KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH NADMA KEPADA YB TIMBALAN MENTERI EKONOMI
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH NADMA KEPADA YB TIMBALAN MENTERI EKONOMI | 29 Disember 2025
Ketua Pengarah NADMA, Tuan Meor Ismail bin Meor Akim telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi bertempat di Pejabat YB Timbalan Menteri Ekonomi hari ini.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pengurusan bencana negara, khususnya melibatkan peranan Kementerian Ekonomi dalam menyokong perancangan dasar, peruntukan serta pembangunan keupayaan nasional. Antara fokus utama perbincangan ialah inisiatif penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai panduan dalam proses pembuatan keputusan yang lebih berkesan, berasaskan data dan ramalan, bagi meminimumkan impak bencana terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Dalam sesi pertemuan tersebut, YB Timbalan Menteri turut mencadangkan penganjuran program berasaskan AI yang bertujuan menjadikan teknologi ini sebagai medium utama dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara. Program ini diharap dapat meningkatkan keupayaan ramalan awal, pengurusan maklumat bencana secara masa nyata, serta menyokong penyelarasan tindakan antara agensi dengan lebih cekap dan sistematik. Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkasa pendigitalan dan inovasi teknologi demi kesejahteraan serta keselamatan rakyat.
Turut hadir dari NADMA ialah Datuk Dr. Abdul Gapar Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pelaksanaan Operasi, Puan Munirah Zulkaple, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar dan Perancangan serta Puan Siti Mariam Abu, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Mitigasi.
