Program Asean Committee on Disaster Management (ACDM): Mesyuarat Ke-10 ACDM Working Group on Preparedness, Response and Recovery (WG On PRR)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Program Asean Committee on Disaster Management (ACDM): Mesyuarat Ke-10 ACDM Working Group on Preparedness, Response and Recovery (WG On PRR) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan serta Aktiviti-Aktiviti di bawah WG On PRR | 5 hingga 7 Ogos 2025 | Pulau Langkawi, Kedah
Telah berlangsung program ACDM di bawah Working Group on Preparedness, Response and Recovery (WG On PRR) yang dipengerusikan oleh Encik Rusli Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar NADMA selaku wakil National Disaster Management Organization (NDMO) Malaysia bersama dengan wakil-wakil daripada NDMO Singapura dan Myanmar. WG on PRR merupakan salah satu kumpulan kerja di bawah ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM) yang berperanan penting dalam menyelaras usaha serantau berkaitan kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana.
Kumpulan kerja ini dipengerusikan bersama oleh Malaysia, Myanmar dan Singapura. Fokus utama WG on PRR adalah memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara anggota ASEAN terhadap bencana, meningkatkan keberkesanan tindak balas sewaktu kejadian bencana serta memastikan proses pemulihan pasca bencana dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu. Selaras dengan ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) dan AADMER Work Programme, kumpulan kerja ini juga berperanan membangunkan pelan, garis panduan dan strategi serantau bagi mengurangkan risiko serta kesan bencana.
Mesyuarat WG on PRR kali ini merupakan mesyuarat terakhir bagi kitaran semasa AADMER Work Programme 2021–2025, sebelum memasuki fasa baharu program kerja seterusnya. Penganjuran program ini dilaksanakan oleh AHA Centre selaku penganjur utama, manakala NADMA bertindak sebagai tuan rumah bagi mesyuarat kali ini. Program ini telah dihadiri oleh ahli-ahli kumpulan kerja iaitu NDMO dari Brunei, Filipina, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste selaku pemerhati selain turut disertai oleh Sekretariat ASEAN dan AHA Centre. Turut hadir ialah wakil daripada Mission of Japan to ASEAN serta Japan-ASEAN Integrated Fund (JAIF) Management Team.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai NADMA yang terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah (Logistik), Ketua Penolong Pengarah (Mitigasi), Penolong Pengarah Kanan I dan II (Dasar) dan Penolong Pengarah (Operasi) selaku wakil Malaysia untuk mesyuarat dan program yang berkaitan.