PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Isu siling bocor, tandas daif di Stesen KTM Ipoh, ini maklum balas RAC

IPOH: Kerja baik pulih bumbung Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh yang dilaporkan bocor sebelum ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan.
Menurut Perbadanan Aset Keretapi (RAC), ia sekali gus menyelesaikan isu siling bocor di bahagian tingkat bawah stesen berkenaan, termasuk ruang menunggu.
 
 
"Kerja baik pulih bumbung bangunan stesen itu bermula pada 14 Mac lalu dengan melaksanakan pembongkaran struktur bumbung yang telah uzur dan rosak.
 
"Semasa kerja pemasangan lapisan kalis air dilaksana, pihak kontraktor berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat lebih enam jam.
 
"Ia secara tidak langsung menjejaskan proses baik pulih yang sedang dilaksana," kata RAC dalam satu kenyataan maklum balas terhadap laporan Astro AWANI pada Isnin.
 
Tambahnya, sebagai langkah mitigasi, papan tanda pemberitahuan dipasang di lokasi strategik selain pemantauan berterusan dijalankan oleh wakil pihaknya dan pihak kontraktor.
 
Menjawab tentang isu tandas yang daif, RAC berkata, pihaknya telah melaksanakan penggantian beberapa kemudahan di dalam kawasan fasiliti awam tersebut.
 
"Ia termasuk melantik kontraktor pembersihan yang akan menjalankan kerja pembersihan sekurang-kurangnya tiga kali sehari, khususnya semasa ketibaan tren.
 
"Siling yang bocor di dalam kawasan tandas akan dibaik pulih. Ia bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan kemudahan itu dengan selesa," kata RAC.
 
Sementara itu, menyentuh isu kios jualan yang terhad seperti disuarakan sebilangan penumpang, RAC memaklumkan ia disebabkan kekangan ruang di lobi utama.
"Stesen ini antara stesen kereta api yang menerima jumlah penumpang yang ramai. Oleh itu, penyediaan tempat duduk yang mencukupi, laluan masuk dan keluar penumpang yang selesa, serta keselamatan operasi kereta api, menjadi keutamaan RAC.
 
"Bagaimanapun, situasi itu dijangka bertambah baik selepas pembukaan ruang legar baharu yang dijangka siap pada penghujung Mei ini," katanya.
RAC turut mengesahkan Hotel Majestic yang terletak di bangunan warisan itu akan turut dibaik pulih sebagai sebahagian daripada projek pemulihan bangunan stesen berkenaan.
 
Ia akan dilaksanakan secara menyeluruh secara berfasa, katanya.
Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan keadaan Stesen KTM Ipoh yang masih daif dan dikatakan bocor di beberapa tempat, menjadi isu utama yang membelenggu pengunjung serta penumpang perkhidmatan tersebut.
 
Rata-rata orang awam yang ditemui mendakwa masih banyak kelemahan yang ada di bangunan tersebut, termasuk keadaan tandas yang boleh memberi imej negatif kepada orang luar.
 

30 minit atasi insiden banjir kilat di ibu kota

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera bagi menangani insiden banjir kilat yang melanda beberapa lokasi utama di ibu kota susulan hujan lebat pada Isnin.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Sultan (Petaling Street), susur Jalan Travers ke Jalan Damansara, Jalan Kuching dan Jalan Segambut berhampiran Masjid Ubudiah.

Menurut kenyataan DBKL, kejadian banjir kilat ini berpunca daripada kadar aliran permukaan tinggi dalam tempoh singkat serta sistem saliran yang beroperasi pada kapasiti maksimum.

Selain itu, limpahan air sungai turut menyebabkan sistem flap gate tertutup secara automatik bagi menghalang air sungai daripada memasuki saliran bandar.

 

"Sebagai langkah segera, DBKL bersama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah sarap, daun kering, pasir dan kelodak.

"Pemantauan turut dibuat secara berterusan menerusi sistem CCTV (kamera litar tertutup). Hasil tindakan pantas ini, kesemua kawasan terjejas pulih dalam tempoh 30 hingga 40 minit tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan serius," ujar DBKL dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu bagi mencegah kejadian berulang, DBKL turut merangka beberapa tindakan jangka sederhana termasuk menaiktaraf sistem saliran dan outlet air serta kerja korekan kelodak secara berkala.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca tambahan, termasuk potensi aliran lumpur dari kawasan berbukit," ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 100 petugas turut digerakkan ke lapangan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

"DBKL komited untuk mempertingkat kecekapan sistem saliran bandar menerusi pelaksanaan Program Mitigasi Banjir Jangka Sederhana yang sedang berjalan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran dan segera melaporkan sebarang halangan kepada DBKL.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa menjadi keutamaan kami,” tegas DBKL dalam kenyataan tersebut.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search