Majlis Sambutan Peringatan Peristiwa Tahun Ke-20 Bencana Tsunami Lautan Hindi Peringkat Asean di Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MAJLIS SAMBUTAN PERINGATAN PERISTIWA TAHUN KE-20 BENCANA TSUNAMI LAUTAN HINDI PERINGKAT ASEAN DI MALAYSIA | 5 NOVEMBER 2024 | St. Giles Wembley Penang Hotel, George Town, Pulau Pinang
Pada 26 Disember 2004 telah berlaku gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter di Lautan Hindi yang mencetuskan kejadian bencana tsunami besar dan memberikan impak secara global, termasuk beberapa negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. Lanjutan kejadian bencana tsunami tersebut, negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia telah menandatangani ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) pada 26 Julai 2005, iaitu suatu perjanjian yang mengikat secara sah di sisi undang-undang.
Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku national focal point pengurusan bencana di peringkat ASEAN mempunyai obligasi untuk melaksanakan perkara-perkara di bawah perjanjian AADMER. Dalam hal ini, bersempena 20 tahun peristiwa bencana tsunami Lautan Hindi di peringkat ASEAN, Malaysia bersama dengan Thailand dan Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi melaksanakan program peringatan di negara masing-masing.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Puan Lim Siew Khim, EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Pulau Pinang serta tetamu kenamaan terdiri daripada YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YM Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei Darussalam dan Pengarah Eksekutif ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre). Majlis ini telah disertai oleh seramai 23 orang peserta dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan AHA Centre serta 250 orang peserta daripada pelbagai agensi Kerajaan yang terlibat sebagai peserta, pempamer dan sekretariat.
Pada sesi petang, semua peserta antarabangsa telah dibawa melawat ke kawasan yang pernah terjejas akibat bencana tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah bagi melihat sendiri usaha pemulihan dan pembangunan semula yang telah dilaksanakan. Para peserta telah diberikan taklimat oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin, Mantan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) dan sesi bergambar di hadapan Tugu Peringatan Tsunami Kota Kuala Muda.