PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Angka korban banjir Asia melebihi 1,750 orang, hujan lebat jejaskan pemulihan

Angka korban banjir Asia melebihi 1,750 orang, hujan lebat jejaskan pemulihan

BANDA ACEH: Pasukan penyelamat dan sukarelawan berdepan kesukaran membantu jutaan mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa negara Asia, ketika angka korban rasmi akibat bencana yang dipacu perubahan iklim itu meningkat melebihi 1,750 orang di Indonesia, Sri Lanka dan Thailand.

Di Indonesia, sekurang-kurangnya 908 kematian direkodkan dan 410 lagi masih hilang, menurut data terbaharu pada Sabtu dari wilayah Aceh di pulau Sumatera, di mana lebih 800,000 penduduk turut dipindahkan.

Di Sri Lanka, kerajaan mengesahkan 607 kematian, manakala 214 lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut, dalam bencana yang digelar Presiden Anura Kumara Dissanayake sebagai cabaran alam terbesar negara itu.

Banjir turut menyebabkan sekurang-kurangnya 276 kematian di Thailand, sementara dua kematian dilaporkan di Malaysia dan dua lagi di Vietnam selepas hujan lebat mencetuskan lebih sedozen kejadian tanah runtuh, menurut media kerajaan.

Di Sumatera, ramai mangsa masih berusaha pulih daripada banjir kilat dan tanah runtuh minggu lalu ketika agensi meteorologi Indonesia memberi amaran bahawa Aceh dijangka mengalami hujan sangat lebat hingga Sabtu, dengan Sumatera Utara dan Barat turut berisiko.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf berkata, pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang tertimbus dalam lumpur sedalam pinggang. Namun, ancaman paling serius kini ialah kebuluran yang melanda kampung pedalaman yang masih terputus hubungan.

“Ramai yang memerlukan keperluan asas. Banyak kawasan terpencil di Aceh masih belum tersentuh. “Orang ramai bukan mati akibat banjir, tetapi kerana kebuluran. Itulah hakikatnya,” katanya kepada media.

Beliau berkata seluruh kampung di wilayah berhutan hujan Aceh Tamiang telah lenyap dihanyutkan air.

“Daerah Aceh Tamiang musnah sepenuhnya dari atas ke bawah, hingga ke jalan raya dan ke laut. Banyak kampung dan mukim kini tinggal nama,” katanya.

Di Sri Lanka, lebih dua juta penduduk atau hampir 10 peratus populasi terjejas akibat banjir, dan pihak berkuasa pada Jumaat memberi amaran bahawa hujan berterusan boleh mencetuskan risiko tanah runtuh baharu.

Pusat Pengurusan Bencana (DMC) Sri Lanka berkata, lebih 71,000 rumah rosak, termasuk hampir 5,000 yang musnah sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh minggu lalu.

DMC turut memberi amaran lebih banyak hujan dijangka melanda kawasan utama, termasuk wilayah tengah yang paling terjejas, sekali gus menambah risiko tanah runtuh dan menyukarkan operasi pembersihan

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search