PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Takungan empangan MADA semakin kritikal, laksana OPA pastikan bekalan air sawah mencukupi

Takungan empangan MADA semakin kritikal, laksana OPA pastikan bekalan air sawah mencukupi

ALOR SETAR: Paras takungan air di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semakin membimbangkan apabila keseluruhan takungan kini hanya sekitar 38.45 peratus.

Berdasarkan data terkini menerusi laman sesawang MADA hari ini, keadaan paling kritikal direkodkan di Empangan Muda yang mencatatkan hanya 9.28 peratus takungan, manakala Empangan Pedu yang menjadi sumber utama bekalan mencatatkan 39.4 peratus takungan dan masih meneruskan pelepasan air secara terkawal.

Selain itu, Empangan Ahning pula berada pada tahap lebih stabil dengan 51.04 peratus takungan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata pihaknya dengan kerjasama agensi berkaitan akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) sekali lagi bagi memastikan bekalan air di kawasan sawah mencukupi.

Katanya, pesawah digalak memanfaatkan sumber air sedia ada untuk memulakan penanaman.

 

"Air kita ada sedikit di sawah, jadi gunakan apa yang ada itu untuk memulakan tanaman. Jika berlaku masalah seperti tanaman tidak menjadi, laporkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk tindakan lanjut.

"Kita tidak akan biarkan pesawah berdepan masalah ini bersendirian, sebaliknya bantuan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia membantu dari segi penyediaan pam air bagi memastikan pesawah tidak berdepan kekangan bekalan.

Katanya, ketika ini terdapat hampir 1,000 unit pam air pelbagai kapasiti di seluruh kawasan MADA yang boleh digunakan terutama di kawasan berhampiran saliran.

"Jika pam tidak mencukupi, kita akan bantu supaya pesawah yang ingin menanam padi tidak tergendala akibat kekurangan air," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search