PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Bencana Dalam Bencana, Nadma Pastikan Pengurusan Banjir Di Yan, Kuala Muda Teratur

Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan memastikan pengurusan bencana akibat banjir di Yan dan Kuala Muda, Kedah dikawal dan diselaraskan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, situasi di kedua-dua tempat itu yang diisytiharkan sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 hari ini susulan banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai petang semalam, Nadma berperanan menyalur maklumat dan memberi nasihat bagi pengurusan bencana berkenaan.

"Yang penting apabila bencana berlaku ia dapat dikawal dan diselaraskan dengan teratur. Contoh bencana yang berlaku di Yan, tidak perlu cetuskan ia kepada satu tahap yang lebih besar dan meletakkan keyakinan kepada agensi-agensi yang berada di situ.

"Antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Komander Operasi Bencana di situ boleh menanganinya kita akan bagi nasihat tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini

Menyifatkan banjir di dua daerah itu ketika negara masih dilanda wabak Covid-19 sebagai 'bencana dalam bencana', beliau berkata pegawai Nadma akan memantau keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) dari segi jarak yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti prosedur pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terutama sekiranya terdapat kes-kes positif Covid-19 memandangkan kes dicatatkan di Kedah agak tinggi buat masa ini.

Aminuddin berkata, Pengisytiharan Kawasan Bencana Tahap 1 adalah merujuk kepada daerah yang ditimpa bencana dengan pengurusan dan pengendaliannya ditangani agensi pengurusan bencana di peringkat daerah.

Beliau berkata, sebuah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang kebiasaannya diketuai Pegawai Daerah akan ditubuhkan bagi tujuan mengelola dan menyelaras semua sumber, logistik, kewangan serta tugas-tugas termasuk agensi-agensi terbabit dalam pengurusan bencana itu.

"Bagi Kawasan Bencana Tahap 1, tidak perlu nak 'resource' (dapatkan sumber) daripada peringkat negeri atau daerah terdekat, hanya terlitup dalam kawasan daerah itu sahaja.

"Tahap 2 adalah peringkat negeri, contohnya banjir yang merentas dua atau tiga daerah...sekiranya banyak daerah yang terbabit kita akan bawa ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk isytihar kawasan Bencana Tahap 2," katanya.

Beliau berkata, bagi Kawasan Bencana Tahap 2, sumber bagi pengurusan bencana itu akan digerakkan dan diperoleh daripada kerajaan negeri serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Aminuddin berkata Kawasan Bencana Tahap 3 pula adalah bagi bencana membabitkan beberapa negeri dan pengurusan kawasan bencana ini akan dikelola Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

 

- Harian Metro

 

Syor Penjawat Awam Kerja Dari Rumah Bantu Tugasan Di PKRC

KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang meneliti cadangan penjawat awam yang bertugas dari rumah akan diminta untuk membantu penugasan perkeranian di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata cadangan itu akan dibawa untuk perbincangan antara pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan negeri.

Beliau berkata ketika permulaan penularan COVID-19, jumlah petugas di PKRC adalah mencukupi namun apabila ada antara mereka terpaksa bekerja hampir 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu selain ada petugas positif COVID-19, berlaku pengurangan kakitangan yang boleh digerakkan di lokasi berkenaan.

"Oleh itu antara ideanya ialah berbincang dengan JPA dan kerajaan negeri untuk menggunakan penjawat awam (agensi dan jabatan lain) yang sekarang bekerja dari rumah untuk digerakkan di kawasan yang memerlukan bantuan.

"Sekurang-kurangnya staf perubatan boleh tumpu urusan perubatan manakala tugasan perkeranian boleh minta rakan-rakan daripada perkhidmatan lain untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PKRC Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Aminuddin berkata menerusi lawatannya itu, beliau dimaklumkan 30 hingga 50 petugas tambahan diperlukan di 13 PKRC di seluruh negeri ini.

"Saya akan bincang dengan JPA dan kerajaan negeri Kelantan berhubung keperluan tambahan petugas untuk bantu di PKRC ini," katanya. – BERNAMA

 
Previous Next

Pada 8 Jun 2021, Kerajaan Malaysia melalui NADMA telah menerima sumbangan Fasa ke-2 daripada Kerajaan Amerika Syarikat melalui United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) Overseas Humanitarian, Disaster, and Civic Aid (ODHACA) dengan koordinasi daripada Pejabat Kerjasama Pertahanan (Office of Defence Cooperation), Kedutaan Besar Amerika Syarkat di Kuala Lumpur. Sumbangan kali ini yang merangkumi peralatan ICT, peralatan perubatan, serta peralatan perlindungan diri (PPE) merupakan sebahagian daripada bantuan keseluruhan bernilai lebih RM1,000,000.00 kepada Kerajaan Malaysia untuk menyokong tindak balas menangani pandemik COVID-19 di negara ini.
Ketua Pengarah NADMA, YBhg. Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim telah meluangkan masa untuk turut sama meninjau proses penerimaan barangan bantuan tersebut serta bertemu dengan wakil dari ODC dan petugas Kedutaan Besar Amerika Syarikat di pejabat NADMA. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, NADMA mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan di kala negara sedang menghadapi gelombang ketiga penularan COVID-19. Ianya merupakan tanda solidariti dan hubungan kukuh di antara dua negara.
Barangan sumbangan yang diterima oleh NADMA ini akan diagihkan dalam masa terdekat kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan stesen kuarantin yang mempunyai keperluan kritikal terhadap barangan tersebut. Terdahulu, pada awal bulan Mac, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Brian D. McFeeters serta wakil ODC telah hadir ke PKRC Bersepadu MAEPS untuk menyampaikan sumbangan Fasa Pertama yang diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

'Urus Bencana, Selamat Nyawa'

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search