosakan harta benda.
Sebahagian besar sekolah ditutup, manakala pengangkutan awam terjejas dengan perkhidmatan kereta api terhad kepada laluan tertutup sahaja.
Pihak berkuasa memberi amaran berwaspada terhadap cuaca buruk yang dibimbangi memberi ancaman serius kepada keselamatan awam. – AFP
PEKAN BARU: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengesahkan sebanyak 259 titik panas menunjukkan kebakaran hutan dan tanah di seluruh Riau telah dikesan.
SEOUL – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam kejadian hujan lebat di Korea Selatan hari ini, kata kementerian dalam negeri, menjadikan korban meningkat kepada 14 orang minggu ini.
Jumlah kematian dijangka terus meningkat, dengan 12 orang masih hilang selepas lima hari hujan lebat berlaku.
Taburan hujan hampir 170 milimeter melanda daerah Gapyeong, wilayah Gyeonggi yang terletak 70 kilometer ke timur Seoul awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan empat lagi hilang.
Seorang wanita berusia dalam lingkungan 70-an terbunuh apabila rumahnya ditimbus tanah runtuh, manakala mayat seorang lelaki berusia 40-an ditemui berhampiran sebuah jambatan selepas dia lemas, lapor agensi berita Yonhap.
Angka kematian akibat hujan lebat selama lima hari kini sekurang-kurangnya 14 orang, demikian menurut data rasmi.
Kebanyakan kematian berlaku di daerah selatan Sancheong yang menyaksikan hampir 800 milimeter hujan turun sejak Rabu lepas.
Korea Selatan mengalami hujan monsun pada bulan Julai dan lazimnya mengadakan persediaan rapi. Bagaimanapun minggu ini, wilayah selatan negara itu dilanda hujan sangat lebat di luar jangkaan pihak berkuasa. – AFP
