PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Subpermukaan Lembah Klang ditambah baik elak tanah jerlus

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menambah baik dan melengkapkan maklumat subpermukaan kawasan Lembah Klang bagi mengelak insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Masjid India, Ogos lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia membabitkan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Subpermukaan Greater KL (3DKL).

“Projek ini berupaya menyediakan data dan maklumat geologi subpermukaan untuk pengurusan risiko bencana geologi termasuk kejadian mendapan tanah dan tanah jerlus.

“Data ini juga akan digunakan untuk perancangan pelan pembangunan khususnya di kawasan bawah tanah (stratum),” katanya melalui jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pn-kuala Terengganu) yang bertanya tindakan susulan JMG susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, selain status laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Struktur Tanah Masjid India.

Nik Nazmi berkata, susulan tanah jerlus di Jalan Masjid India, aktiviti pembangunan dan pembinaan yang membabitkan kerja seperti pengepaman air bawah tanah, penggerudian, penerowongan dan perlombongan juga perlu dikawal bagi mengelak gangguan kepada regim air bawah tanah dan gegaran pada tanah.

“JMG menyediakan Laporan Teknikal Sektoral berhubung insiden terbabit. Laporan ini memberi fokus kepada analisis data, hasil aktiviti pemetaan subpermukaan melalui survei geofizik menggunakan peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) dan mengenal pasti tiada rongga batu kapur di zon yang mengalami deformasi struktur tanah.

“DBKL mengguna pakai hasil laporan ini bagi menjalankan siasatan tapak secara terperinci melalui kaedah lubang gerudi dan Ujian Proba Mackintosh (ujian penentuan keupayaan tanah) bagi memperoleh profil subpermukaan terperinci, memastikan integriti struktur tanah dan mempertimbangkan tindakan mitigasi yang sesuai,” katanya.

Laluan dari Sik ke Parit Panjang ditenggelami lumpur empat inci

Hujan lebat lebih dua jam kelmarin, menyebabkan laluan dari Sik ke Parit Panjang sepanjang 150 meter di sini, ditenggelami lumpur setebal empat inci kesan banjir yang berlaku.

Kejadian dipercayai turut berpunca aktiviti penerokaan bukit berhampiran selain kegiatan kenderaan berat terutama lori bersendi yang kerap mengangkut kayu di lokasi itu.

Selain itu, tiada sistem perparitan sempurna termasuk longkang di tepi jalan menyebabkan lumpur berkumpulan di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa kawasan

Kampung Sejahtera, Jalan Parit Panjang di sini, pada jam 7.32 petang.

Beliau berkata, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa atau pun rumah kediaman penduduk.

“Namun ia menyukarkan pengguna jalan raya berikutan

laluan itu ditenggelami lumpur berbatu serta tiada lampu jalan di kawasan itu.

“Bomba berusaha membersihkan permukaan jalan selain mendapat bantuan jengkaut untuk menolak lumpur itu bagi membuka laluan,” katanya.

1,000 penduduk Orang Asli berisiko terkandas

Lebih 1,000 penduduk Pos Balar, di sini, yang berdepan dengan risiko tanah runtuh setiap kali musim tengkujuh meminta pihak berwajib menyelenggara laluan di Bukit Pasir, dekat sini yang menjadi laluan utama keluar masuk ke pos berkenaan.

Tinjauan mendapati, laluan di Bukit Pasir itu juga menjadi laluan utama penduduk dari Pos Belatim serta agensi kerajaan dan kontraktor untuk ke penempatan Orang Asli bagi menghantar bantuan atau mengambil pesakit.

Seorang penduduk, Nen Aja, 27, berkata ketika musim hujan dan tanah lembap, laluan terbabit akan berlaku hakisan yang boleh membahayakan kenderaan yang melaluinya.

Lebih merisaukan, apabila

hujan berlarutan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan penduduk tidak dapat keluar dari perkampungan mereka.

“Laluan ini sangat berisiko untuk diguna kerana boleh membahayakan nyawa pengguna terutama

apabila tiba musim tengkujuh.

“Jalan ini kerap rosak dan berlaku hakis apabila hujan berterusan selama beberapa hari, lebih membimbangkan ketika kami dalam perjalanan keluar dan berlaku tanah runtuh,” katanya.

Kesesakan jalan raya pada waktu puncak

Hujan tanpa henti sejak jam 8 pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang dilanda banjir kilat.

Selama beberapa jam, orang ramai di sekitar kawasan Seksyen 13, Meru, Setia Alam, Bandar Bukit Raja dan Kapar berkongsi keadaan kawasan masing-masing yang berdepan banjir kilat di media sosial.

Banjir kilat itu juga menyebabkan berlaku kesesakan memandangkan kejadian berlaku pada waktu puncak orang ramai keluar bekerja.

Bagaimanapun Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata, rata-rata kawasan yang terkesan sudah surut.

“Anggota bomba ada buat pemantauan di kawasan masing-masing dan banjir kilat semakin surut.

“Setakat ini, tiada panggilan kecemasan diterima, namun kami terus buat pemantauan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, antara lokasi pemantauan dijalankan pagi semalam adalah di Bandar Setia Alam oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar.

“Komander operasi melaporkan terdapat banjir kilat berkedalaman 0.6 meter. Tiada mangsa dilapor

kan terperangkap dan paras air semakin surut.

“Sementara itu, BBP Klang Utara turut membuat pemantauan di Jalan Haji Sirat, Jalan Bukit Raja, Jalan Istimewa, Jalan Batu 4, Jalan Kapar Batu 3, Petronas Klang Utama, Taman Cempaka Sari dan juga Jalan Pekan Baru 28,” katanya.

“Komander operasi melaporkan terdapat banjir kilat berkedalaman 0.6 meter. Tiada mangsa dilaporkan terperangkap dan paras air semakin surut” Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar

Pasar Terapung Pulau Suri, Sri Tanjong ditutup tiga bulan

Dua pasar terapung di gugusan pulau di sini tidak akan beroperasi hampir tiga bulan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Pasar Terapung Pulau Suri sudah ditutup sementara bermula Ahad lalu, manakala di Sri Tanjong pula akan beroperasi kali terakhir pada Sabtu ini.

Pengerusi Pasar Terapung

Pulau Suri, Rusdi Ghani, 41, berkata keputusan itu diambil selepas 40 peniaga di lokasi tarikan pelancong itu bersetuju supaya penutupan dilakukan demi keselamatan mereka serta pengunjung yang datang ke kawasan terbabit.

“Pasar terapung Pulau Suri ditutup sementara pada 10 November lalu dan semua operasi dihentikan sehingga keadaan cuaca kembali stabil serta selamat.

“Buat masa ini kami tidak dapat memberi tarikh tetap bila pasar akan dibuka semula dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan menerusi laman rasmi sosial media Facebook milik kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mendatangkan bahaya

Penutupan sementara dua pasar terapung itu adalah kebiasaan menjelang hujung tahun kerana lokasinya yang terletak di delta Sungai Kelantan, agak berisiko kepada orang ramai untuk mengemudi sungai.

Pemilik Pasar Terapung Sri Tanjong, Saidi Mamat@ghani, 52, berkata selain hujan lebat, keadaan arus sungai yang deras juga boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Biasanya akan ditutup lebih dua bulan sehingga keadaan cuaca betul-betul kembali baik dan untuk Pasar Terapung Sri Tanjong ini, saya akan tutup operasi bermula 23 November ini memandangkan cuaca sekarang masih tiada tanda banjir.

“Untuk beroperasi semula nanti, mungkin akan mengambil masa agak lama dari tahun-tahun sebelumnya memandangkan Ramadan tahun depan dijangka pada penghujung Februari.

“Agak singkat masa sekiranya saya buka operasi semula, maka kemungkinan besarnya adalah selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search