PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

Bengkel Penyediaan dan Penyelarasan Cadangan Projek Pembangunan bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Tahun 2026 NADMA | 17 hingga 19 April 2025 | Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberikan tumpuan yang mendalam dalam penyediaan cadangan projek pembangunan baharu RMK13 bagi sesi pembentangan dengan Kementerian Ekonomi.

Perasmian dan penutupan bengkel ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang terlibat atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan bengkel ini.

Previous Next

Lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan AHA Centre, Sempena Lawatan Rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Jakarta, Indonesia | 21 April 2025
 
YAB Dato' Seri Dr.Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah mengadakan Lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bagi tujuan kunjungan hormat ke atas agensi berkenaan yang juga merupakan agensi pengurusan bencana Indonesia.
 
Delegasi Malaysia turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Ketua Pengarah NADMA, Pengerusi MARA dan Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
 
YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyampaikan ucapan pembukaan yang turut menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama khususnya dalam pengurusan bencana di antara Malaysia dan Indonesia dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang menyebabkan pelbagai bencana baharu muncul.
 
Semasa lawatan tersebut, Kepala BNPB, Letjen TNI Dr. Suharyanto telah menyampaikan pembentangan mengenai jenis-jenis bencana yang kerap berlaku di Indonesia serta inisiatif pencegahan, pasca bencana dan teknologi sistem amaran awal (EWS) yang digunakan di Indonesia.
 
Delegasi Malaysia turut dibawa melawat ke Pusat Pengendalian Operasi (Pusdalops) BNPB dan ASEAN Emergency Operation Centre (EOC) yang berfungsi sebagai lokasi pusat dalam memantau bencana dan menyelaras tindak balas kolektif ASEAN terhadap bencana.
 
Melalui lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke BNPB dan AHA Centre, diharapkan dapat memperkukuh kerjasama, menambahbaik perkongsian maklumat serta kepakaran teknikal dalam penambahbaikan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana antara kedua-dua negara.
Previous Next

Bengkel Penyelarasan dan Pengurusan Bencana untuk Pengurusan Tertinggi bagi Kluster Kesihatan | 14 hingga 17 April 2025 | Hotel Corus, Kuala Lumpur
 
Bengkel ini merupakan kolaborasi antara pihak Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA dan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA dan diiringi oleh Dr Ajantha Segarmurthy, Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA serta Dr Hazlina binti Yahaya, Ketua Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan KKM.
 
2 orang pegawai dari NADMA telah dijemput untuk menyampaikan ceramah iaitu Encik Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dengan tajuknya "Pengaplikasian Teknologi Dalam Pengurusan Bencana" dan Dr Ajantha Segarmurthy, Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi dengan tajuknya "Arahan NADMA No. 1".
 
Objektif bengkel ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan keupayaan KKM supaya sentiasa bersedia bagi melaksanakan operasi dari aspek kesihatan berkaitan bencana dengan berkesan di samping rentan (resilient) terhadap bencana dan memastikan pengoperasian peraturan tetap serta arahan berkaitan bencana sedia ada difahami oleh setiap agensi. Peserta bengkel ini terdiri daripada kalangan Pengarah, Timbalan Pengarah dan Doktor dari Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital, Pejabat Kesihatan Daerah serta fasilitator pula merupakan dari NADMA dan KKM.
Previous Next

Mesyuarat Penyelarasan Semakan Garis Panduan Sedia Ada bagi Mengatasi Banjir Kilat Akibat Projek Pembangunan | 15 April 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
 
Telah berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Semakan Garis Panduan Sedia Ada bagi mengatasi banjir kilat akibat projek pembangunan yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA. Seperti yang kita tahu, banjir kilat semakin kerap berlaku khususnya di kawasan bandar atau sub-bandar yang pesat membangun. Kajian mendapati projek pembangunan infrastruktur dan perumahan sering menjadi penyumbang kepada perubahan guna tanah, kehilangan kawasan tadahan hujan dan sistem saliran yang tidak mencukupi.
 
Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk menyemak dan menilai keberkesanan garis panduan sedia ada yang diguna pakai dalam mengawal dan mengurus risiko banjir kilat yang berpunca daripada aktiviti pembangunan. Ia juga bertujuan untuk mengkoordinasi tindakan antara pelbagai agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, PLANMalaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain.
 
Turut hadir wakil daripada NADMA yang terdiri dari Seksyen Penyelarasan Operasi, Seksyen Pelaksanaan Operasi dan Seksyen Teknikal & Infrastruktur. Agensi lain yang turut hadir adalah PLANMalaysia, JKR, JPS CIDB serta JKT.
Previous Next

Kunjungan Hormat NADMA kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan | 14 April 2025 | Kota Bharu, Kelantan
 
Delegasi NADMA yang diketuai oleh YBrs. Tuan Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) telah membuat kunjungan hormat kepada YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Delegasi NADMA turut disertai oleh Encik Jefny Bin Muhammad, Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial (SPKS); Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan; Encik Ir. Haji Hanizan Bin Deraman, Pengarah Seksyen Mitigasi serta pegawai-pegawai kanan dari Seksyen Teknikal dan Infrastruktur dan SPKS.
 
Kunjungan hormat ini bertujuan bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan bencana negeri Kelantan khususnya susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang baru berakhir. NADMA juga telah mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan Negeri Kelantan selepas kunjungan hormat tersebut.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search