PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

'Menakutkan... ayah sampai jatuh parit 'ditolak' angin'

'Menakutkan... ayah sampai jatuh parit 'ditolak' angin'

Pendang: "Tidak sampai lima minit habis bumbung rumah berterbangan dan barangan dalam rumah rosak.

"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan jatuh 'ditolak' angin hingga ke dalam parit tetapi mujurlah dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," kata Muhammad Hafizudin Salim, 30.

Penduduk Kampung Bukit Cepat, Kobah di sini itu menceritakan kejadian puting beliung yang berlaku kira-kira 4 petang, hari ini yang disifatkannya sebagai menakutkan.

Katanya, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja di hotel di Pendang dan berada di dalam bilik, manakala bapanya, Salim Md Hassan, 69, dan ibu, Rokiah Aziz, 64, bersantai di luar rumah.

"Pusaran angin kuat seperti belalai air tiba-tiba menerpa ke rumah kami dan ketika itu saya nampak kejadian dari tingkap.

"Tak sampai lima minit, rumah saya habis rosak. Rumah tok (nenek) terletak bersebelahan juga rosak," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hafizudin berkata, kejadian itu yang kedua dihadapi mereka selepas 2012 dan menganggarkan kerugian RM20,000.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Yuslina Yusoff berkata, enam rumah penduduk terjejas akibat puting beliung dengan empat di Kampung Kobah dan dua lagi di Kampung Bukit Cepat.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang menerima aduan di dua kampung berkenaan pada 6.51 petang dan melakukan pemantauan di lokasi," katanya yang memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search