19 pangkalan hadapan di Jerantut terima 60.9 tan makanan kering
- Admin UKK
- Berita
Jerantut: Sebanyak 19 pangkalan hadapan di daerah Jerantut menerima bekalan 60.9 tan makanan kering sebagai persiapan menghadapi Musim Timur Laut (MTL) semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, berkata penghantaran itu adalah sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh kepada mangsa banjir dan mangsa yang terkepung akibat banjir.
“Barangan yang dihantar terdiri dari sembilan item yang akan diagihkan ke-19 pangkalan hadapan termasuk enam yang terletak di mukim Ulu Tembeling.
“Barang yang dihantar ialah beras, tepung, gula, teh, kopi, ikan sardin dalam tin, garam, biskut dan minyak masak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program ‘Flag Off’ penghantaran bekalan makanan daerah Jerantut di pekarangan lobi Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
Haris Salleh berkata, penghantaran bekalan makanan kering ke pangkalan hadapan mukim Ulu Tembeling dihantar minggu lalu di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ulu Tembeling turut membantu pihak JKM dalam penghantaran itu.
Menurutnya makanan kering yang dihantar adalah sebanyak 15.93 tan bagi kegunaan penduduk Mukim Ulu Tembeling semasa MTL nanti.
Beliau berkata, apabila berlaku banjir dan semua kampung di mukim terbabit terputus hubungan, bekalan makanan yang diletakkan di pangkalan hadapan itu mampu digunakan sehingga dua minggu.
Enam kampung terbabit ialah Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.
Selain itu Jerantut mempunyai 107 pusat pemindahan sementara (PPS) meliputi sekolah, balai raya dan dewan orang ramai.