PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir Korea Selatan: Tiga maut, ribuan penduduk dipindahkan

SEOSAN: Sekurang-kurangnya tiga terkorban dan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat mencetuskan banjir besar di Korea Selatan semalam.

Menurut data rasmi agensi kaji cuaca Korea Selatan, negara itu kini berada dalam musim hujan monsun bulan Julai, namun kali ini, tiga kawasan di wilayah South Chungcheong mencatat kadar hujan per jam yang luar biasa tinggi, antara yang paling ekstrem pernah direkodkan.

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan mengesahkan, semua kematian berlaku di wilayah South Chungcheong.

 

Sehingga jam 4 petang waktu tempatan, tiga orang disahkan maut, sementara lebih seribu penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan.

Pegawai cuaca menyatakan, bahagian barat Seosan mencatatkan hujan setinggi 114.9 milimeter dalam satu jam, satu kadar luar biasa yang hanya berlaku sekali dalam 100 tahun, dengan kali terakhir direkodkan pada tahun 1904.

Fenomena cuaca ekstrem ini berpunca daripada aliran udara panas dan lembap yang berasal dari pinggir Sistem Tekanan Tinggi Lautan Pasifik Utara, yang mencetuskan ketidakstabilan atmosfera serius.

 

Warga Pakistan maut dihempap pokok akibat ribut

KUCHING: Lelaki warga Pakistan maut dihempap pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Ishaq, 43, menunggang motosikal di Jalan Besar, Kampung Penat di Mukah.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.04 malam.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah diarah ke lokasi yang terletak 13 kilometer dari balai.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 9.47 malam dan mayatnya diserahkan kepada polis," katanya.

Sementara itu dalam kejadian kedua di Kanowit, seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera selepas kereta yang mereka naiki dihempap pokok di Rumah Panjang Inyang, Batu 8, Sungai Ranan.

Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.03 malam dan sepasukan anggota dari BBP Kanowit diarah ke lokasi yang terletak kira-kira 8 kilometer dari balai.

"Setibanya di lokasi didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah pikap jenis Toyota Hilux.

"Terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terperangkap di dalam kenderaan itu.

"Seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum kehadiran bomba," katanya.

 

Pakistan isytihar darurat di wilayah Punjab akibat banjir teruk

PUNJAB: Pakistan mengisytiharkan darurat bencana di wilayah Punjab susulan banjir kilat sehingga kini meragut 63 nyawa dan hampir 300 cedera dalam tempoh 24 jam.

Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif berkata darurat merangkumi beberapa daerah termasuk Rawalpindi dan Chakwal.

Penduduk dalam kawasan berisiko diarahkan berpindah selepas paras air meningkat secara mendadak.

Hujan lebat berterusan juga menyebabkan empangan pecah, selain mencetuskan kejadian tanah runtuh yang mengancam nyawa penduduk.

Selain itu, sebilangan mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik dan runtuhan bangunan.

Operasi menyelamat turut menggunakan helikopter tentera bagi membawa keluar mangsa yang terperangkap banjir di beberapa kawasan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Pakistan (PMD) mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka berterusan sehingga hari ini. – AFP

Banjir besar landa Pakistan, India

ISLAMABAD: Pasukan penyelamat dan anggota tentera di Pakistan pada Khamis giat memindahkan ribuan penduduk dari kawasan banjir.

Hujan lebat selama beberapa jam menenggelamkan bandar utama, hingga menyebabkan lebih 50 kematian, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa) yang memetik kenyataan pihak berkuasa.

Kira-kira 15,000 petugas penyelamat dengan sokongan helikopter tentera dan 800 bot bertungkus lumus untuk menyelamatkan mangsa dari kampung dan bandar yang dinaiki air di wilayah tengah Punjab, menurut jurucakap jabatan penyelamat, Farooq Ahmad.

Keaadan paling kritikal berlaku di Rawalpindi, berhampiran ibu negara Islamabad dan helikopter digunakan untuk menyelamatkan individu yang terperangkap di atas bumbung rumah setelah air sungai melimpah ke kawasan perumahan, kata Farooq.

Setakat ini, 54 orang dilaporkan maut dalam 24 jam lepas akibat hujan dan banjir, menjadikan jumlah kematian sejak akhir Jun kepada 180 orang, menurut agensi bencana kebangsaan.

Kebanyakan kematian berlaku akibat runtuhan tembok dan bumbung, apabila struktur lama mula roboh selepas berminggu-minggu dibadai hujan monsun yang berterusan.

Jabatan meteorologi memberi amaran, lebih banyak hujan lebat dijangka pada Julai dan Ogos, akan menyebabkan sungai melimpah, banjir kilat dan kawasan rendah ditenggelami air.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pakistan, dengan penduduk melebihi 240 juta menjadi antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Setiap tahun, ratusan nyawa terkorban akibat bencana berkaitan iklim di negara itu, dengan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal dan sumber mata pencarian.

Pada 2022, banjir luar biasa mengorbankan lebih 2,000 nyawa, menenggelamkan sepertiga Pakistan dan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$40 bilion (RM170bilion).

Sementara itu, sekurang-kurangnya 109 maut dan 35 dilaporkan hilang susulan hujan monsun di Himachal Pradesh, India, sejak 20 Jun lalu hingga 16 Julai, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua .

Pihak berkuasa mengesahkan kerosakan meluas ke atas rumah, kandang ternakan, bangunan kerajaan, jalan raya, bekalan air dan talian elektrik di seluruh negeri akibat hujan lebat yang berterusan.

Pasukan penyelamat masih mencari mereka yang hilang sementara penduduk menghadapi gangguan bekalan asas seperti elektrik dan air bersih.

Gempa bumi bermagnitud 5.8 gegar perairan Nusa Tenggara Timur

JAKARTA: Gempa bumi dengan magnitud 5.8 menggegarkan perairan Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Khamis, namun tidak mencetuskan gelombang besar, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, lapor Xinhua.
 
Gegaran berlaku pada 4.04 petang waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak 31 kilometer barat daya Daerah Sumba Barat dan pada kedalaman 10 kilometer.
 
Tiada amaran tsunami dikeluarkan kerana gegaran itu tidak dijangka menghasilkan ombak besar.
 
Indonesia, yang terdiri daripada ribuan pulau, sering dilanda gempa bumi kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik. Negara ini juga mempunyai 127 gunung berapi aktif.
 
-- BERNAMA
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search