OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran ladang kelapa merebak ke kawasan hutan berhampiran

Kebakaran ladang kelapa merebak ke kawasan hutan berhampiran

KUANTAN - Kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu merebak hingga ke kawasan hutan berhampiran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Razam Taja Rahim berkata, kawasan hutan yang terbakar seluas 7.5 hektar menjadikan keseluruhan lokasi yang terjejas mencecah hampir 150 hektar sejak kebakaran mula dikesan.

 

Menurutnya, sehingga Khamis, 138 hektar daripada 526.09 hektar kawasan ladang telah terbakar, dengan 98 hektar berjaya dipadamkan.

“Kerja-kerja pemadaman babitkan baki 44 hektar yang masih terbakar diteruskan.

“Bagaimanapun, situasi terkini boleh dikatakan semakin terkawal dengan tumpuan kini kepada titik api baharu terutama melibatkan kawasan hutan berhampiran,” katanya.

Mohd Razam berkata, operasi pemadaman menggunakan kaedah bom air melalui pesawat Mi-17 diteruskan terutama di titik kebakaran baharu.

Jelasnya, bermula 26 Februari lalu, 143,000 liter air telah digugurkan daripada 110 'dumb' bom air.

"Kaedah itu terpaksa digunakan kerana keadaan kawasan yang terbakar sukar diakses berikutan jalan lama tidak diselenggara serta tiada langsung laluan untuk masuk ke kawasan hutan.

“Selain itu, kaedah pemadaman terus kepada punca api turut dilaksana dengan menempatkan anggota dalam kawasan terbakar dibantu oleh unit udara.

“Pihak bomba akan menambah anggota 20 hingga 30 orang juga peralatan dengan bantuan daripada agensi sahabat dan kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi keupayaan kerja-kerja pemadaman,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Razam berkata, pihaknya menjangkakan operasi pemadaman dapat diselesaikan minggu ini namun masalah asap mungkin mengambil masa untuk hilang sepenuhnya.

"Faktor cuaca dan angin yang menolak asap hingga berlaku jerebu di sekitar Kuantan," katanya.

Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar Kuantan pada tahap sederhana setakat jam 10 pagi pada Jumaat dengan kawasan Balok Baru merekod bacaan 76 dan Indera Mahkota, 54.

Sementara itu, pada Khamis, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad telah meninjau lokasi terbabit.

Semasa tinjuan itu, Nik Nazmi memaklumkan kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan melaksanakan pembenihan awan bagi membantu memadamkan kebakaran ladang kelapa yang berlarutan itu.

Bagaimanapun menurutnya, pelaksanaan itu perlu mengikut prosedur termasuk perbincangan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search