PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Runtuhan dekat tangki air atas bukit, penduduk Rini Homes 7 ketakutan

Iskandar Puteri : Lebih 5,000 penduduk Taman Rini Homes 7 di sini bimbang dengan tanah runtuh di kawasan tangki air yang hanya terletak 50 meter dari rumah mereka.

Penduduk mendakwa pergerakan tanah atas bukit yang menempatkan tangki air Mutiara Rini 2 itu berlaku sejak awal Mac lalu dan ada bongkah batu jatuh setiap kali hujan lebat.

Penduduk, Najib Suhaimi, 37, berkata berlaku dentuman kuat dan runtuhan agak besar di atas bukit berkenaan pada 28 April lalu.

"Rumah saya terletak 50 meter sahaja dari kawasan runtuhan itu. Memang bimbang sebab kawasan runtuhan itu ada tangki air.

"Persatuan penduduk telah membuat beberapa aduan kepada pihak Ranhill SAJ berhubung kejadian dan mereka mengambil tindakan memasang kanvas di lokasi.

"Tetapi pemasangan kanvas tersebut agak kecil dan tidak sempurna menutup runtuhan tanah terbabit," katanya ketika ditemui di kawasan runtuhan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Rini Homes 7, G Vethavalli, 41, berkata runtuhan semakin membimbangkan apabila terjadi runtuhan kedua pada 30 April lalu.

Katanya, runtuhan kedua lebih besar yang menyebabkan struktur batuan cerun merekah dan jatuh sehingga menyebabkan pagar, sistem pendawaian elektrik dan saluran paip rumah kelab rosak.

"Malah dapat dilihat laluan pejalan kaki yang dahulunya rata kini beralun akibat runtuhan itu.

"Persatuan penduduk membuat aduan sekali lagi kepada pihak Ranhill SAJ dan kami masih menunggu tindakan lebih drastik dari mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mack Lee, 45, berkata penduduk bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, seperti runtuhan lebih besar yang mengundang musibah kepada penduduk.

"Paling kami risau, jika ada pergerakan tanah kerana terdapat tangki air besar atas bukit itu. Kalau ia pecah atau berlaku kejadian tanah mendap, kesannya lebih buruk," katanya.

Katanya, sebagai langkah proaktif, Persatuan Penduduk Rini Homes 7 membuat aduan rasmi kepada pihak berkaitan termasuk Menteri Besar Johor dan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Malah laporan polis berhubung kejadian juga dibuat wakil Persatuan Penduduk pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang melawat lokasi kejadian meminta Ranhill SAJ dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera.

"Runtuhan semakin besar dan kita takut ia menyebabkan tangki air besar di atas bukit jatuh sekali gus mengakibatkan malapetaka kepada penduduk," katanya.

 

Kami mahu tindakan segera, jangan tunggu sampai ada tragedi! - Penduduk

ISKANDAR PUTERI - Lebih 5,000 penduduk di Taman Perumahan Rini Homes 7, Taman Mutiara Rini di sini hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran tangki air utama kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk, G Vethavalli, 41, berkata, insiden yang telah berlaku sebanyak dua kali itu mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk, apatah lagi kawasan terbabit sering menjadi tempat kanak-kanak bermain pada waktu petang.

"Kami sudah membuat aduan kepada Ranhill SAJ termasuk laporan polis berhubung kejadian tersebut dan menggesa tindakan segera sebelum berlaku sesuatu yang lebih buruk.

“Kawasan ini menjadi tempat anak-anak bermain dan penduduk beriadah. Kalau sesuatu berlaku, siapa nak tanggung? Kita mahu tindakan segera, jangan tunggu sampai ada tragedi.

 

“Ramai penduduk bekerja di Singapura dan tidak berada di rumah waktu siang. Jadi, kami kerap berkongsi maklumat dalam grup WhatsApp untuk maklumkan keadaan semasa cerun,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Isnin.

Tambah Vethavalli, dia sendiri akan keluar memeriksa keadaan cerun setiap kali hujan bagi memastikan tiada kejadian susulan.

Sementara itu, Najib Suhaimi, 37, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian berkata, beliau terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat sendiri kesan tanah runtuh dari balkoni rumahnya.

“Pada 28 April lalu berlaku runtuhan agak besar di bahagian atas bukit kawasan tangki air terbabit. Rumah saya bahagian hujung yang terletak hanya berjarak 50 meter sahaja dari kawasan runtuhan, isteri dengar bunyi dentuman ketika itu.

"Memang bimbang sebab kawasan runtuhan itu di atasnya terletak tangki air, kalaulah terus berlaku runtuhan kecil dan tangki air jatuh pastinya rumah saya dahulu yang akan terjejas dengan banjir dan kerosakan.

"Sebelum ni saya pasang CCTV sebab faktor keselamatan, tapi sekarang ini memang untuk pantau keadaan tanah, terutamanya setiap kali hujan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mack Lee, 45, berpendapat punca utama mungkin disebabkan takungan air dalam tanah yang menyebabkan kelembapan melampau.

Tambahnya, kejadian itu juga menyebabkan beberapa infrastruktur seperti pagar, longkang, paip air dan sistem pendawaian elektrik sudah rosak akibat dihempap runtuhan struktur batu di cerun tersebut.

“Bila hujan, tanah tak mampu tampung lagi dan akhirnya runtuh. Lagi membimbangkan, tangki air ini bukan saja menampung keperluan penduduk di taman itu sahaja tetapi untuk beberapa kawasan lain juga.

"Kalau tangki ini terjejas, ramai yang akan kena tempias sebab di sini merupakan kawasan paling tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang melawat lokasi kejadian meminta pihak Ranhill SAJ dan pihak berkaitan mengambil tindakan segera.

"Saya mengharapkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan pihak SAJ mengambil tindakan segera kerana runtuhan agak membesar, kita takut runtuhan ini mengakibatkan jatuhnya tangki air yang besar di atas dan mengakibatkan kemalangan kepada penduduk.

"Apatah lagi keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, jadi saya minta pihak berkaitan membuat tindakan segera. Kita takut jika aduan penduduk tidak diendahkan akan memberi malapetaka kepada penduduk di sini," ujarnya.

Waspada lakukan aktiviti air ketika peralihan monsun

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada semasa melakukan aktiviti air di kawasan pantai atau rekreasi ketika peralihan monsun yang melanda negeri ini ketika ini.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, fasa peralihan Monsun Timur Laut ke Barat Daya ini menyebabkan berlakunya ribut petir yang  membawa hujan lebat dalam masa singkat.

“Situasi ini berisiko berlakunya kenaikan air mendadak di sungai mahu pun banjir kilat. Jika ada aktiviti di air ketika itu ia boleh mengundang bahaya kepada orang ramai. 

“Jadi berwaspadalah sepanjang melaksanakan aktiviti itu, jika ternampak tanda-tanda bahaya segeralah meninggalkan kawasan tersebut,” katanya selepas merasmikan masjis Pembukaan Gudang Baharu Penyimpan Silinder Komposit LPG ACGAS Cawangan Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ACGas, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman. – UTUSAN

Perlis, Kelantan antara 8 negeri dilanda hujan lebat petang ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di Perlis, Kedah, Johor, Pahang, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 5 petang ini.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, cuaca buruk dijangka melanda keseluruhan kawasan Perlis, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagi Kedah, ia melibatkan kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling sementara di Pahang hujan lebat hanya tertumpu di kawasan Rompin.

“Pantai Timur pula melibatkan beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tanah Merah,” katanya, hari ini.

Menurut MetMalaysia,  ribut petir diramalkan melanda Sabah membabitkan kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar).

Selain itu, bagi Sarawak, kawasan terjejas cuaca buruk melibatkan Kuching, Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang. – KOSMO! ONLINE

 

Malaysia, ASEAN bukan destinasi dunia sisa buangan, toksik - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus bekerjasama dengan Basel Action Network (BAN) sejajar komitmen Malaysia untuk membanteras pengimportan haram e-waste dan plastik, khususnya dari negara maju.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu dizahirkan semasa penyertaannya dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS COPs) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 28 April hingga 9 Mei .

Dalam pertemuan bersama Pengarah Eksekutif dan pengasas BAN, Jim Puckett, kedua-dua pihak menumpukan kepada usaha memintas dan menghantar pulang kontena sisa haram, selain memperkukuh kerjasama dalam aspek perkongsian maklumat dan penguatkuasaan serantau.

"Malaysia kekal lantang dalam menyuarakan pendirian terhadap kawalan kemasukan sisa berbahaya dan bahan kimia rentas sempadan.

"Kita juga menegaskan bahawa ASEAN bukan destinasi dunia untuk penghantaran sisa toksik dan bahan buangan yang sukar dikitar semula," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kehadirannya ke persidangan itu memperlihatkan komitmen tinggi Malaysia terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya, selari dengan kedudukan Malaysia sebagai antara negara membangun yang aktif dalam rundingan antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia mengambil peluang mengetengahkan harapan dan usaha negara dalam menangani pencemaran bahan kimia dan sisa merentas sempadan, serta kesannya terhadap perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.

Dalam lawatan sama, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar, Dr Abdullah bin Abdulaziz bin Turki Al Subaie, membincangkan peluang kerjasama melalui memorandum persefahaman dalam bidang alam sekitar.

Nik Nazmi juga mengadakan pertemuan singkat bersama wakil Business Coalition for a Global Plastics Treaty dan Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC), Jyoti-Mathur Filipp, bagi membincangkan pendekatan ke arah memuktamadkan dan melaksanakan Perjanjian Plastik Global secara adil, berkesan dan praktikal.

"Komitmen seumpama ini akan memastikan Malaysia terus memberi perhatian kepada isu-isu antarabangsa demi memelihara kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search