NADMA–NEMA: Jalin Kerjasama Strategik Pengurusan Bencana
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
NADMA–NEMA: Jalin Kerjasama Strategik Pengurusan Bencana | 14 hingga 18 Julai 2025 | Wellington, New Zealand
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah mengadakan lawatan kerja ke Auckland, Rotorua dan Wellington, New Zealand. Lawatan kerja ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dua hala sedia ada dan meneroka potensi baharu dalam pelbagai bidang strategik merangkumi pendidikan, francais, perniagaan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pelancongan, pembangunan komuniti orang asli Malaysia dan Māori, industri halal serta pengurusan bencana.
Mengambil kira bidang pengurusan bencana sebagai antara agenda utama lawatan, YBhg. Datuk Abdul Halim bin Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah turut serta dalam lawatan kerja ini. YAB Timbalan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia telah dibawa melawat ke National Crisis Management Centre (NCMC), National Emergency Management Agency (NEMA) yang bertempat di The Bunker@Beehive, Wellington pada 17 Julai 2025.
Lawatan ke NCMC telah dimulakan dengan taklimat oleh Mr. John Price, Deputy Chief Executive NEMA mengenai operasi NCMC dan disusuli dengan lawatan tinjauan ke The Bunker@Beehive. NCMC merupakan pusat kawalan strategik New Zealand dalam menghadapi bencana dan kecemasan nasional yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Pusat ini terletak di aras bawah bangunan eksekutif Parlimen yang direka bentuk khas sebagai fasiliti keselamatan tinggi dan kalis gempa bumi. Ia memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan pelbagai agensi semasa menghadapi bencana seperti gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan pandemik. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengurusan bencana.
