NGO mahu hantar bantuan makanan pada Orang Asli pada musim tengkujuh perlu rujuk PKOB
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Badan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan pacuan empat roda yang mahu membekalkan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) digesa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di jajahan ini.
Pengerusi PKOB Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail, berkata langkah itu bagi membolehkan pihaknya membuat penyelarasan kepada pihak yang berhasrat menghantar bantuan pada musim tengkujuh ini.
Katanya, kemasukan banyak kenderaan luar ke penempatan penduduk Orang Asli terutama di kawasan pedalaman boleh menyebabkan jalan masuk ke kawasan itu rosak teruk.
"Mana-mana pihak NGO atau berkumpulan yang mahu menghantar makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman jajahan ini boleh menghubungi PKOB bagi memudahkan kami menyelaraskan bantuan yang akan diagihkan bagi persiapan menghadapi musim tengkujuh.
"Kami tidak menggalakkan mana-mana pihak masuk ke kawasan pedalaman kerana boleh menyebabkan jalan rosak hingga menyukarkan penduduk keluar jika berlaku hal kecemasan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pihaknya menghargai niat baik NGO datang membantu penduduk Orang Asli di pedalaman, namun ia memberi lebih masalah kepada penduduk untuk keluar jika berlaku kecemasan kerana jalan rosak.
"Keadaan cuaca hujan dan tanah yang basah boleh menyebabkan jalan rosak apabila dilalui banyak kenderaan pacuan empat roda.
"Jadi ada baiknya jika sumbangan diserahkan kepada PKOB atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menguruskannya," katanya.
Beliau berkata, hampir setiap tahun penduduk Orang Asli di pedalaman berdepan masalah jalan rosak apabila tiba musim tengkujuh.
"Jadi, saya berharap jalan perhubungan desa dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, pula berkata penduduk Orang Asli berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ingin masuk mengadakan program di perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.
Katanya, setiap kali musim tengkujuh, masyarakat Orang Asli terjejas kerana tidak dapat keluar melakukan urusan harian dan membeli barangan keperluan kerana laluan rosak teruk.
SUNGAI PETANI: Seramai 50 penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Choong Cheng akibat banjir air pasang besar, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA), Amirul Asyraf Mohamad Mayidin, berkata PPS dibuka jam 6 petang dan mangsa terdiri daripada 23 keluarga.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK), Kampung Sungai Pial, Ahmad Fauzi Othman, ketika dihubungi berkata hujan lebat berterusan dari pagi hingga malam tadi memburukkan lagi keadaan.
"Selain beberapa rumah dilaporkan terancam sejak beberapa bulan lepas, ada lagi yang turut terjejas akibat hakisan pantai dan keadaan lebih teruk selepas dibadai ombak semalam," katanya.
Ahmad Fauzi berkata, penduduk berada dalam kawasan berisiko diarahkan berpindah ke PPS sejak malam tadi bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
"Hakisan semakin buruk. Malah ada tembok baru siap juga dilimpahi air dan pagi ini, cuaca masih mendung selain hujan renyai," katanya.
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Malaysia menyasarkan tempoh pengeluaran amaran awal gempa bumi dan tsunami dipercepatkan kepada enam minit berbanding lapan minit ketika ini.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dijangka dapat direalisasikan pada tahun depan,
Jelas beliau, usaha dilakukan melalui peningkatan keupayaan sistem amaran dan rangkaian pemantauan gempa di seluruh negara.
“Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh lima minit selepas pengesahan dan disalurkan kepada agensi berkaitan serta orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sedang menaik taraf sistem bagi mempercepatkan pengeluaran maklumat daripada lapan minit kepada enam minit menjelang 2026 dan seterusnya lebih pantas selepas itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta kerajaan menyatakan persediaan bagi menghadapi kejadian gempa bumi terutamanya bagi kawasan yang tidak pernah mengalaminya.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ketika ini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara yang disokong oleh 323 stesen antarabangsa dengan data masa nyata bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh.
“MET Malaysia turut bekerjasama rapat dengan Pusat Amaran Tsunami Pasifik, Pusat Penasihat Tsunami Laut China Selatan, dan Sistem Amaran serta Mitigasi Tsunami Lautan Hindi.
“Ini memastikan amaran awal yang dikeluarkan tepat dan boleh dipercayai,” jelasnya.
Johari menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan negara terhadap kejadian gempa, termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah terdedah kepada ancaman tersebut.
Dalam pada itu, Johari memberitahu pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan di negara ini sebagai ‘hotspot’ gempa bumi.
Kata beliau, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Ranau, Lahad Datu, Niah, Bukit Tinggi, Janda Baik, Batang Kali, Ulu Yam, Kuala Pilah, Kenyir, Manjung dan Temenggor.
“Baru-baru ini, kita juga mengenal pasti Mersing, Segamat dan Batu Pahat sebagai kawasan yang menunjukkan aktiviti gegaran kecil,” ujarnya. – TVS
PUTRAJAYA: Schools nationwide are ready to be used as temporary flood relief centres if needed.
Education director general Dr Mohd Azam Ahmad said the ministry is also prepared to assist in areas not previously flood prone.
“Even in places that do not usually flood, we are on standby to assist the National Disaster Management Agency and state disaster management committees,” he added.
He spoke after a briefing for senior editors in Putrajaya this morning.
“We have 10,249 schools nationwide and 8,330 are designated as PPS,” he added.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 titik panas atau hotspot dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya gempa bumi di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) , Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kawasan berkenaan merangkumi Ranau dan Lahad Datu (Sabah), Niah (Sarawak), Bukit Tinggi dan Janda Baik (Pahang) serta Batang Kali dan Ulu Yam (Selangor).
Katanya, turut terlibat ialah Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Kenyir (Terengganu), Manjung dan Temenggor (Perak) serta Mersing, Segamat dan Batu Pahat (Johor).
“Hotspot ini dikenal pasti hasil kajian yang dijalankan bagi memastikan pembangunan di kawasan berisiko mengambil kira aspek keselamatan, reka bentuk dan mitigasi kejuruteraan yang sesuai,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, Malaysia mempunyai Malaysia National Annex to Eurocode 8: Part 1-General Rules, Seismic Actions and Rules for Buildings yang diterbitkan Jabatan Standard bagi memastikan setiap pembangunan mematuhi standard gempa bumi yang ditetapkan.
“Mereka yang mahu membuat pembangunan di kawasan panas perlu merujuk kepada standard ini.
“Bagi kawasan yang tidak termasuk dalam senarai jajaran gempa bumi, ia tidak wajib. Data ini juga akan digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika meluluskan projek pembangunan,” katanya. -UTUSAN
