PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir makin buruk, seorang wanita lemas

PETALING JAYA: Hujan lebat ber­terusan menyebabkan banjir di enam negeri semakin buruk. Sehingga pukul 7 petang sema­lam, 8,527 orang membabitkan 3,058 keluarga ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS).

Bencana meragut nyawa seorang wanita Indonesia di Gua Musang, Kelantan yang lemas se­lepas trak pikap jenis Toyota Hilux dinaiki bersama majikan dan isteri, dihanyutkan arus deras.

Menteri Pendidikan, Fadhli­na Sidek berkata, kementerian akan menggerakkan Ops Payung bagi memindahkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang rumah mereka ‘terkepung’ banjir untuk menduduki pepe­riksaan itu dengan selamat.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 7,695 mangsa daripada 2,810 keluarga dipindahkan ke 31 PPS.

Empat daerah di Kelantan yang teruk terjejas ialah Tumpat dengan 4,221 mangsa, diikuti Bachok (1,416), Kota Bharu (1,941) dan Pasir Puteh (117).

Di Kulim, Kedah, seramai 399 mangsa daripada 118 keluarga dipindahkan ke tiga PPS susulan banjir melanda sembilan kampung di Mukim Sungai Seluang dan Mukim Naga Lilit, di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, setakat pukul 6 petang, PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang menempatkan 184 mangsa daripada 53 keluarga.

“Seramai 171 mangsa daripada 51 keluarga pula berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik, diikuti 14 keluarga yang terdiri daripada 44 mangsa di PPS Surau KEDA Naga Lilit.

“Antara kampung terjejas termasuk Kampung Sungai Seluang Atas dan Bawah, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Siam, Kampung Titi Tok Aris, Kampung Paya Serdang, Kampung Batu 7¾ Padang Serai, Kampung Balik Bukit dan Kampung Naga Lilit,” katanya.

Di Perlis, setakat pukul 5 petang, sebanyak 186 mangsa membabitkan 56 keluarga dipindahkan di tiga PPS yang diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, SK Felcra Lubuk Sireh dan SK Felda Mata Ayer.
Kawasan Wang Kelian yang tidak pernah berlaku banjir besar antara paling teruk terjejas dengan membabitkan 120 mangsa dari 40 keluarga.

Banjir tersebut juga menyebabkan tujuh laluan di sekitar negeri ini ditutup buat sementara waktu iaitu masing-masing melibatkan Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan menghala Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar- Padang Besar berhampiran Agrovet.

Selain itu, hujan berterusan turut mengakibatkan gelongsoran atau tanah runtuh di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian selain beberapa lokasi peranginan dan rekreasi seperti Gua Kelam turut terjejas dan terpaksa ditutup.

Di Pulau Pinang, setakat pukul 7 petang, terdapat dua PPS dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) melibatkan 115 mangsa daripada 28 keluarga, sementara di Sarawak, banjir berlaku di Miri membabitkan seramai 44 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di satu PPS di daerah berkenaan.

Di Kuala Terengganu, cuaca yang lebih baik di sebelah petang menyaksikan jumlah mang­sa banjir yang ditempatkan di PPS berkurangan kepada 342 orang daripada 102 keluarga, berban­ding 528 orang daripada 145 keluarga, ditempatkan di tiga PPS di Kuala Nerus dan Besut.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, setakat pukul 6.30 petang, hanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut dan SK Pulau Perhentian di Besut dibuka, masing-masing menempatkan 234 dan 108 mangsa banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan, mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan melibatkan kawasan-kawasan tertentu di beberapa negeri antara 24 hingga 26 November ini.

Di Kelantan, amaran hujan bahaya diramal berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sehingga Selasa, 25 November ini.

Manakala amaran buruk iaitu hujan lebat berterusan sehingga tempoh sama turut dikeluarkan di Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

“Selain itu, turut terjejas di Hulu Perak (Perak); Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Hujan berterusan (waspada) pula dijangka berlaku sehingga 24 November ini di Kedah (Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim),” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

Indonesia lanjut operasi mencari mangsa tanah runtuh Banjarnegara

JAKARTA: Indonesia melanjutkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Banjarnegara, Jawa Tengah selepas dua lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 12 orang, menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada semalam.

Jurucakap agensi itu, Abdul Muhari, berkata BNPB dan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) telah melanjutkan operasi selama tiga hari lagi kerana 16 orang masih hilang seminggu selepas bencana pada 15 November.

"Pasukan penyelamat bekerja di tiga sektor berikutan keadaan tanah yang tidak stabil dan perubahan cuaca yang menjejaskan operasi di Kampung Pandanarum," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, langit yang lebih cerah pada Sabtu membolehkan pasukan penyelamat memperhebat pencarian di darat, manakala pesawat Cessna Caravan yang dikendalikan BNPB melakukan penerbangan modifikasi cuaca dengan menyebarkan kalsium oksida (CaO) bagi mengurangkan risiko hujan.

"Gabungan strategi darat dan udara ini penting untuk mengekalkan usaha respons kecemasan," tambah Abdul Muhari.

 

Banjir makin buruk, 10,460 dipindahkan, Kelantan paling teruk terjejas

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,460 orang setakat jam 7 pagi ini dengan lapan negeri terjejas.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,235 orang yang kini ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah yang terjejas termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

 

Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 921 mangsa berlindung di 16 PPS yang dibuka di Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.

Terengganu pula merekodkan 369 mangsa yang dipindahkan ke dua PPS di daerah Besut, manakala Kedah mencatatkan 337 mangsa di tiga PPS di daerah Kulim.

Di Perlis, dua daerah terjejas, Padang Besar dan Kangar, menyaksikan 283 mangsa ditempatkan di enam PPS.

Pulau Pinang pula melaporkan 237 mangsa berlindung di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Sementara itu, Selangor mencatatkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga yang kini berada di satu PPS di Sabak Bernam.

Di Sarawak, seramai 44 mangsa dilaporkan terjejas dan ditempatkan di satu PPS di daerah Miri.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jambatan balak runtuh, ribuan Orang Asli terkandas

GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini terkandas apabila jambatan kayu balak yang menjadi penghubung utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, jambatan balak yang digunakan penduduk Orang Asli Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob itu hanyut dan runtuh akibat paras air sungai yang naik mendadak ekoran hujan lebat.

Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, kejadian terbabit menyebabkan penduduk di tiga pos penempatan itu kini tidak dapat keluar dari penempatan mereka.

Katanya, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.

“Saya dimaklumkan oleh rakan tentang kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam. Laluan di jambatan itu sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau sudah dimaklumkan tentang kejadian yang berlaku oleh penduduk kampung malam tadi.

“Insya-Allah tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana itu adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lebih 3,000 Orang Asli terkandas, jambatan balak runtuh

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah pos pedalaman di sini, terkandas selepas jambatan kayu balak runtuh dibadai arus deras Sungai Peralong, susulan hujan lebat malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu mengakibatkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob tidak dapat keluar dari penempatan mereka.

Seorang penduduk Pos Simpor, Dendi Johari, 37, berkata, jambatan yang runtuh itu menjadi laluan utama kepada penduduk untuk keluar dari penempatan mereka.

“Jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu kini sudah terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Peralong yang berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam. Kami harap jambatan ini dapat dibaiki secepat mungkin untuk kegunaan penduduk termasuk guru-guru di pedalaman yang akan keluar pada hari ini kerana cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memberitahu, perkara tersebut susah berada dalam pengetahuan pihaknya.

“Insya-Allah tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana itu adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” ujarnya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search