Kuala Nerus: Tiga sekolah yang masih ditutup akibat banjir di Dungun akan kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya Ahad ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, berkata ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan di tiga sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.
"Semua sekolah di seluruh negeri sudah kembali dibuka untuk sesi persekolahan kecuali tiga sekolah di Dungun yang masih diberi kelonggaran cuti bencana.
"PPD sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.
"Kita jangka ia boleh dibuka selewat-lewatnya Ahad ini dan kita juga masih mengenal pasti kerosakan di semua sekolah yang terjejas akibat banjir sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus di sini hari ini.
Jelani berkata, tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di Dungun yang dijadikan PPS ditutup petang semalam.
Beliau berkata, seramai 34 mangsa banjir sebelum ini berada di sekolah berkenaan.
Pada tahun ini, seramai 18,494 termasuk 105 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu bermula pagi ini.
Daripada jumlah itu, seramai 3,420 calon di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).
Selain itu, seramai 1,742 calon di Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.
KUALA LUMPUR: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang menempatkan 29 mangsa banjir daripada sembilan keluarga di Kota Tinggi, Johor ditutup, manakala jumlah mangsa di Terengganu dan Pahang tidak berubah pagi ini.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa di Terengganu kekal 473 orang daripada 157 keluarga di dua PPS di Dungun, dan keadaan sama turut dicatat di Pahang yang masih menempatkan 22 orang daripada lima keluarga di sebuah PPS di Rompin.
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya.
Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Rompin dan Sungai Pahang di Bera serta Cameron Highlands dan Rompin di Pahang, Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), dan Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Jalan Sungai Lembing, Pahang dan Jalan Sungai Sok - Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan. – BERNAMA
JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 sekolah di enam daerah di negeri ini yang terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dikenal pasti akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, dalam situasi itu, sebanyak 21 pusat peperiksaan akan terbabit di 18 sekolah berkenaan yang dikenal pasti di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak.
Beliau berkata, sekiranya PPS terpaksa dibuka di sekolah berkenaan, peperiksaan SPM masih dijalankan seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, perjalanan SPM 2023 di negeri ini mahu pun di seluruh negara dalam keadaan baik dan akses ke pusat-pusat peperiksaan boleh dilalui dengan selamat.
"Laporan pagi ini, perjalanan SPM tidak ada masalah terutamanya akses ke pusat peperiksaan boleh dilalui, walaupun ada negeri yang masih dilanda banjir.
"Taklimat sudah diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti untuk dijadikan PPS supaya mereka dapat menyediakan bilik khas untuk menempatkan mangsa banjir yang tidak mengganggu perjalanan peperiksaan di sekolah terbabit," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran; Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat; Pengetua STF, Radziah Mohd Din dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.
Sementara itu, Azman berkata, sebanyak 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berdepan banjir sepanjang tempoh peperiksaan ini.
Terdahulu, Azman turut menyampaikan kata-kata semangat kepada 148 calon di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah Azman yang turut sama menduduki SPM 2023 dengan peperiksaan bertulis bermula hari ini.
Seramai 395,870 calon menduduki SPM 2023 di seluruh negara dengan 3,340 pusat peperiksaan.
Di Johor, seramai 48,426 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 di 364 pusat peperiksaan membabitkan 301 sekolah di negeri ini.
Menurut Azman, daripada jumlah keseluruhan calon itu, seramai 161 orang adalah calon berkeperluan pendidikan khas.
"Seramai 5,018 orang petugas peperiksaan termasuk ketua pengawas, penyelia kawasan dan petugas guru, bertugas di Johor bagi SPM kali ini," katanya.
JOHOR BAHRU - Sebanyak 18 sekolah menengah di enam daerah di negeri ini yang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, antara daerah yang akan terlibat Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak membabitkan 21 pusat pemeriksaan dengan semuanya telah melakukan persiapan terperinci.
Menurutnya, pembukaan PPS itu nanti melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, SMK Dato Sulaiman dan SMK Penghulu Saat di Batu Pahat serta SMK Abdul Jalil, SMK Kahang dan Tengku Aris Bendahara di Kluang.
"Ini termasuk SMK Bandar, SMK Air Tawar dan SMK Seri Medan di Kota Tinggi; SMK Tinggi Segamat, SMK Gemereh, SMK Chaah dan SMK Seri Bali di Segamat; SMK Bukit Batu dan SMK Senai di Kulai serta SMK Tun Seri Lanang di Tangkak.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja sempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini pada Selasa.Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran; Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat; Pengetua STF, Radziah Mohd Din dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.
Menurutnya, masing-masing melibatkan 11 di Pontian dan Segamat; tujuh di Mersing; enam di Kota Tinggi serta Kulai dan empat di Muar, Tangkak dan Kluang.
Dalam pada itu katanya, seramai 48,426 calon menduduki peperiksaan SPM di Johor di 364 pusat peperiksaan melibatkan 301 sekolah."161 orang merupakan calon berkeperluan pendidikan khas, dengan seramai 5,018 petugas terlibat sepanjang peperiksaan ini berlangsung," jelasnya.Terdahulu, Azman menyampaikan kata-kata semangat kepada seramai 148 calon SPM 2023 di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah yang merupakan calon di sekolah berkenaan.
Keadaan banjir di Dungun semakin pulih
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Dungun semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 473 orang daripada 157 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah tersebut setakat jam 8 pagi ini.
Kesemua mangsa dipindahkan ke dua PPS yang masih dibuka di daerah berkenaan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun merupakan satu-satunya daerah di negeri ini yang masih terjejas akibat bencana tersebut.
Menurut kenyataan itu, dua PPS yang dibuka di Dungun ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.
Selain itu, katanya seramai 247 mangsa daripada 96 keluarga ditempatkan disebuah PPS yang diaktifkan di sana iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.