KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 15.20 peratus dan 19.54 peratus, setakat 15 Julai.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan, lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.
Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu memaklumkan lima empangan berkenaan ialah Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 37.10 peratus dan 48.10 peratus; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang masing-masing 35 peratus dan 51.30 peratus serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60 peratus.
Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).
Berkaitan status pencemaran udara bagi tempoh 10 hingga 16 Julai, Nadma yang memetik Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Tanjung Malim, Perak dan Kampung Raja Besut, Terengganu merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu masing-masing dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) 137 dan 156.
Berhubung pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas, Nadma yang memetik Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 109 kes setakat semalam berbanding 108 kes yang dilaporkan pada 9 Julai lalu dengan 25 kes diagnosis strok haba, kelesuan haba (77 kes) dan tujuh kes kejang haba.
Nadma memaklumkan daripada jumlah itu, Kedah menjadi negeri tertinggi iaitu 19 kes, diikuti Terengganu (17), Johor dan Pahang, masing-masing 14, Perak (11), Negeri Sembilan (sembilan), Selangor (lapan), Sabah (tujuh), Kelantan (empat), Kuala Lumpur (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Pulau Pinang.
Pecahan kes mengikut umur pula melibatkan 84 individu dewasa, 20 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas manakala kes kematian akibat strok haba kekal lima, setakat ini.
– BERNAMA
Kedinamikan industri pelancongan turut berkait rapat dengan perubahan iklim yang boleh mempengaruhi pelancong dalam proses membuat keputusan, termasuk pemilihan penginapan.
Sektor pelancongan sememangnya penting bagi Malaysia kerana menjana pulangan tinggi, sekali gus memacu ekonomi negara, terutama melalui pertukaran mata wang asing.
Malaysia mencatatkan ketibaan 26,100,784 pelancong antarabangsa, sekali gus menyumbang pendapatan sebanyak RM86.14 bilion setahun, manakala belanjawan tahun lalu menunjukkan produktiviti sektor pelancongan menyumbang 14 peratus atau RM251.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 23.4 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada 2022.
Bagaimanapun, perubahan iklim melampau di seluruh dunia mempengaruhi kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau, akan memberi tekanan serta menjejaskan banyak aktiviti pelancongan.
Bencana sedemikian boleh menjejas dan memusnahkan destinasi pelancongan, iaitu kehilangan aset alam semula jadi, ekonomi dan budaya, bahkan boleh mengundang risiko serta isu keselamatan terhadap pelancong.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO), aspek keselamatan dan jaminan penting untuk menyediakan kualiti dalam industri pelancongan. Ini kerana kejayaan atau kegagalan destinasi pelancongan bergantung kebolehan menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong.
Aspek ini lebih utama berbanding aktiviti ekonomi dan perkhidmatan lain, selain menjadi kriteria dan pertimbangan utama pelancong dalam membuat pilihan destinasi percutian.
Justeru, kita perlu memberikan perhatian kepada isu keselamatan pelancong, termasuk kemalangan akibat bencana alam. Aktiviti perkelahan dan sukan air dijalankan pada musim hujan, destinasi pelancongan tidak selamat, persekitaran tempat perkelahan berisiko dan tiada kesedaran terhadap bencana alam dalam kalangan pelancong boleh mengundang risiko tidak diingini.
Fenomena kepala air di kawasan rekreasi antara perkara perlu diberikan perhatian kerana ia mendedahkan risiko dan menimbulkan isu keselamatan kepada pengunjung.
Pada awal tahun ini, kejadian kepala air mengorbankan pengunjung wanita bersama tiga anaknya hanyut dan lemas di Sungai Kenjur, Bidur, manakala minggu lalu, 45 orang termasuk kanak-kanak terperangkap apabila fenomena itu berlaku ketika aktiviti pertandingan memancing di Kota Marudu, tetapi berjaya diselamatkan bomba.
Selain itu, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, Batang Kali menyebabkan kawasan bercerun dan berbukit berketinggian 30 meter, hilang kestabilan dan tanah mengelunsur serta menimbus kawasan perkhemahan berkenaan, sekali gus mengorbankan 31 orang.
Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat juga sering berlaku di kawasan pelancongan Cameron Highlands. Kekerapan bencana ini turut mempengaruhi dan menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
Antara kejadian yang berlaku adalah membabitkan 16 keluarga Orang Asli apabila ia berlaku di cerun penempatan mereka Sungai Ruil, tetapi sudah diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kekerapan bencana mengakibatkan kecederaan dan kematian menunjukkan keperluan meningkatkan aspek keselamatan, terutama dalam aktiviti ekopelancongan, sekali gus menjadi elemen aktif dalam industri itu.
Hal ini penting untuk melindungi pelancong dan pengunjung serta dan harta mereka yang bermakna berkait secara langsung dengan pencapaian industri pelancongan itu sendiri.
Aspek keselamatan perlu diutama
Oleh itu, pihak pengusaha pelancongan perlu memahami bentuk risiko dalam tingkah laku pelancong dan peranan maklumat perjalanan dalam membentuk pilihan destinasi serta tingkah laku perjalanan.
Seseorang perlu memahami berurusan dengan aspek keselamatan dan jaminan adalah kompleks, manakala urusannya pula rumit. Ini disebabkan ia membabitkan pelbagai tahap pihak pemegang taruh daripada sektor swasta dan awam. Setiap pihak pula memainkan peranan berbeza serta mempunyai tanggungjawab berlainan dalam memastikan keselamatan dan jaminan.
Pengurusan risiko ialah mekanisme boleh digunakan untuk mengurangkan risiko berkaitan isu keselamatan pelancong ketika sedang beriadah. Amalan pengurusan risiko akan dapat mengurang, menghindar dan menghapuskan impak bencana alam berlaku kepada pelancong.
Pendekatan ini boleh dipraktikkan pengusaha pelancongan, pelancong dan masyarakat awam supaya mempunyai pengetahuan dan kesedaran berkenaan kepentingan menjaga serta memastikan keselamatan mereka ketika melancong.
Pengurusan risiko boleh dijalankan secara holistik, bagi memastikan pihak berkepentingan dapat dilibatkan dalam pengurusan keselamatan pelancong ekopelancongan.
Pengusaha pelancongan contohnya, harus dilibatkan dalam kursus pengurusan risiko supaya mempunyai pengetahuan dan kesedaran akan kemungkinan berlaku bencana alam sekitar di persekitaran mereka.
Kerajaan perlu bertegas dengan mewajibkan pengusaha mengikuti kursus pengurusan risiko. Ini kerana keselamatan pelancong tiada kompromi.
Penggunaan teknologi dalam memantau keselamatan pelancong ketika beriadah adalah sangat penting. Kita mengakui teknologi boleh membantu dan memudahkan aspek pemantauan keselamatan di sesuatu tempat.
Penggunaan dron oleh pihak pengusaha pelancongan misalnya boleh membantu, menyelia dan memantau keselamatan pelancong ketika berada di premis mereka.
Selain itu, penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) pula boleh digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti dan menanda atau memplot kawasan pelancongan dalam kawasan pentadbiran mereka yang mempunyai potensi untuk berlaku bencana atau dengan melabelkan sebagai kawasan titik panas.
Dengan cara ini ia boleh membantu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pelancong dalam memilih destinasi pelancongan yang selamat.
Aspek keselamatan ini perlu diberi perhatian kerana ia menjadi jaminan dan tawaran daripada pihak pengusaha kepada pelancong. Isu ini seharusnya dapat ditangani dengan baik dan perhatian serius daripada pelbagai pihak, terutama penyedia dan agensi perjalanan di negara asal serta negara penerima ketibaan pelancong, kerajaan tuan rumah, penyedia perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti serta komuniti tempatan.
Jambatan Bailey di 9 negeri
- Admin UKK
- Berita
Jambatan Bailey akan dibina di sembilan negeri menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi menggantikan jambatan rosak khususnya di kawasan luar bandar sebelum jambatan kekal siap dibina.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan jambatan itu dianggarkan membabitkan kos antara RM4 hingga RM6 juta setiap satu.
“Sembilan daripada 14 negeri dalam Malaysia telah bersetuju menggunakan peruntukan Marris untuk membiayai pembinaan jambatan Bailey yang akan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang terlibat,” katanya selepas melawat Projek Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, di sini, semalam.
Beliau berkata, sembilan negeri berkenaan ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Berhubung jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian
berkata, jambatan di Jalan Madirono sepanjang 42 meter dengan kelebaran 4.2 meter dijangka beroperasi mulai Rabu ini.
Menurut beliau, pembinaan itu bertujuan memastikan jalan darat tidak terputus selepas jambatan sedia ada yang berusia lebih 40 tahun mengalami kegagalan struktur sejak 5 Mac lalu akibat peningkatan beban mendatar terhadap tiang jambatan terbabit. “Di Kampung Permatang Sepam ini, kaedah pembinaan jambatan Bailey buat pertama kalinya dibina di sungai dengan peruntukannya dikongsi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
“Jambatan sementara ini hanya boleh menampung beban tidak melebihi lima tan bagi menjamin keselamatannya,” katanya.
Katanya, JKR Pontian mencadangkan pembinaan jambatan konkrit baharu sebagai langkah jangka masa panjang bagi memastikan tiada kegagalan struktur berulang.
“Kementerian Kerja Raya menerusi Program MYJalan komited dalam membina, menyedia dan menyelenggara infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat dalam dan luar bandar,” katanya.
Banjir: KKDW minta pihak berkaitan kenal pasti infra luar bandar belum dibaik pulih
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Semua pihak yang berkaitan diminta melakukan tindakan susulan mengenal pasti projek infrastruktur luar bandar yang terjejas akibat bencana banjir dan belum dibaik pulih untuk dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata KKDW menyedari terdapat rungutan daripada masyarakat berkenaan perkara itu dan pihaknya bersedia menyiasat serta menimbangkan semula sebarang cadangan atau permohonan untuk diambil tindakan.
“Kita tidak menafikan banjir ini banyak menjejaskan kehidupan dan infrastruktur, kadang-kadang emosi pun sama terjejas. KKDW sentiasa mengambil perhatian (perkara ini) apatah lagi melibatkan kawasan luar bandar.
“(Bagaimanpun) dalam permohonan segala cadangan akan dianalisis sebab sesuatu bantuan itu bukan melibatkan KKDW sahaja, ia juga di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ke-12 dan pelancaran Tahfiz TVET 3.0 Kolej KEDA 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan masyarakat di daerah Baling khususnya di Kampung Iboi mengenai kerosakan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan akibat bencana banjir puing pada 2022 lepas, yang didakwa masih belum dibaik pulih.
Menurut Rubiah walaupun KKDW bertanggungjawab terhadap isu luar bandar khususnya infrastruktur, terdapat perkara yang membabitkan peruntukan bagi kawasan terjejas bencana turut diuruskan oleh kementerian dan jabatan lain.
Mengambil contoh program baik pulih atau membina semula rumah, Rubiah berkata ia memang menjadi tanggungjawab KKDW tetapi untuk membina semula rumah isu berkaitan tapak atau tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita juga ada kekangan peruntukan, namun apa sahaja yang dimaklumkan kepada kita akan disiasat, kalau relevan memang kita akan baik pulih,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 593 graduan Kolej KEDA menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut yang menghimpunkan graduan dari tahun 2019 hingga 2023. - BERNAMA