99 individu terjejas banjir di Raub
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN – Seramai 99 individu membabitkan 25 keluarga di daerah Raub terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kediaman mereka dinaiki air sejak jam 3.45 pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, limpahan air Sungai Ulu Gali menyebabkan banjir di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali.
“Manakala 10 individu daripada dua keluarga pula kini ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Atok yang telah dibuka pada pukul 6.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan semua paras air sungai di negeri ini masih berada pada tahap normal. – MalaysiaGazette
Pendang: "Tidak sampai lima minit habis bumbung rumah berterbangan dan barangan dalam rumah rosak.
"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan jatuh 'ditolak' angin hingga ke dalam parit tetapi mujurlah dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," kata Muhammad Hafizudin Salim, 30.
Penduduk Kampung Bukit Cepat, Kobah di sini itu menceritakan kejadian puting beliung yang berlaku kira-kira 4 petang, hari ini yang disifatkannya sebagai menakutkan.
Katanya, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja di hotel di Pendang dan berada di dalam bilik, manakala bapanya, Salim Md Hassan, 69, dan ibu, Rokiah Aziz, 64, bersantai di luar rumah.
"Pusaran angin kuat seperti belalai air tiba-tiba menerpa ke rumah kami dan ketika itu saya nampak kejadian dari tingkap.
"Tak sampai lima minit, rumah saya habis rosak. Rumah tok (nenek) terletak bersebelahan juga rosak," katanya ketika dihubungi.
Muhammad Hafizudin berkata, kejadian itu yang kedua dihadapi mereka selepas 2012 dan menganggarkan kerugian RM20,000.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Yuslina Yusoff berkata, enam rumah penduduk terjejas akibat puting beliung dengan empat di Kampung Kobah dan dua lagi di Kampung Bukit Cepat.
"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang menerima aduan di dua kampung berkenaan pada 6.51 petang dan melakukan pemantauan di lokasi," katanya yang memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Tanah runtuh di bahu jalan utama Sungai Tiram menghala ke Ulu Tiram di sini dikenal pasti berlaku akibat hujan lebat, pada minggu lalu.
Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Tiram, Fauzi Faizal, berkata ketika ini kerja membaik pulih sedang dijalankan pihak konsesi penyelenggaraan jalan.
Katanya, runtuhan membabitkan hampir separuh jalan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
“Betul memang ada tanah runtuh sedikit membabitkan bahu jalan di Sungai Tiram akibat hujan lebat dan tekanan air.
“Proses baik pulih sudah dijalankan selepas kejadian beberapa hari lalu. Hampir separuh jalan sehala terjejas akibat tanah runtuh berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Tinjauan di lokasi mendapati terdapat paip air di bawah lokasi runtuhan dan kerja baik pulih sedang giat dilakukan.
Jalan berkenaan ditutup sebahagian sementara kerja baik pulih dilaksanakan dan mengakibatkan sedikit kesesakan lalu lintas.
Jerantut: Sebanyak 19 pangkalan hadapan di daerah Jerantut menerima bekalan 60.9 tan makanan kering sebagai persiapan menghadapi Musim Timur Laut (MTL) semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, berkata penghantaran itu adalah sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh kepada mangsa banjir dan mangsa yang terkepung akibat banjir.
“Barangan yang dihantar terdiri dari sembilan item yang akan diagihkan ke-19 pangkalan hadapan termasuk enam yang terletak di mukim Ulu Tembeling.
“Barang yang dihantar ialah beras, tepung, gula, teh, kopi, ikan sardin dalam tin, garam, biskut dan minyak masak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ‘Flag Off’ penghantaran bekalan makanan daerah Jerantut di pekarangan lobi Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
Haris Salleh berkata, penghantaran bekalan makanan kering ke pangkalan hadapan mukim Ulu Tembeling dihantar minggu lalu di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ulu Tembeling turut membantu pihak JKM dalam penghantaran itu.
Menurutnya makanan kering yang dihantar adalah sebanyak 15.93 tan bagi kegunaan penduduk Mukim Ulu Tembeling semasa MTL nanti.
Beliau berkata, apabila berlaku banjir dan semua kampung di mukim terbabit terputus hubungan, bekalan makanan yang diletakkan di pangkalan hadapan itu mampu digunakan sehingga dua minggu.
Enam kampung terbabit ialah Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.
Selain itu Jerantut mempunyai 107 pusat pemindahan sementara (PPS) meliputi sekolah, balai raya dan dewan orang ramai.
Cyberjaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenal pasti lapan lokasi di seluruh negara yang bakal dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan mangsa banjir.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata setakat ini sembilan PPK akan dibina yang mana satu daripadanya sudah siap dan boleh digunakan.
Menurutnya, PPK di Johor adalah di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang dibaik pulih dan dinaik taraf di mana mampu menempatkan 400 mangsa banjir.
“Kapasiti yang besar itu dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit berbanding sebelum ini hanya boleh menempatkan 150 ke 190 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sementara lapan lagi lokasi yang dikenal pasti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam proses tender terbuka untuk pembinaan yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan
Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, semalam.
Khairul Shahril berkata, proses pembinaan PPK adalah satu struktur yang lengkap dan memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.
“Proses itu mengambil masa 15 bulan kerana untuk mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahkan.
“Buat fasa pertama ini, hanya sembilan PPK, tetapi ia akan berterusan bagi memenuhi keperluan mengganti PPS sekarang ini yang menggunakan sekolah sedangkan ia tidak dibina untuk tujuan itu (PPS),” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya PPK yang dianggarkan menelan kos setiap satu sehingga RM5 juta, diharapkan sekolah tidak lagi akan digunakan sebagai pusat pemindahan di mana lokasinya juga akan dibina berhampiran kawasan sekolah.
“Apabila ia tidak digunakan pada musim bencana, pihak sekolah boleh menggunakannya untuk tujuan kokurikulum masing-masing,” katanya.
Galak penyertaan NGO
Sementara itu, dalam taklimatnya ketka sesi libat urus berkenaan, Khairul Shahril berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.
“NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya melalui aplikasi Rakan NADMA agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran
“Melalui aplikasi itu juga NGO yang terbabit boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.