PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada 9,261 orang setakat ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Enam negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Johor, Selangor, Sarawak dan Kelantan.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 2,949 keluarga terjejas dan ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,381 orang, diikuti Terengganu (468), Johor (347), Selangor (47) dan Sarawak (18), manakala tiada mangsa dipindahkan di Kelantan setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan hingga hari ini di beberapa negeri, khususnya Pahang, Terengganu dan Johor.-UTUSAN
Kemaman, Dungun masih terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Banjir di Kemaman dan Dungun belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih dengan seramai 473 mangsa masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.30 pagi ini.
Semua mangsa berpindah ke PPS berkenaan secara berperingkat sejak Isnin lalu dengan yang terbaharu dibuka hari ini di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu di Kemaman.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, daripada jumlah mangsa dipindahkan, 397 orang melibatkan 116 keluarga adalah di Kemaman yang berlindung di 10 PPS.
Di Dungun pula, sejumlah 76 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dijangka berterusan hari ini di beberapa negeri khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor.
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) hingga itu dijnga berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) pula diramal di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. – UTUSAN
KUANTAN: Banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa di Pahang terus meningkat melebihi 8,000 orang, memaksa 68 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah utama negeri ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 8,104 penduduk daripada 2,603 keluarga dipindahkan, berbanding 8,074 orang, pukul 4 pagi.
Kuantan daerah paling terjejas dengan 40 PPS menempatkan 6,499 mangsa daripada 2,134 keluarga. Maran, 15 PPS melibatkan 770 mangsa, manakala Pekan dan Rompin masing-masing menempatkan 502 dan 333 mangsa.
Setakat ini tiada kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa memberi amaran keadaan boleh berubah sekiranya hujan berterusan.
Secara kumulatif, sejak awal kejadian banjir, seramai 8,169 penduduk daripada 2,621 keluarga telah direkodkan sebagai terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menegaskan pemantauan rapi sedang dijalankan dan menyeru orang ramai agar berwaspada serta segera berpindah ke PPS berhampiran jika diarahkan. – UTUSAN
KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu kembali melonjak kepada 708 mangsa daripada 199 keluarga berikutan bah yang menjejaskan Kemaman sebelum ini telah merebak ke daerah bersebelahan, Dungun.
Mereka kini berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah tersebut.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas melibatkan 503 mangsa daripada 140 keluarga.
“Mereka berada di sembilan PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.
“Selain itu PPS juga dibuka di Dewan Orang Ramai Batu 14, Dewan Ketengah Dadong, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Dewan Semai Bakti Felda Neram 2,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 205 mangsa daripada 59 keluarga pula berlindung di dua PPS di Dungun.
“Dua PPS tersebut ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir,” katanya. – KOSMO! ONLINE
KUANTAN – Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,104 orang berbanding 2,027 yang direkodkan semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata kesemua mangsa daripada 2,603 keluarga melibatkan empat daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran.
“Kuantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 6,499 orang diikuti Pekan seramai 770 orang, Pekan (502) orang dan Rompin seramai 333 orang.
“Mangsa di Kuantan ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS), Maran (15 PPS), Pekan (7 PPS) dan Rompin di enam PPS,”katanya di sini hari ini.
Menurut Che Adam pada masa ini tujuh sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Chereh, Sungai Belat, Sungai Soi, Sungai Lepar di Kuantan, Sungai Buan di Rompin, Sungai Tanum dan Sungai Kechau di Lipis, Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Mentiga di Pekan.-KOSMO! ONLINE.
