PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Mangsa banjir Aceh kibar bendera putih

JAKARTA – Penduduk wilayah Aceh di Indonesia mengibarkan bendera putih sebagai isyarat bahawa mereka tidak lagi mampu menanggung keadaan pasca banjir, tiga minggu selepas Taufan Senyar melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA) kelmarin.

Mangsa-mangsa terselamat turut menghadapi masalah kesihatan seperti demam, tifoid dan penyakit kulit, manakala bantuan pemerintah sukar sampai ke beberapa kawasan pedalaman ketika makanan semakin berkurang dan bekalan elektrik belum dipulihkan.

Ini menyebabkan penduduk mengibarkan bendera putih di hadapan rumah di kampung-kampung, sepanjang lebuh raya nasional dan di pos-pos kecemasan serta pusat pemindahan. 

Menurut laporan media tempatan, pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan juga mengibarkan bendera putih sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkan penduduk sebagai tindak balas perlahan pemerintah pusat terhadap bencana itu.

Indonesia turut menolak tawaran bantuan antarabangsa dengan menyatakan bahawa ia mampu mengendalikan operasi kecemasan sendiri.

“Ramai penduduk dan sukarelawan mengibarkan bendera putih kerana mereka tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan yang semakin teruk,” kata seorang penduduk Banda Aceh, Rahmiana, yang kini menjalankan misi kemanusiaan.

Pada 25 November lalu, lebih 1,000 orang di Pulau Sumatera terkorban akibat Taufan Senyar yang melanda tiga wilayah iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.

Banjir akibat taufan itu telah memusnahkan ribuan rumah dan melemahkan ekonomi tempatan, dengan pegawai kanan pemerintah menyatakan bahawa kos pembinaan semula di seluruh kawasan terjejas di Sumatera dijangka menelan sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (RM12.7 bilion).

Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 431 orang disahkan maut dan 32 lagi masih hilang. 

Menurut laporan akhbar Jakarta Globe kelmarin, Sumatera Utara mencatatkan 355 kematian dengan 84 orang tidak dapat dikesan, manakala Sumatera Barat melaporkan 244 kematian serta 90 lagi hilang.

Kira-kira 7,000 orang cedera dan hampir 186,500 rumah rosak atau musnah.

Mangsa-mangsa kini bergelut dengan kelaparan, kekurangan bekalan yang teruk dan ketidakpastian bila bantuan mencukupi akan tiba.

Sementara itu, di Aceh Timur, bendera putih memenuhi jalan-jalan sehingga ke daerah Aceh Tamiang. 

Menurut akhbar Kompas, bendera juga dipacak di sepanjang lebuh raya nasional yang menghubungkan ibu kota, Banda Aceh ke Medan di Sumatera Utara.

“Rakyat sudah putus asa dan memerlukan bantuan. Kami tidak lagi mampu bertahan,” kata seorang penduduk kampung Alue Nimbong di Aceh Timur, Bahtiar yang dipetik oleh akhbar tersebut.

Beliau berkata, sudah tiga minggu berlalu sejak banjir melanda, tetapi bantuan yang sampai ke komuniti yang terjejas masih sangat terhad.

Penduduk tempatan telah menubuhkan dapur komuniti bebas dan berkongsi sedikit makanan, tetapi bekalan semakin berkurangan serta ramai yang berlapar, demikian menurut laporan media tempatan.

“Bendera-bendera ini dikibarkan sebagai tanda darurat untuk memohon komuniti antarabangsa membantu Aceh. Pemimpin-pemimpin asing telah menawarkan bantuan tetapi Presiden Prabowo Subianto pada Isnin lalu menyatakan situasi masih terkawal,” kata Bahtiar. – AGENSI

 

 

 

Mangsa banjir sukar mulakan hidup baharu

TELUK INTAN: Mangsa banjir di Kampung Batu Tujuh, Changkat Jong di sini berdepan kesukaran besar untuk memulakan kehidupan baharu selepas hampir keseluruhan peralatan rumah musnah akibat bencana banjir yang melanda kawasan itu baru-baru ini.

Seorang mangsa, Halijah Ahmad, 48, berkata, banjir menyebabkannya mengalami kerugian besar apabila perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak teruk serta tidak lagi boleh digunakan.

“Mesin basuh dan peti sejuk rosak sepenuhnya kerana ditenggelami air banjir. Ken­deraan seperti kereta dan motosikal juga mengalami kerosakan dan tidak boleh dibawa ke bengkel,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu turut me­nimbulkan kebimbangan kerana hujan masih berterusan ketika ini, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan rumah.

“Buat masa ini saya, suami dan tiga anak takut hendak membersihkan rumah kerana bimbang air akan naik semula. Untuk membersihkan bahagian dalam dan luar rumah pun mengambil masa yang lama kerana dipenuhi lumpur dan sampah,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh banjir, dia dan keluarganya menumpang di rumah anaknya di bandar Teluk Intan sebelum pulang ke rumah sendiri selepas air surut dua hari lalu.

“Apabila pulang, kami dapati semua barang di dalam rumah sudah rosak, bercampur lumpur dan sampah. Memang sedih melihat keadaan rumah,” katanya.

Halijah berkata, meskipun menyedari risiko banjir, dia tidak mempunyai pilihan untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi kerana rumah tersebut merupakan milik keluarganya dan mempunyai geran tanah sendiri.

Mengimbas detik cemas kejadian banjir pada 23 November lalu, Halijah berkata, air naik terlalu cepat sehingga hampir menenggelamkan rumahnya.

Katanya, kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya apabila air naik sehingga ke paras bumbung, memaksa dia dan keluarga memanjat alang kayu bumbung untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, kejadian banjir besar itu merupakan yang kedua terburuk dialami keluarganya selepas kejadian pada tahun 1984. – UTUSAN

Mangsa banjir terus meningkat lebih 9,000 orang

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 9,261 orang setakat ini susulan hujan berterusan sejak semalam.

Enam negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Sarawak dan Kelantan.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 2,949 keluarga terjejas dan ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,381 orang, diikuti Terengganu (468), Johor (347), Selangor (47) dan Sarawak (18), manakala tiada mangsa dipindahkan di Kelantan setakat ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan hingga hari ini di beberapa negeri, khususnya Pahang, Terengganu dan Johor.-UTUSAN

Kemaman, Dungun masih terjejas banjir

KUALA TERENGGANU: Banjir di Kemaman dan Dungun belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih dengan seramai 473 mangsa masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.30 pagi ini.

Semua mangsa berpindah ke PPS berkenaan secara berperingkat sejak Isnin lalu dengan yang terbaharu dibuka hari ini di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu di Kemaman.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, daripada jumlah mangsa dipindahkan, 397 orang melibatkan 116 keluarga adalah di Kemaman yang berlindung di 10 PPS.

Di Dungun pula, sejumlah 76 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dijangka berterusan hari ini di beberapa negeri khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor.

Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) hingga itu dijnga berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang.

“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) pula diramal di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. – UTUSAN

Banjir semakin buruk apabila lebih 8,000 mangsa dipindahkan di Pahang

KUANTAN: Banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa di Pahang terus meningkat melebihi 8,000 orang, memaksa 68 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah utama negeri ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 8,104 penduduk daripada 2,603 keluarga dipindahkan, berbanding 8,074 orang, pukul 4 pagi.

Kuantan daerah paling terjejas dengan 40 PPS menempatkan 6,499 mangsa daripada 2,134 keluarga. Maran, 15 PPS melibatkan 770 mangsa, manakala Pekan dan Rompin masing-masing menempatkan 502 dan 333 mangsa.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa memberi amaran keadaan boleh berubah sekiranya hujan berterusan.

Secara kumulatif, sejak awal kejadian banjir, seramai 8,169 penduduk daripada 2,621 keluarga telah direkodkan sebagai terjejas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menegaskan pemantauan rapi sedang dijalankan dan menyeru orang ramai agar berwaspada serta segera berpindah ke PPS berhampiran jika diarahkan.  – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search