Pelan mitigasi bah
- Admin UKK
- Berita
Penubuhan Pasukan Petugas Khas oleh kerajaan negeri yang membabitkan pelbagai agensi termasuk Kerajaan Persekutuan membolehkan pelan dan usaha mitigasi bencana banjir dapat dilihat dalam konteks lebih menyeluruh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbiran beliau menerima dengan hati terbuka berhubung teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan langkah segera diambil untuk mengatasi banjir di negeri itu.
“Teguran Tuanku sebenarnya menzahirkan betapa prihatinnya Tuanku terhadap nasib rakyat dan negeri Darul Ehsan supaya tidak mengalami nasib seperti di negeri lain.
“Patik menyatakan komitmen untuk mempercepatkan proses pelaksanaan usaha ini supaya mengelakkan kelewatan yang sebelum ini sering kali berlaku akibat budaya bekerja dalam silo di peringkat agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.
Terdahulu, keberangkatan Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Khamis lalu melaporkan, Sultan Selangor menitahkan agar kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir termasuk merangka satu pelan dan membentuk pasukan khas.
Baginda turut bertitah mahu melihat hasil dalam masa terdekat dan tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan jika gagal mengatasi masalah yang melanda.
Amirudin turut menekankan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) agar tidak melengahkan masa dalam menggerakkan usaha berkaitan sama ada dalam bentuk projek pendalaman sungai ataupun pelebaran saliran, kolam takungan dwi-fungsi.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya RM1.774 bilion diperuntukkan iaitu RM574.5 juta di Daerah Klang bagi Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Klang; Seksyen 25, Shah Alam; Sungai Kapar; Sungai Rasah; Pekan Meru, Sungai Rasau. Katanya, selain itu, sejumlah RM1.2 bilion bagi Daerah Petaling iaitu
Sebanyak RM1.774 bilion diperuntukkan iaitu RM574.5 juta di Daerah Klang
Rancangan Tebatan Banjir Sungai Damansara serta Kolam Takungan Dwi-Fungsi bagi Sungai Klang dan Sungai Rasau.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.593 bilion sehingga 9 Disember lalu.
Katanya, kutipan berkenaan melebihi sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini iaitu pada RM2.2 bilion.
“Sukacitanya patik ingin menyembah maklum bahawa pembangunan ekonomi Negeri Selangor di bawah kerajaan Tuanku terus meningkat.
“Pada tahun lalu, sumbangan Negeri Selangor Darul Ehsan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia terus meningkat kepada 25.9 peratus sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencatatkan nilai tahunan ekonomi melebihi RM400 bilion, iaitu sebanyak RM406.1 bilion pada tahun 2023,” katanya.
GUA MUSANG - Menaiki perahu mengharung banjir untuk ke sekolah sudah menjadi lumrah kepada sebahagian pelajar yang tinggal di Kampung Limau Kasturi di sini setiap kali kawasan berkenaan dinaiki air.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap Nur Fatin Hanina Muhd Naim, 17, berkata, rutin musim tengkujuh itu perlu ditempuhinya untuk beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca dan paras banjir di tempat tinggalnya.
Remaja itu berkata, keluarganya memiliki sebuah perahu sebagai 'kenderaan simpanan' untuk digunakan sekiranya laluan ke Kampung Limau Kasturi terputus ditenggelami air.
"Setiap tahun beginilah rutin saya dan adik Nur Azwa Shafrina, 16. Kami akan menaiki perahu yang didayung ayah merentasi banjir sebelum menumpang kereta saudara yang diparkir di kawasan lebih tinggi di seberang sungai," katanya ketika ditemui pemberita bersama keluarganya yang sedang menaiki perahu untuk pulang ke rumah di sini semalam.
Nur Fatin Hanina yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, dia memilih berulang-alik ke sekolah yang terletak kira-kira 30 kilometer kerana lebih selesa belajar di rumah, selain dapat mengakses lebih banyak bahan pembelajaran secara dalam talian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, lebih 50 pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk dari Kampung Serian terjejas akibat banjir gelombang kedua ini.
"Adakala mereka ini tidak dapat ke sekolah selagi air tidak surut kerana tidak semua keluarga di kampung ini memiliki bot atau perahu untuk meredah laluan yang dinaiki air," katanya.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat tengah hari ini, kesemua mangsa banjir di Kelantan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Gua Musang iaitu Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7 dan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 melibatkan 276 orang daripada 64 keluarga.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan hanya satu sungai di Gua Musang melebihi paras waspada iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi dengan bacaan 57.15 meter. - Bernama
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengerah seramai 13,556 anggota dan pegawai dibantu 2,147 pegawai bomba bantuan serta 8,421 ahli pasukan bomba sukarela daripada 369 pasukan di seluruh negara bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang melanda negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pasukan penyelamat sudah pun berada di lapangan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembekuan cuti 100 peratus juga telah dikuatkuasakan bermula 1 Disember lepas melibatkan pegawai dan anggota JBPM negeri dan yang terlibat operasi Monsun Timur Laut (MTL).
“Seramai 82,000 anggota daripada pelbagai agensi sudah bersedia untuk gelombang kedua,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Kesiapsiagaan MTL di Balai Bomba Hang Tuah pada Rabu.
Kor Ming berkata, bagi tempoh 5 November hingga 10 Disember lepas, JPBM telah menerima sebanyak 1,111 panggilan kes penyelamatan berhubung kejadian bencana alam di seluruh negara selain 1,119 operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh JBPM yang melibatkan seramai 5,193 mangsa.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, JBPM dijangka memperoleh 30 jentera pemadam api baharu paling canggih bermula tahun hadapan dan perolehan aset itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan China.
“Saya nampak ada jentera bomba yang perlu baik pulih yang besar selain kenderaan yang sudah digunakan sejak sekian lama dan kita perlukan RM30 juta untuk membaik pulih.
“Tetapi kita ada (peruntukan) RM18 juta sahaja, memang tidak cukup, namun dengan hubungan diplomatik yang berjaya diterokai oleh yang berhormat PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah berjaya memujuk China.
“(Kerajaan) China cakap untuk peruntukan itu (RM18 juta) mereka akan bagi kita RM60 juta (nilai jentera) atas dasar hubungan diplomatik antara dua negara,” katanya.
Kor Ming berkata, sebelum ini, Belanjawan 2025 meluluskan perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah RM40 juta. - Bernama
Gua Musang: Banjir gelombang kedua menyaksikan hampir 3,000 penduduk Kampung Limau Kasturi dan kampung sekitarnya, terputus hubungan hari ini, apabila jambatan yang menjadi laluan keluar masuk utama ditenggelami air Sungai Kerak.
Difahamkan limpahan sungai itu berlaku dalam tempoh tiga jam dan turut menenggelamkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai terbabit.
Selain Kampung Limau Kasturi antara kampung lain yang terlibat adalah Kampung Batu 14 dan Kampung Serian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, keadaan itu berlaku susulan hujan berterusan sejak petang semalam dan lebat pada sebelah malam, yang menyebabkan air sungai melimpah.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berhadapan situasi itu setiap tahun, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) buat kali kedua selepas gelombang pertama, dua minggu lalu.
"Saya anggarkan sudah ada enam keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1. Air Sungai Kerak menunjukkan trend meningkat dan pada 5 petang tadi, siren amaran bahaya sudah berbunyi.
"Jadi saya nasihatkan kepada penduduk untuk sentiasa mengikut arahan pihak berwajib demi keselamatan mereka dan keluarga. Kita takut berlaku situasi luar jangka serta mereka tidak sempat berpindah," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, mereka yang terputus hubungan terpaksa menggunakan perahu untuk keluar jika keadaan mendesak.
Penduduk, Ahmad Ab Rahman, 46, berkata, siren amaran banjir yang berbunyi menandakan paras sungai dalam bahaya, sekali gus peringatan akhir untuk penduduk bersiap sedia atas sebarang kemungkinan.
Dia juga menasihati penduduk kampung untuk berpindah lebih awal dan mengelak pindah pada waktu malam memandangkan ia boleh merisikokan diri dan keluarga serta anggota penyelamat.
Selangor terima teguran Sultan Sharafuddin, tubuh 'taskforce' percepat mitigasi banjir
- Admin UKK
- Berita
KLANG - Kerajaan Selangor menerima dengan hati terbuka teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menzahirkan keprihatinan berhubung tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang serta situasi banjir kilat di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas sebagai komitmen kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan usaha pelan mitigasi banjir bagi mengelakkan kelewatan proses tersebut akibat budaya bekerja secara silo di peringkat agensi.
“Sehingga kini, kerajaan Tuanku telah menubuhkan 'taskforce' bersama agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan supaya pelan dan usaha mitigasi kejadian banjir dilihat dalam konteks menyeluruh.
“Malah, baru-baru ini patik turut menekankan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha mitigasi banjir sama ada dalam bentuk projek mendalamkan sungai ataupun pelebaran saliran, kolam takungan dwifungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan taat setia pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sultan Selangor semasa bertitah pada majlis perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang menzahirkan kekesalan dan dukacita dengan tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang kerana terdapat banyak kawasan yang masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.
Baginda bertitah sudah berkali-kali menegur serta menasihati pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif serta perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir di bandar raya itu dan beberapa daerah lain di Selangor namun hingga kini banjir tetap berlaku berulang kali setiap tahun.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan sekurang-kurangnya RM1.774 bilion telah diperuntukkan untuk usaha berkenaan dengan RM574.5 juta digunakan di daerah Klang manakala RM1.2 bilion bagi daerah Petaling.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha menggerakkan Skim Jaminan Air Mentah yang membolehkan loji rawatan air terus menyalurkan air mentah daripada Sistem Takungan Air Mentah Hiliran Sungai (HORAS) sementara sebagai antara usaha menangani insiden pencemaran air mentah di sungai.
“Dengan kos RM320 juta ini, patik dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa hingga kini dua daripada empat pakej utama telah siap sepenuhnya manakala dua kerja-kerja pelencongan sungai di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, serta 3 akan siap sepenuhnya pada bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, setakat Isnin lepas (9 Disember) Selangor telah mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.593 bilion iaitu 118 peratus berbanding sasaran kutipan hasil 2024 berjumlah RM2.2 bilion.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam proses akhir untuk melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Sepang susulan kejayaan IC Design Park pertama di Puchong.
“Inisiatif ini terhasil daripada kerjasama utuh dan kesefahaman erat antara kerajaan Tuanku dan kerajaan Persekutuan yang ingin meningkatkan nilai ekonomi dan peluang pekerjaan bergaji tinggi di Selangor bagi mencapai nilai eksport lebih RM100 bilion dalam industri ini menjelang 2030,” katanya.
Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan melancarkan Dasar 'Speed' Selangor pada April 2025 yang akan memberikan tumpuan kepada industri baharu antaranya kecerdasan buatan (AI) dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik serta aeroangkasa dan bidang pembuatan berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, Amirudin yang mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor turut menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu.
“(Patik) bertekad untuk terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam,” katanya. Bernama