PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Gegaran gempa bumi di Segamat tak babit kemalangan jiwa, kecederaan

JOHOR BAHRU: Gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat pagi tadi, tidak menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa setakat ini.

Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat berkata, gegaran berlaku pada 6.13 pagi dengan pusat gempa dikesan berhampiran Segamat.

Gegaran turut dirasai sebahagian penduduk di daerah berkenaan dan beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka serta selatan Pahang.

"Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa yang diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan memantau secara berterusan bagi memastikan keadaan di Segamat selamat.

 

Sehubungan itu, Mohd Ezzuddin meminta orang ramai bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.

Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan agensi kerajaan lain serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.

"Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara," katanya.

Sementara itu, METMalaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan, satu lagi kejadian gempa bumi lemah berlaku di 28km Barat Laut Kluang bermagnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer pada 9 pagi tadi.

Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang dan METMalaysia akan terus memantau keadaan.

"Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi diminta mengisi borang soal selidik melalui pautan https://forms.gle/wnvUfvdCEs9k64Uv5," kata METMalaysia. – BERNAMA

Low risk of strong earthquake, says expert

JOHOR BARU: The likelihood of a stronger earthquake occurring in Segamat, Johor, is low as the district does not sit within an active fault line.

An earthquake fault line is a fracture or zone of fractures in the earth's crust where movement occurs.

Senior lecturer at Universiti Teknologi Malaysia's (UTM) Faculty of Civil Engineering, Associate Professor Dr Mariyana Aida Ab Kadir, said today's tremors in the district are categorised as minor and posed no serious threat to residents or surrounding structures.

However, Mariyana, who is also a member of UTM's Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research (eSEER) group, said continuous monitoring was necessary to provide early information and knowledge to prevent panic among residents.

"Referring to the contour map of the Peak Ground Acceleration (PGA) National Annex: 2017 (MS EN 1888-1:2015), Johor in general and Segamat in particular are not located within an active fault zone.

 

"The area falls within the four per cent PGA contour, which refers to ground movement velocity during an earthquake.

"Earthquakes occur along fault lines either on land or at sea. "Fault lines can be identified as active or inactive.

"Ground movement along active fault lines, including tremors during an earthquake, can be measured using seismometers.

"In Malaysia, records of ground movement caused by earthquakes are available from the Malaysian Meteorological Department."

She said continuous monitoring is essential to provide early warnings and help communities take precautions to minimise the risk of accidents and damage.

She said that if moderate tremors occur outside of active fault zones, they could be triggered by other factors, such as heavy industrial activity, including quarrying.

"In general, moderate tremors can be felt by occupants of high-rise buildings, especially on the upper floors. They may feel slight swaying, but it is not significant," she said.

Earlier, an earthquake measuring 4.1 on the Richter scale was reported in Segamat at 6.13am, followed by a second mild quake measuring 2.8 in Kluang at 9am today.

Tindakan pantas orang awam selamatkan rumah daripada musnah

MIRI, 24 Ogos: Tindakan pantas orang awam berjaya menghalang kebakaran sebuah rumah daripada merebak di Jalan Bayu, Taman Jelita, Taman Tunku, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.27 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba pada jam 8.38 malam, didapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Api hanya melibatkan bahagian luar rumah dan mengakibatkan kerosakan kira-kira 15 peratus,” katanya.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh berlandaskan prosedur RECEO bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.

Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan penghuni rumah yang merupakan penyewa, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 malam.-TVS

Penduduk kongsi pengalaman rasai gempa ketika solat Subuh

SEGAMAT, 24 Ogos: Penduduk di daerah ini memberitahu bunyi kuat disusuli gegaran pada pukul 6.15 pagi tadi pada mulanya disangka guruh.

Seorang peniaga, Ahmad Asri Talib, 52, yang tinggal di Taman Pawana, Kampung Tengah berkata, gempa bumi kecil itu menyebabkan tingkap dan pintu rumahnya bergegar seolah-olah ditendang.

“Selepas itu dengar bunyi tingkap dan sliding door pula bergegar lebih kurang selama 20 saat.

“Saya kemudian keluar rumah dan nampak jiran juga keluar, suasana jadi kecoh, barulah kami sedar ada gempa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Ahmad Asri, dia tidak menyangka berlaku gegaran seterusnya pada pukul 9 pagi ketika bersarapan di sebuah kedai di Pekan Jabi.

“Saya rasa pening ketika gegaran kali kedua, tidak sangka berlaku selepas tiga jam gegaran pertama.

“Saya kemudian memeriksa amaran gempa bumi dan tsunami di laman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tetapi tiada amaran dikeluarkan” ujarnya.

Jelasnya, gegaran gempa bumi kali ini mengingatkan gegaranpada tahun lalu di situ.

“Enam hingga tujuh kali saya rasa gegaran pada 2-24, setiap kali gegaran tingkap dan pintu bergegar sekitar dua saat.

“Mulanya kami anggap letupan kuari namun setahu saya, di sini tidak ada kuari cuma banyak bukit berbatu,” katanya.

Ahmad Asri berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan gegaran di sini.

Terdahulu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di Kluang dengan magnitud 2.8.

Sementara itu jemaah di Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap turut berkongsi detik cemas ketika gempa pada pukul 6.13 pagi tadi.

Imam surau, Saniman Abdul Samad, 63, berkata, semasa gegaran berlaku mereka hampir selesai solat Subuh.

“Kami sedang tahiyat akhir, sebelum memberi salam, saya rasa gegaran yang agak kuat.

“Selepas itu bunyi dentuman kuat. Kami terkejut apabila nampak ‘skirting’ (kemasan) siling surau jatuh.

“Mujur tidak kena jemaah.Ini pengalaman pertama saya merasa gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, jemaah di Surau Batu 2, Kampung Tengai di sini turut gempar apabila merasai gegaran ketika solat berjemaah.

Imam surau berkenaan, Mohd Johan Hassan, 58, berkata, semasa bacaan surah al-Mulk ayat ke-8 pada rakaat pertama, dia menyedari lantai bergegar.

“Macam ada benda hendak jatuh, lantai pun terasa bergegar tetapi kami tetap teruskan solat,” katanya. -TVS.

 

 

 

'Segamat tidak berada dalam kawasan garis sesar aktif untuk risiko gempa lebih besar'

JOHOR BAHRU: Potensi gempa bumi berskala lebih besar berlaku di Segamat, Johor adalah rendah kerana daerah itu tidak berada dalam kawasan garis sesar aktif.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Mariyana Aida Ab Kadir, berkata gegaran di daerah itu hari ini dikategorikan sebagai gegaran kecil dan tidak mendatangkan kesan serius kepada penduduk serta struktur yang berada di kawasan sekitar.

Beliau yang juga ahli kumpulan Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research (eSEER) UTM, berkata pemantauan berterusan perlu dibuat bagi membolehkan maklumat awal disalur supaya penduduk tidak panik.

"Jika merujuk kepada peta kontur Peak Ground Acceleration (PGA) National Annex: 2017 (MS EN 1888-1:2015), Johor umumnya dan Segamat khususnya tidak berada dalam kawasan aktiviti garis sesar aktif dan terletak dalam PGA empat peratus iaitu kelajuan pergerakan tanah semasa gempa bumi.

"Gempa bumi boleh berlaku di kawasan garis sesar sama ada di kawasan darat atau laut.

 

"Garis sesar boleh dikenal pasti sama ada aktif atau tidak. Pergerakan tanah pada garis sesar aktif untuk mencerap pergerakan atau getaran tanah semasa gempa bumi boleh dicerap menggunakan alat seismometer.

"Di Malaysia, rekod pergerakan tanah disebabkan oleh gempa bumi boleh didapati dari Jabatan Metreologi Malaysia (METMalaysia).

"Justeru, pemantauan perlu dibuat untuk memberi maklumat awal, selain membantu masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan," katanya.

Mariyana Aida berkata, jika berlaku gegaran sederhana di kawasan luar lingkaran garis sesar aktif, ia mungkin disebabkan oleh faktor lain seperti aktiviti industri berat, contohnya aktiviti kuari.

Katanya, gegaran berkekuatan sederhana umumnya boleh dirasai oleh penghuni di tingkat atas bangunan tinggi. "Mereka mungkin berasa sedikit bergoyang, namun tidak ketara," katanya.

Gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi tadi, manakala gegaran gempa bumi lemah kedua bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang pada jam 9 pagi hari ini.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search